Perihal Perak: I. Geografi dan sejarah negeri, bah.2

Berikut adalah sambungan kepada siri terjemahan kami dari buku About Perak yang di tulis oleh Sir Frank Swettenham pada akhir abad ke-19 mengenai campurtangan British di negeri Perak. InsyaAllah, kami akan cuba paparkan isikandung buku ini berperingkat-peringkat di laman SembangKuala.

Pada tahun 1867, pusat pemerintahan Negeri-negeri Selat telah dipindahkan ke Pejabat Jajahan di London dan ianya bukan lagi berpusat di kerajaan British di Kolkata, India. Di waktu itu, pertelingkahan di antara kongsi-kongsi gelap Cina banyak berlaku di negeri-negeri barat Semenanjung Tanah Melayu yang kaya dengan bijih timah, termasuk negeri Perak. Boleh dikatakan seramai tiga ribu orang ahli kongsi gelap terkorban pada hari pertama pergaduhan berlaku.

Pihak berkuasa Negeri-negeri Melayu tidak dapat membenteras pergaduhan di antara kongsi-kongsi ini, dan keadaan menjadi semakin teruk dengan perebutan kuasa untuk menduduki takhta negeri Perak. Satu lagi masalah besar yang melanda rantau ini adalah aktiviti lanun di Selat Melaka yang mengancam kapal-kapal dagang tempatan dan Inggeris. Selain dari serangan ke atas kapal-kapal dagang, serangan juga dibuat ke atas balai-balai polis British. Rumah kepunyaan Pentadbir Daerah Larut di Pulau Pinang juga diletupkan. Polisi kerajaan British untuk tidak campurtangan dalam hal ehwal Negeri-negeri Melayu masih teguh walaupun dengan masalah yang melanda rantau ini. Kerajaan British juga telah memberi amaran kepada pedagang-pedagang Negeri-negeri Selat supaya mereka tahu akan risiko menjalankan perdagangan mereka di rantau ini dan kerajaan British tidak akan bertanggungjawab atas apa-apa kerugian yang dialami jika berlakunya kacau-bilau.

Fakta-fakta berkenaan campurtangan British di Perak, dan juga negeri-negeri Melayu yang lain, masih belum lagi ditulis secara rasmi, tetapi boleh saya katakan ianya bermula dengan permintaan Raja Abdullah, seorang anak Raja yang dikatakan berhak untuk menaiki takhta Perak, kepada Gabenor Negeri-negeri Selat untuk menolong beliau menjaga ketenteraman negeri Perak, menghentikan pergaduhan di antara kongsi-kongsi gelap, dan untuk mendapatkan seorang pegawai British yang berpengalaman supaya dapat menolong baginda dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Kesemua permintaan yang dibuat oleh Raja Abdullah dipenuhi oleh Gabenor Sir Andrew Clarke RE, dan Raja Abdullah diiktiraf oleh British sebagai Sultan Perak setelah Perjanjian Pangkor dimeterai pada 20 Januari 1874. Seorang Residen British akan dilantik untuk menolong Sultan Perak dalam pentadbiran negeri. Di antara masalah negeri yang dapat diselesaikan adalah isu sempadan di antara Perak dan Province Wellesley dan pergaduhan di antara dua kongsi gelap besar dapat dihentikan. Kepada sesiapa yang telah mengenali rantau ini di antara tahun 1872 dan 1873, mereka sudah tentu mengetahui yang aktiviti lanun di Selat Melaka telah juga berhenti sama sekali.

Frank Swettenham & J.W.W. Birch at Belanja, Perak River 1874. Source: Arkib Negara Malaysia

Penulis besama J.W.W. Birch (kanan) di Belanja, Perak, 1874. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Walaubagaimanapun, hal ehwal negeri Perak selepas Perjanjian Pangkor tidak berubah serta merta seperti yang diharapkan. Selain daripada beberapa kesilapan dalam pengendalian beberapa isu pentadbiran, perlantikan Residen Perak agak lambat. Akhirnya, Encik JWW Birch dilantik sebagai Residen Perak oleh Setiausaha Jajahan di London. Encik Birch pula dibantu oleh Kapten Speedy di daerah Larut, bersama dengan sebuah unit sepoy yang diarahkan untuk mengawal keadaan. Encik Birch menjalankan tugas sebagai Residen dengan baik – beliau telah merantau ke seluruh pelusuk negeri untuk melihat dengan mata beliau sendiri keadaan negeri Perak dan penduduknya. Ramai yang ingat akan layanan baik yang diberikan kepada orang-orang Melayu Perak. Insiden pembunuhan Encik Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875 yang dikatakan berbaur politik telah mengubah keadaan di mana Perak telah menjadi lebih aman dengan wujudnya unit tentera British yang tiba sewaktu Perang Perak. Kempen untuk menentang kumpulan-kumpulan anti-penjajah diakhiri dengan agak pantas[1]. Tentera British diketuai Jeneral Sir F Colborne dan Brig Jen J Ross, manakala briged tentera laut diketuai Kapten Buller dan Kapten Stirling. Kolonel Dunlop pula merupakan Suruhanjaya Sivil Angkatan Tentera di waktu itu. Kumpulan anti-penjajah yang terbabit dalam kes pembunuhan Encik Birch dapat ditangkap dan diberi hukuman setimpal. Kos perbelanjaan untuk kempen peperangan ini dapat dikaut kembali dari hasil bijih dan cukai di Perak.

Sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan untuk mengumpul maklumat membuktikan pembabitan Sultan Abdullah, Sultan Muda Ismail dan pembesar-pembesar Melayu lain dalam pembunuhan Encik Birch. Suruhanjaya ini diketuai Sir G Philippo dan mendiang Encik CB Plunket. Suruhanjaya ini mendapati kesemua yang dituduh bersalah dan di buang negeri. Raja Muda Yusuf dilantik sebagai Wakil Sultan Perak dan kemudiannya sebagai Sultan.

Dengan ini, berakhirlah bab dalam sejarah permulaan Perak di bawah British, dan dari sini kita akan melihat bagaimana sistem Residen telah berkembang dengan jayanya dalam bab akan datang.

Notakaki:
[1]Perang Perak bermula pada akhir tahun 1875 dan berakhir pada 1876. Unit tentera British diletakkan di Perak untuk mengawal keadaan sehingga 1877.

__________________________________________

Rujukan: Swettenham FA. I. Geographical and historical. In About Perak. Singapore: Straits Times Press; 1893. p5-7.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s