Perihal Perak: III. Perkembangan seterusnya, bah.1

Sambungan paparan ‘Perihal Perak’ kali ini menunjukkan interpretasi Fasal-Fasal enam dan sepuluh Perjanjian Pangkor yang dibuat oleh Swettenham, yang berbeza dengan Fasal yang ditulis dalam Bahasa Melayu yang asal. Para pembaca budiman dinasihatkan bahawa bahan yang terkandung di dalam buku About Perak ini ditulis dari kaca mata seorang penjajah, dan niat kami di SembangKuala adalah untuk memberi peluang kepada semua untuk meneliti pandangan penjajah British tentang hal-ehwal Perak di waktu itu.

Termaktub di dalam Perjanjian Pangkor merupakan dua fasal yang meletakkan keseluruhan pentadbiran negeri Perak di tangan Residen. Fasal-fasal tersebut adalah:

Fasal VI. Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana Baginda, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.”

Fasal X. Bahawa pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am negeri dikawal selia dibawah nasihat Residen-residen ini.”

Dari sini sememangnya pemungutan dan pengawalan kesemua hasil negeri, termasuk nasihat Residen ke atas segala hal ehwal pentadbiran negeri, menjadi asas untuk melaksanakan kuasa eksekutif British di Perak. Pada bulan Ogos 1876, Setiausaha Jajahan untuk Kerajaan Pusat di London telah mengingatkan Residen-Residen negeri Perak dan Selangor bahawa, “… sistem Residen perlu diteruskan supaya fungsi seorang Residen dapat didefinisikan sebagai seorang pegawai kerajaan Britain yang memberi nasihat pentadbiran kepada Sultan sesebuah negeri. Perlu diingatkan bahawa Residen tidak perlu memberi nasihat terperinci dalam hal-ehwal kecil sesebuah negeri itu dll. dll”.

Pada bulan Mei 1878, sebuah lagi pekeliling dari Setiausaha Jajahan meningatkan Residen-Residen ketiga-tiga negeri di bawah lindungan Britain bahawa “… Residen-Residen telah dilantik hanya sebagai penasihat untuk pentadbiran negeri, dan bukan sebagi pemerintah. Jika Residen didapati oleh Kerajaan Pusat tidak mengikut arahan ini, mereka akan bertanggungjawab ke atas apa-apa masalah yang berlaku akibat tindakan Residen yang mengengkari pekeliling ini.”

Sir William Edward Maxwell (Source: Wikimedia)

Sir William Edward Maxwell, Gabenor Negeri-Negeri Selat sewaktu buku 'About Perak' ini ditulis oleh Swettenham, 1893. (Sumber: Wikimedia)

Setiausaha Jajahan berpendapat yang peringatan ini “amat perlu”, tetapi beliau mengakui yang “tugasan seorang Residen sememangnya rumit” dan beliau faham yang “Residen-Residen tidak perlu menunggu arahan dari Kerajaan Pusat dan boleh menggunakan penilaian sendiri dalam melaksanakan setengah-setengah tugasan pentadbiran.”

Sememangnya pekeliling ini menunjukkan yang Kerajaan Pusat telah membenarkan Residen untuk memikul beban mentadbir sesebuah negeri, baik seorang Residen itu menjalankan tugas beliau dengan penuh tanggungjawab dan amanah untuk kebaikan negeri atau tidak. Seorang Residen dikehendaki mentadbir di bawah telunjuk dan arahan Kerajaan Pusat, lebih-lebih lagi jika kewujudan Residen di negeri itu termaktub dalam sesebuah perjanjian, tetapi oleh kerana keadaan yang kadang-kadang mendesak, terdapat Residen-Residen yang menjalankan tugas yang di luar tanggungjawab yang dijanjikan. Hanya Residen negeri Perak sahaja yang mempunyai tugasan yang termaktub dalam sesebuah perjanjian (Perjanjian Pangkor, 1874). Residen-Residen British ini bertugas dibawah kawalan kuasa Gabenor jajahan (colony) terdekat, yakni Negeri-Negeri Selat, sejak awal-awal lagi British mula bertempat dan berkuasa di rantau ini, disamping sesebuah negeri yang di bawah pentadbiran seorang Residen itu mempunyai sistem kerajaannya yang tersendiri.

Pegawai-pegawai yang dilantik untuk membantu Residen dilatih mengikut pengalaman yang ditimba dan nilai-nilai yang diterap oleh pegawai-pegawai yang sebelum ini bertugas di Negeri-Negeri Selat. Undang-undang jajahan dan Kerajaan British di India juga diadaptasikan di negeri-negeri Tanah Melayu mengikut keadaan semasa. Keadaan di Perak agak unik dan seorang pegawai yang bertugas dalam pentadbiran negeri perlu mempunyai pengetahuan yang baik dalam hal-ehwal tempatan.

Selepas berakhirnya Perang Perak, mendiang J.G. Davidson telah dilantik sebagai Residen British di Perak. Beliau dikatakan kurang senang menerima tugasan ini oleh kerana beliau tidak sukakan negeri ini, dan beliau meletakkan jawatan Residen beliau selepas bertugas selama setahun (Residen British Perak 1876-77). Pengganti beliau merupakan Encik Hugh Low (kemudiannya Sir Hugh – beliau dianugerahkan GCMG selepas mentadbir Perak selama sebelas tahun dengan jayanya) yang sebelum ini bertugas di Labuan. Saya tidak berniat untuk menulis mengenai kejayaan individu tetapi ingin mengutarakan kejayaan tumbuhnya sistem pentadbiran di bawah Residen. Untuk memberi gambaran yang ringkas dan jelas tentang evolusi sistem Residen di Perak, kita bermula dengan pembunuhan seorang pegawai British (yakni J.W.W. Birch) disebabkan tentangan dari orang-orang negeri ini. Ini diikuti Perang Perak dan penangkapan serta penjatuhan hukuman ke atas pihak yang bersalah dalam hal pembunuhan Birch. Di waktu Perang Perak inilah, Residen British yang baru (penulis merupakan Residen Perak yang baru ini, 1875-76) telah diberi kuasa yang sebelum ini belum pernah dirasai mendiang Birch. Walaupun begitu, Residen baru ini terpaksa berhadapan dengan orang Melayu beragama Islam yang kuat perwatakannya dan pegangan prinsipnya, dan hampir kesemua orang Melayu yang mempunyai kuasa dan pengaruh mempunyai perasaan benci dengan cara pentadbiran British atau apa-apa yang bertentangan dengan hal-ehwal orang Melayu atau agama Islam.

Sebuah Majlis Negeri (Perak State Council) ditubuhkan[1], dan ianya dianggotai Sultan, pembesar-pembesar Melayu dan beberapa towkay Cina. Majlis ini berunding untuk membincangkan diantaranya hal-hal undang-undang, pentadbiran dan perlantikan ketua-ketua kampung. Perlantikan sebagai ahli Majlis ini merupakan satu penghormatan yang besar untuk seseorang di Perak. Amalan ‘hamba hutang’ (debt slavery) dapat dihapuskan oleh Majlis Negeri ini dalam masa beberapa tahun. Pada 1874, orang-orang Melayu Perak tidak pernah dilihat tanpa kerisnya. Seorang lelaki Melayu dewasa selalu membawa bersamanya tiga hingga lapan alat senjata, sementara budak-budak lelaki Melayu akan membawa hanya dua atau tiga sahaja. Amalan membawa senjata ini telah berjaya dihentikan dan boleh dikatakan tidak wujud lagi. Keris yang dahulunya harta milik yang berharga untuk seorang Melayu, sekarang kurang nilainya akibat hilangnya amalan ini.

Notakaki:
[1]Majlis Negeri Perak ditubuhkan oleh Sir Hugh Low pada tahun 1877.

__________________________________________

Rujukan: Swettenham FA. III. Further Developments. In About Perak. Singapore: Straits Times Press; 1893. p13-16.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s