Perihal Perak: I. Geografi dan sejarah negeri, bah.1

Berikut adalah terjemahan dari buku About Perak yang di tulis oleh Sir Frank Swettenham pada akhir abad ke-19 mengenai negeri Perak. InsyaAllah, kami akan cuba paparkan isikandung buku ini berperingkat-peringkat di laman SembangKuala.

Dua puluh tahun yang lalu, jumlah orang Eropah yang mengenali negeri Perak mungkin hanya mencecah kurang dari setengah dozen. Di waktu itu, Royal Asiatic Society cawangan Negeri-negeri Selat telah mengeluarkan beberapa peta Semenanjung Tanah Melayu, di mana Perak terletak di utara Singapura, Melaka dan Selangor, dan di selatan Siam, Kedah dan Province Wellesley[1].

Peta abad ke-16 Selat Melaka sewaktu zaman pemerintahan Portugis. (Sumber: Google Images)

Maklumat terperinci mengenai kedudukan Negeri-negeri Selat memang wujud, dari segi longitud dan latitud – untuk mereka yang berada di barat Suez, mudah dikatakan Negeri-negeri Selat terletak di antara India dan Cina, di mana dua lautan besar menghubungkan oleh Selat Melaka dan di utara selat inilah terletaknya pantai barat negeri Perak. Tiada gunanya jika kita katakan Perak terletak berhampiran dengan Pulau Pinang kerana Pulau Pinang kurang terkenal berbanding Perak, kecuali untuk mereka yang berumur enam puluh tahun ke atas. Di awal tahun 1870an, Sir Arthur Birch cuba memperkenalkan Pulau Pinang kembali kepada sahabat-sahabatnya, akan tetapi usaha Sir Arthur bagai melepaskan batuk di tangga dan masih tidak ramai yang mengetahui apa-apa tentang Pulau Pinang. Di waktu itu, Perang Perak[2] tercetus dan tiada peristiwa sepenting itu berlaku di Pulau Pinang untuk menarik perhatian orang Inggeris.

Walaupun begitu, nama negeri Perak atau jajahan Inggeris di rantau ini masih kurang dikenali orang Barat. Beberapa tahun yang lalu, saya berkesempatan mengambil bahagian dalam aktiviti memburu di utara England dan saya berjumpa seorang lelaki yang agak berpengetahuan mengenai kuda:

“Adakah awak ada kena-mengena dengan jajahan Inggeris di mana-mana?” ujar lelaki itu.

“Ya, di Negeri-negeri Selat”, saya menjawab.

“Adakah itu di Kanada?”

“Tidak, bukan di Kanada.”

“Saya ingat Negeri-negeri Selat adalah nama lain bagi Kanada, bukankah begitu?”

“Tidak sama sekali.”

“Adakah orang menggunakan kuda di sana?”

“Ya.”

“Kuda di Negeri-negeri Selat makan apa agaknya?”

“Rumput.”

“Di sana tiada jerami?”

“Tidak”

“Di sana adakah terdapat silo[3]?”

“Tidak”, jawab saya lagi.

“Boleh saya datang ke sana untuk memperkenalkan penggunaan silo untuk ladang-ladang di sana?”

“Saya rasa tidak.”

“Ah! Malang sekali”, ujar beliau dan terus memecut kudanya meninggalkan saya. Saya mendapat tahu yang lelaki itu agak kaya orangnya dan hanya berminat untuk mengembangkan perniagaan silonya. Insiden sebegini agak biasa saya lihat. Memang sifat tidak tahu dan tidak mahu tahu menjadi lumrah dalam perwatakan orang British.

Perak dahulukalanya pernah dikenali sebagai Kastan Zorian, di zaman sebelum orang Melayu beragama Islam pada tahun 1276. Setelah datangnya Islam, kesultanan Perak mempunyai 19 orang sultan semuanya, dan sultan Perak yang memerintah sekarang bernama DYMM Sultan Idris Mershedil Aathim Shah[4] KCMG, seorang yang berpendidikan, baik perwatakannya, dan baginda pernah ke Eropah untuk menimba pengalaman dan meluaskan pemandangan. Pada tahun 1826, Syarikat India Timur telah menandatangani sebuah perjanjian[5] dengan Siam supaya Siam tidak lagi mengganggu negeri Perak. Pada tahun yang sama, Syarikat telah membuat perjanjian[6] dengan Perak untuk menyerahkan Pulau Pangkor dan daerah Dinding. Penyerahan ini membolehkan Syarikat melindungi kapal-kapal dagang yang melalui Selat Melaka dari ancaman lanun.

Notakaki:
[1]Province Wellesley dikenali sekarang sebagai Seberang Perai.
[2]Perang Perak berlaku selepas pembunuhan JWW Birch, Residen British Perak yang pertama.
[3]Silo – tempat menyimpan gandum dan bijirin.
[4]Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah, Sultan Perak ke-28.
[5]Perjanjian Burney, 1826.
[6]Perjanjian Low, 1827.

__________________________________________

Rujukan: Swettenham FA. I. Geographical and historical. In About Perak. Singapore: Straits Times Press; 1893. p1-4.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s