Perihal Perak: II. Pengembangan sistem Residen, bah.1

Paparan hari ini merupakan sambungan terjemahan dari buku About Perak yang di tulis oleh Sir Frank Swettenham pada akhir abad ke-19 mengenai negeri Perak. Paparan kali ini berkisar tentang mulanya sistem Residen British di Perak. Para pembaca budiman dinasihatkan bahawa bahan yang terkandung di dalam buku ini ditulis dari kaca mata seorang penjajah, dan niat kami di SembangKuala adalah untuk memberi peluang kepada semua untuk meneliti pandangan penjajah British tentang hal-ehwal Perak di waktu itu.

Boleh dikatakan bahawa Perjanjian Pangkor 1874 merupakan satu detik permulaan sebuah ‘eksperimen’ dalam sistem pentadbiran British di rantau ini. Bagi pihak British, Perak boleh digambarkan sebagai sebuah negeri yang indah dan subur dengan hutan hijaunya, kaya dengan bijih, dan terletak berhampiran dengan garisan khatulistiwa; bayangkan pula yang ianya didiami oleh bilangan penduduk yang lain budayanya, berkeperihatinan, gagah berani, namun konservatif dan sering mempercayai tahyul. Di waktu itu boleh dikatakan yang pendalaman negeri Perak hanya pernah dijelajahi enam orang putih, dan sistem jalanraya yang wujud hanya dua belas batu jumlah panjangnya. Perak jugalah negeri yang mempunyai bilangan orang Cina yang melebihi penduduk Melayu dengan nisbah 10:1, dan kongsi-kongsi Cina diwaktu itu bersengketa sesama sendiri tanpa menghiraukan undang-undang negeri. Sengketa ini menyebabkan kemusnahan harta benda dan kerja-kerja melombong bijih terhenti. Kubu-kubu kongsi yang terletak di negeri ini penuh dengan ahli-ahli bersenjata, manakala kampung-kampung di persisiran pantai Perak banyak menjadi pusat aktiviti lanun-lanun yang bermaharajalela di Selat Melaka.

Peta negeri Perak yang menunjukkan sempadan daerah pada tahun 1877, berserta kawasan lombong bijih timah dan sistem jalanraya yang wujud di zaman itu. (Sumber: Journal of the Malayan Branch Royal Asiatic Society (JMBRAS) Vol. XXIV, Part 4 Sir Frank Swettenham's Perak Journals 1874-1876, Singapore, Malaya Publishing House Ltd, 1952)

Perak jugalah negeri di mana dua Raja berebut kuasa untuk menduduki takhta negeri, dan kedua-duanya mengambil gelaran Sultan[1], manakala terdapat seorang lagi Raja[2] yang turut serta dalam hal perebutan kuasa ini. Di Hulu Perak terdapat konflik terbuka di antara dua pihak yang merebut gelaran Seri Adika Raja. Di sepanjang Sungai Perak pula terdapat beberapa kumpulan orang Melayu yang mengutip wang ‘tol’ dari setiap perahu yang menggunakan sungai ini sebagai jalan air.

Bagi kami, tidak hairanlah Raja Abdullah meminta pertolongan Gabenor Negeri-negeri Selat untuk mengutuskan seorang pegawai British untuk membantu baginda mentadbir negeri yang kucar-kacir ini dengan lebih efektif. Lebih menghairankan lagi apabila pegawai British ini yang pada mulanya diterima dengan rela oleh orang Melayu, menjalankan tugas beliau dengan tegas, menyebabkan pembesar-pembesar menjadi rimas akibat ketegasan pegawai pentadbir British ini dan mereka mula berpakat untuk menghapuskan beliau, dengan harapan bahawa orang putih tidak lagi berani untuk masuk campur dalam pentadbiran Perak.

Semasa JWW Birch mula-mula dilantik sebagai Residen British di Perak, negeri ini terbahagi kepada dua – pertamanya, daerah Larut, sebuah tempat yang mempunyai banyak lombong bijih dan didiami ramai bangsa Cina, dan keduanya, lembah Sungai Perak yang didiami orang Melayu berkurun lamanya. Di waktu itu juga, amalan ‘hamba hutang’ (debt slavery) berleluasa di kalangan rakyat Melayu kelas atasan dan jenayah di kalangan kongsi-kongsi Cina berlaku tanpa menghiraukan kuasa undang-undang negeri Perak. Keadaan ini merisaukan Encik Birch dan beliau berusaha untuk meninjau masalah-masalah ini dengan lebih dekat, namun beliau mengalami berbagai rintangan untuk berbuat demikian. Ada satu ketika, Encik Birch pernah cuba melawat sebuah kampung dan penduduknya mengugut untuk menembak beliau jika beliau masuk ke perkampungan mereka. Di kampung yang lain pula, Encik Birch dan rombongannya tidak diberi peluang untuk membeli bekalan makanan. Sumber pengangkutan pula susah untuk diperolehi dan menyukarkan usaha rombongan Encik Birch untuk menjelajahi negeri Perak. Mereka juga merasakan sukar untuk mendapat sumber maklumat terperinci mengenai geografi dan lokasi-lokasi sumber galian yang ada di Perak, serta hal-ehwal rakyat negeri ini secara am.

(Bersambung)

Notakaki:
[1]Raja Ismail menjadi Sultan setelah kemangkatan Almarhum Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah pada tahun 1871, manakali Raja Muda Abdullah menjadi Sultan setelah Perjanjian Pangkor dimeterai pada tahun 1874.
[2]Raja Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad I, kemudiannya Sultan (Pemangku Sultan 1877-1887, SP17 1887-8) setelah Sultan Abdullah Muhammad Shah II dibuang negeri ke Seychelles.

__________________________________________

Rujukan: Swettenham FA. II. The Development of the Residential System. In About Perak. Singapore: Straits Times Press; 1893. p8-10.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s