Perbahasaan istana – penggunaan Payung

oleh YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa

[Berikut adalah sambungan paparan ‘Perbahasaan Istana’.]

3. Menegur dalam perbualan: Payung

Sebutan menegur Waris Negeri sebagai ‘Payung’ itu adalah dalam perbahasaan Orang-orang Besar Negeri secara panggilan timang-timangan terhadap anak-anak raja. Perbahasaan ini adalah diperkenalkan oleh Orang-orang Bugis etnik Luwu di Perak, yakni dalam pertengahan kurun ke-18 Masehi. Di negeri Luwu, Raja-raja Pemerintahnya adalah bermartabat ‘Pajung’ (payung).

Sampai ke tetahun 60an sehingga ke 70an, masih ada lagi Orang-orang Besar Negeri yang tertua dan orang-orang warisan bangsawan tertua yang akur mempraktik seni pertuturan perkarangan Istana Perak, terhadap Waris-waris Negeri, termasuklah berbual secara informal dengan Raja Di Hilir, Raja Muda dan Baginda Sultan secara mengistilahi raja-rajanya itu sebagai Payung.

Niat penyebutan Payung tersiratlah kemesraan yang bermaksud “Pemimpin yang dikasihi” atau “Payung Kemuliaan Negeri yang dikasihi”. Sesudah merasmikan formaliti menyembah sekali sahaja sekiranya raja itu Raja-raja pemimpin negeri, tiadalah lagi si tertua itu menyebut perkataan “Tuanku”. Misalnya seorang Orang Kaya Bendahara atau pun Orang Kaya Temenggong mahupun orang-orang tua istana yang sudah terjalin akrab peribadi mereka dengan baginda-baginda itu, maka di majlis tersebut berkatalah mereka seperti contoh-contoh yang berikut ini:

“… Harap diampun Payung, patik ini berhutang sembah… udah lama Paduka tak berangkat melawat Kampung (Si Anu).”

ataupun:

“… Hai Payung patik!… Payung ini Tuan Penghulu patik, rasanya beranilah perhamba tua ini berhutang sembah… baiklah Payung jangan berkeras sangat terhadap Menteri Besar kita itu, nanti buruk akibatnya!”

Seolah Payung itu berbeza dengan erti kata Paduka / Sultan. Oleh kerana (si anu) itu telah “berhutang sembah” (yakni bertangguh formaliti), maka tiadalah ia menyembah Rajanya. Norma pertuturan dalam perbualan informal seperti tersebut adalah dipraktikkan oleh orang-orang dalaman istana yang berumur tua dari raja-raja, yakni bukan oleh mereka yang sebaya atau muda dari sang diraja itu. Misalnya lagi:

[Oleh seorang dayang tua bernama Zaidah* yang juga tukang masak sebegitu lama di istana; manakala Sultan Idris Iskandar menyerempak ke dalam dapur di-Raja]: “Hoh, Allah! Ya Payung patik!… Apa dibuat Yamtuan masok mencemor duli ke dalam dapur yang kotor ini?!… Pegi, Payung, pegi. Melatah didek-didek perhamba jinak nenguk Pepanji Negeri di dapur… kut tak masak lauk karang! Hah! Buatle! Silalah ngedor, Payung jejuah patik… Hai, Ya Allah! Sila keluwor sekarang jua, Yong oi! Sila keluwor… Kalu nak nengok patik menjerit, hai Tuan Penghulu oi, hah tunggu le!”

[*]Tersirat di sebalik Puan Zaidah (Wan Zedah) menyanjungi Raja Pemerintahnya, namun kerana dia amat mesra dengan Raja Yang Dipertuan (“Yamtuan”), maka sang dayang tua itu berani menegur “Tuan Penghulu” yang dikasihinya – lagi menyuruh secara bersahaja baginda keluar meninggalkan dapur dengan ugutan nanti pekerjaan di dapur itu tiada akan dilaksanakan oleh mereka. Sebutan ‘Yong’ yang nyata terpendek dari perkataan ‘Payung’ telah menyerlahkan luahan keperibadian nan erat lagi manja terhadap Rajanya. Di sini, baginda sedar akan “kenakalannya” itu kerana baginda memang suka merendahkan diri. Sesungguhnya Wan Zedah itu seorang pelatah. Dengan geli-geli hati, baginda Tuanku Idris pun ngedor (beredar) ke dalam istana.

Begitulah hakikat erti kata yang tersirat di sebalik perkataan-perkataan “Tuan Penghulu”, “Paduka” (yakni keayahandaan perkauman) dan “Payung”.

__________________________________

Nota kaki: Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.

Paparan SembangKuala akan datang akan membincangkan penggunaan panggilan “Tuan” dalam perbahasaan istana.

3 thoughts on “Perbahasaan istana – penggunaan Payung

  1. Salam editor(s),

    Berbanyak terima kasih atas artikel di atas. Fahamlah patek sekarang tentang asal usul gelaran timangan ‘Yong’ pada nama2 anakanda2 Paduka Sultan terdahulu. Contoh, Yong Namad, Yong KuTam, Yong Peah masing-masing untuk Raja Mohamed, Raja Ahmed Siffudin dan Raja Rafeah, semua anakanda Almarhum Sultan Iskandar.

    Tetapi, penggunaan Yong sudah tidak kedengaran lagi sekarang ini, sekurang-kurangnya pada hemat patek. I stand corrected of course.

    Indebted to SembangKuala for this valuable information.

  2. Pingback: Kuala river tales « SembangKuala BLOG

  3. Pingback: Perihal protokol dan tataadab istana negeri Perak | SembangKuala

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s