Tuan Haji Che’ Wi Janggut Merah: pengasas Madrasah Idrisiah

oleh Dr Hj Zabidi bin Haji Nawawi

Haji Nawawi bin Haji Mohd Tahir yang dikenali sebagai Tuan Haji Che’ Wi Janggut Merah atau Sheikh Nawawi Janggut Merah ialah seorang ulamak negeri Perak yang telah berkhidmat sebagai Penasihat Agama kepada lima orang Sultan Perak iaitu DYMM Almarhum Sultan Idris I, Almarhum Sultan Abdul Jalil, Almarhum Sultan Iskandar, Almarhum Sultan Abd Aziz dan Almarhum Sultan Yussuf Izzudin.

Nasab dan sejarah latarbelakang

Nasabnya adalah seperti berikut: Haji Nawawi bin Haji Mohd Tahir bin Haji Mohd Amin bin Haji Abdul Rahman (Tok Suboh) bin Syeikh Ahmad Al Zabidi Al Yamani.

Syeikh Ahmad Zabidi berhijrah ke nusantara dari daerah Zabid yang terletak di Utara Yaman, tidak jauh dari Pelabuhan Hodeidah. Hodeidah terkenal sebagai tempat kelahiran ramai ulamak Islam dan ia juga merupakan tempat asalnya seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Abu Musa Al- ‘Asya’ari. Abu Musa telah mendatangi Rasulullah SAW untuk menyatakan syahadah dan pulang semula untuk mengislamkan penduduk Zabid. Kemudian Abu Musa telah menyertai Rasulullah SAW dalam banyak peperangan jihad.

Tuan Haji Che Wi Janggut Merah dilahirkan di Kampung Kuala Kangkong, Kedah pada tahun 1300H (1882 M). Kemudian, bapanya, Hj Mohd Tahir berhijrah bersama2 keluarganya ke Pantai Remis, Perak.

Pendidikan

Beliau telah menuntut ilmu dengan bapa saudaranya, ulama tersohor negeri Terengganu iaitu Hj Mohd Syafie Losong yang telah berhijrah ke Terengganu dari Kedah untuk berguru dengan Syed Abdul Rahman Al Idrus (Tokku Paloh). Hj Mohd Syafie telah mendirikan pengajian pondok di sebuah kampong di Kuala Terengganu yang digelar sempena namanya iaitu Kampung Losong Hj Mohd Shafie.

Haji Nawawi juga telah berguru dengan Tuan Hussain Kedah Al-Banjari.

Mendirikan Madrasah Idrisiah

Almarhum Sultan Yussuf Izzudin bersama guru-guru Madrasah Idrisiah. Tuan Haji Che' Wi Janggut Merah (Hj Nawawi Hj Mohd Tahir) kelihatan berkaca mata hitam, berdiri lima dari kiri. (Sumber: Dr Hj Zabidi Hj Nawawi)

Atas arahan Almarhum Sultan Iskandar Shah, beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota pengasas Madrasah Idrisiah yang mengambil sempena nama ayahanda baginda, Almarhum Sultan Idris I. Kemudian beliau menjadi mudir Madrasah Mariah (bagi pelajar perempuan). Madrasah Idrisiah seterusnya telah menjadi madrasah tersohor di Asia Tenggara pada ketika itu dan telah melahirkan ramai ulama dan tokoh Islam. Para pelajarnya termasuk mereka yang datang dari luar negara, termasuk dari Brunei Darussalam. Antara pelajarnya telah menjadi mufti dan menteri.

Sultan Iskandar dan pendidikan Islam

Dengan tertubuhnya Madrash Idrisiah, pendidikan Islam telah berkembang pesat pada zaman tersebut. Ulamak-ulamak dari dunia Islam turut berkhidmat di Madrasah ini, antaranya Sheikh Hassan Yamani dan Sheikh Abdullah Maghribi. Malah Sultan Iskandar sendiri mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu agama sehingga baginda menghasilkan penulisan yang dinamakan Risalah Iskandariah. Risalah ini telah dihantar kepada semua qadhi di seluruh Perak sebagai panduan.

Di samping Risalah tersebut, baginda juga telah menulis sebuah kitab yang menyentuh perihal aqidah semasa dalam pelayaran kapal ke Tanah Arab. Telah diceritakan bahawa Almarhum Sultan Iskandar sering berada di saf hadapan sewaktu pengajian di Mesjid Ubudiah yang disampaikan oleh Haji Nawawi.

Dakwah di serata negeri Perak

Antara kawasan-kawasan yang menerima pengajian Hj Nawawi ialah daerah Kuala Kangsar, Larut Matang, daerah Perak Tengah dan daerah Manjung.

Kembali ke Rahmatullah

Hj Nawawi meninggal dunia pada 21.7.1969 pada usia 88 tahun. Beliau meninggalkan 24 orang zuriat dariapda 3 orang isteri. Tarikh tersebut bertepatan dengan tarikh manusia mendarat di bulan buat pertama kalinya. Beliau telah dikebumikan di Perkuburan Islam Kampong Changkat Ning, Batu 8, Bendang Siam, Jalan Trong, Changkat Jering, Perak.

Dr Hj Zabidi bin Haji Nawawi merupakan anak lelaki paling bongsu kepada Tuan Haji Nawawi.

One thought on “Tuan Haji Che’ Wi Janggut Merah: pengasas Madrasah Idrisiah

  1. Pingback: Dalam kenangan: Risalah Iskandar Shah, bah. 1 | SembangKuala

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s