Kehadiran Watak Dan Pengertian Seri Nara Diraja Di Alam Tamadun Seni Kebudayaan Suku-Suku Melayu Seluruh Gugusan Tanah Melayu

Kaji selidik dan kutipan maklumat oleh YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa

[Muqaddimah oleh editor SembangKuala untuk kaji selidik YM Raja Kobat ini boleh dibaca di sini.]

Ada beberapa pembesar dan bentara-bentara istana yang akan memainkan peranan penting bagi sekalian adat istiadat kebudayaan Seri Saguntang Mahameru. Yang terkemuka sekali ialah peranan Tok Seri Nara Diraja. Mematuhi kepercayaan orang tertua para ahli Nobat, teristimewa lagi dengan penghujahan ‘TOK NARA TUA’[1] di samping pengertian penulis sendiri yang dibesarkan di Istana Iskandariah, kita dapat menerima pemahaman adanya “PERTALIAN BATIN” di antara ‘Sang Nara Diraja’ dengan Raja Pemerintah yang diamalkan oleh adat Perak berkerajaan. Beliau ini juga yang menjadi “pengelola Jin-Jin Kerajaan”, iaitu, seorang penjaga saka-saka[2] mistik kekerajaan.

Sesungguhnya, berbagai gelaran telah dikaitkan dengan perkataan ‘Nara’ di dalam gabungan nama-nama pangkat dan darjat ditemui di dalam kerajaan-kerajaan tradisional di alam Teratai nusantara seperti Seri Nara Wangsa, Tok Senara Indera, Maharaja Narai (Raja Siam), Seri Nara Menteri, Datuk Suryana Narayana (kerajaan Malayapura), Raja Nara Singa (Inderagiri), Tok Sinaro (Pagar Ruyung) dan jikalau hendak kita senaraikan ada seberkas lagi panggil-panggilan yang diletakkan ke puncak menara kebudayaan Meru membabitkan sebutan ‘nara’ di sekitar alam Gugusan Teratai kita ini.

Srivijaya merupakan sebuah empayar lama Melayu yang bertapak di Sumatera di antara abad ke-7 dan ke-13 M. Pierre-Yves Manguin telah membuktikan yang Srivijaya berpusat di tebing Sungai Musi, di antara Bukit Seguntang dan Sabokingking, Selatan Sumatera. (Sumber: Google Images)

Pendekata, tiap-tiap kawasan Tenggara Asia yang pernah atau pun masih lagi menganuti kepercayaan Hindu dan Buddha semenjak zaman purba pra-Srivijaya lagi, tradisi kebudayaannya akan bermitoskan aspek metafizik yang berlatar belakangkan hakikat ‘Kenaraan’. Misalnya, mengikut tradisi cerita-cerita lisan di Kelantan dan Pattani, Wau Bulan[3] melambangkan semangat ‘Srivijaya’ yang pernah berpusat di bumi itu. Justeru, warna lelayang tradisional Pantai Timur Semenanjung dikatakan mempunyai warna mewarisi cahaya pelangi “Teratai Nara Srivijaya” .

Sailendra Borobudur

Raja Sailendra dan rakyat di abad ke-8 M, arca di candi Borobudur. Dinasti pemerintahan raja-raja Sailendra paling berpengaruh di Tanah Jawa di abad ke-8 dan ke-9 M. (Sumber: Google Images)

Dalam pada itu, istiadat Melayu-Sailendra meletakkan Nara Diraja menyimpan daulat Kebesaran Negeri sambil dipayungi oleh Sang Bendahara semasa ketiadaan Raja Yang Dipertuan. Ini berimplikasi para bangsawan termaksud laksana percantuman “isi dengan kuku, darah dengan daging, otak dengan benak, uri dengan tembuni”, bak peribahasa orang-orang Melayu zaman silam apakala memperjelaskan perihal kezahiran dan kebatinan adat resam turun-temurun.

Dari manakah asal-usul budaya kenaraan ini? Yang lebih penting, APAKAH PENGERTIAN ‘NARA’ ITU? Kita akan menemui usul Nara di dalam bab yang akan datang.

_________________________________________

[1] Tok Nara Tua – panggilan bagi Seri Nara Diraja yang hampir/sudah pun bersara dan sedang mendidik dan membimbing Sang Bakal Seri Nara baru yang belum cukup matang dlm ilmu adat istiadat keNaraan.

[2] Saka, dari perkataan Sanskrit, poshaka, bererti penjaga. poshaka n. nourishing, feeding, a nourisher, supporter, breeder, keeper. Sumber: Cologne Digital Sanskrit lexicon.

[3] Pelangi Teratai Nara Srivijaya – penerangan oleh Allahyarham Ismail Bakti budayawan dan guru seni tari Kelantan.

Nota kaki: Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s