Alhamdulilah, syukur kehadrat Ilahi, dengan izinNya juga maka pada hari ini genap tiga tahun umur laman web SEMBANGKUALA. Bermulanya dengan artikel Perjanjian DEMANG LEBAR DAUN dan SERI TERI BUANA, SEMBANGKUALA menyusuri langkah demi langkah berkongsi pensejarahan negeri Perak dan Adat Lembaganya.
Saya tidak mengenali Tok Ku Nick dengan rapat, hanya beberapa tahun sahaja sebelum arwah Tok Ku Nick pergi meninggalkan kami buat buat selama-lamaya. Walaubagaimanapun, saya belajar mengenali arwah Tok dengan bahan penulisan, penyelidikan dan juga artikel-artikel suratkhabar lama yang menceritakan tentang siapa arwah sebenarnya. Dari sinilah saya mengenali siapa Tok Ku Nick sebenarnya dan pengkajian sejarah beliau. Beliau banyak menulis, mengkaji tentang Adat Lembaga Perak dan lain-lain yang berkaitan dengan Kesultanan Perak yang telah banyak dilupakan dan juga tidak diketahui oleh generasi muda termasuk diri saya.
Perkongsian ilmu inilah legasi Tok Ku Nick yang sebenarnya dimana dengan izin Allah SWT akan kami sebagai sidang editor SEMBANGKUALA melestarikan ilmu berhubung Lembaga Adat dan Warisan Raja-Raja Perak sebermulanya dari Gangga Negara, Indera Sakti, Cempaka Sari dan kini dikenali sebagai Negeri Perak.
Pengkisahan dan juga paparan artikel SEMBANGKUALA adalah berbentuk akademik dan penceritaan semula sesuatu yang kami perolehi untuk dikongsikan bersama.

Ucapan penghargaan pada Arwah Raja Razman bin Raja Abdul Hamid di dalam Cenderamata sempena Pertabalan Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah, Oktober 1963.
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada kesemua sidang editor SEMBANGKUALA dan tidak lupa penyumbang-penyumbang individu yang terlalu banyak berkongsi ilmu-ilmu yang berharga, semoga Allah SWT juga dapat membalasnya.
YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa, YM Raja Halimah Razman (Auntie Mimi), YM Raja Harun Al-Rashid (Ayah Chu), Allahyarhamah Raja Halijah Razman (Arwah Ah) adalah anak murid kepada Tok Ku Nick yang tidak penat berkongsi ilmunya pada kami semua untuk dipaparkan dan dikongsikan bersama anda. Mereka adalah legasi Rumah Hitam Tok Ku Nick yang telah mencurahkan ilmunya pada kami sebagai menyambung kerja arwah Tok Ku Nick yang tidak pernah selesai.
Kepada Waris dan Kerabat Negeri Perak dan anda semua, saya berharap segala usaha kami akan memberi sedikit sebanyak pengetahuan dimana anda akan berkongsi pula pada generasi yang akan datang agar Adat-adat dan pensejarahan Negeri kita agar tidak dilupakan dan disemaikan didalam pengetahuan dan pemikiran setiap anggota masyarakat. InsyaAllah.
Raja Yusuf Izzudin bin Raja Dato’ Lope Ahmad Razman
Bagi pihak sidang editor





