oleh YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa
[Berikut adalah sambungan paparan 'Perbahasaan Istana'.]
4. Menegur dalam perbualan: Tuan
Kaum kerabat yang tertua** tiada menegur Raja-raja itu secara “Tuanku”, cuma sekadar “Tuan” sahaja. Pada ketika masa-masa yang tertentu pula, kerabat tua-tua juga menegur Raja-Raja terutama itu dengan menyebut gelaran jawatannya sahaja.
Sebagai contoh-contoh pertuturan di antara mereka dalam istana :
a. Raja Ampuan Pahang (Raja Fatimah binti Sultan Alang Iskandar, isteri Sultan Abu Bakar, berbahasa kepada paduka adindanya Sultan Perak ke-33). Sang kakak masuk ke dalam kamar peribadi Sultan Idris: “Hai Sultan Perak, belum lagi awaok turun-turun ke balai? Raja Empuan Perak udah lama mera’i Orang-Orang Besor awaok!” Dijawab oleh adiknya, “Hai, sabor-saborlah Chor… ini patik nak turun dah ni!”
b. Raja Muda Musa Ibni Sultan Abdul Aziz (berpangkat abang saudara) kepada Sultan Idris Iskandar, berbual melalui telefon dari Teluk Intan ke Istana Iskandariah: “Hello… Yamtuan ke tu? Harap diampun, Tuan. Abang baru balik nengok anak bulan di Pulau Sembilan… udah nampak, Tuan! Bolehlah pertitah bicara Sultan Perak. Abang menunggu perintah…”
c. Raja Hisham Abdul Malek, Orang Besar Jajahan Hilir Perak (kelak menjadi Raja Di Hilir Perak) yang berpangkat abang saudara kepada Raja Muda Musa. Semasa penyusunan acara persandingan Di-Raja puteri putera Perak–Pahang di Teluk Intan: “Hemat Abang… eloklah Tuan letakkan Raja Perlis di sebelah kiri anakanda-anakanda pengantin. Yamtuan Pahang sebelah kanan. Yamtuan Perak, Chor Pahang dengan yang lain-lainnya kira perkenan selaku Waris kitalah berperatur sendiri, kerana ruang tamu Istana ini agak sempit sikit…. Begitulah hemat Abang.”
[**] Dalam pada itu, sekalian kerabat diraja atau Waris Negeri yang berumur lagi bermartabat tua (berpangkat “abang” atau “kakak”, apatah lagi yang berpangkat lebih tua) dari Raja Di-Hilir, Raja Muda dan Sultan, TIDAK menyembah mereka yang berkenaan itu. Saudara tertua hanya perlu menundukkan hulu semasa berformaliti “mengadap” di majlis Raja-Raja terutama itu.
__________________________________
Nota kaki: Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.