Berikut adalah paparan tentang sistem perhubungan tali air di Perak dari siri terjemahan buku About Perak yang di tulis oleh Sir Frank Swettenham pada akhir abad ke-19.
Bermula dari sempadan utara negeri Perak, terdapat sebelas sungai yang boleh dimudiki kapal-kapal kecil yang dikuasai stim dan perahu untuk tujuan perdagangan. Sungai Kerian yang dari hulunya dijadikan sempadan Perak dengan negeri Kedah kemudiannya berada di wilayah kepunyaan British. Kapal-kapal hanya mampu memudiki hingga ke Selama, dan mungkin lebih jauh dari situ jika ianya memudiki Sungai Kerian di waktu air naik. Perkhidmatan kapal membawa penumpang dan barang-barangan dijalankan setiap hari menghubungkan Pulau Pinang dengan Nibong Tebal di Province Wellesley (Seberang Perai –Editor); dan sebelum adanya pembinaan jambatan, kapal ini boleh sampai hingga ke Parit Buntar, pusat pentadbiran utama Daerah Kerian dan juga kawasan utama penanaman padi dan tebu. Sememangnya diwaktu itu, perdagangan di antara Parit Buntar dan Pulau Pinang agak pesat.

Pelabuhan Telok Kertang pada tahun 1880an sebelum bukanya Port Weld. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)
Sedikit ke arah selatan, Sungai Gula mengalir melalui sebuah estet ladang tebu, dan lebih ke selatan lagi, Sungai Kurau yang boleh dimudiki kapal-kapal stim dan sampan. Berbanding dengan Sungai Kerian, kedua-dua sungai ini lebih cetek dan sukar dimudiki kapal yang sederhana saiznya. Di muara Sungai Kurau terdapat sebuah perkampungan nelayan yang besar, dan utara dari sini, terdapat Sungai Siakap dan pekan Bagan Serai yang mempunyai ladang-ladang tebu yang luas. Tebing Sungai Siakap mempunyai banyak pohon nipah yang daunnya boleh dibuat atap. Sungai Siakap juga digunakan untuk menghanyutkan kayu balak ke Pulau Pinang.
Sungai Selinsing dan Sungai Larut berada lebih di selatan, dan kedua-dua sungai ini boleh dimudiki kapal hingga ke Port Weld (Kuala Sepetang –Editor) dan Matang. Port Weld merupakan perhentian terakhir jalan keretapi Larut manakala Matang merupakan perhentian akhir jalan ke Taiping.
Perkhidmatan kapal menghubungi Port Weld dengan Pulau Pinang bejalan setiap hari dimana kapal-kapal ini berlayar mengikuti persisiran pantai, manakala kapal-kapal layar Melayu yang lebih kecil banyak berlabuh di Matang. Perhubungan di antara Port Weld dan Taiping, bandar utama daerah Larut, hanya melalui jalan keretapi dan denai yang boleh dilalui kereta kuda. Oleh sebab itu, untuk mengurangkan kos, barang-barang dagangan dibawa melalui jalan air ke Matang, dan dari situ, pedagang-pedagang boleh mengangkut barangan mereka dengan sendiri ke Taiping, Kuala Kangsar dan daerah Kinta.
Walaupun kedudukan Port Weld agak strategik dari segi aktiviti pengagihan barang-barang dagangan dari Pulau Pinang yang hanya 40 batu jauhnya, bilangan penduduknya tidak berkembang pesat. Di sini, kerajaan British telah membina dermaga, menambak tanah, membina jalanraya dan sistem saliran. Bekalan air di Port Weld baik kerana ianya disalirkan dari bukit-bukit di Larut. Semua usaha ini dilakukan dengan harapan Port Weld berkembang sebagai penempatan pedagang-pedagang British. Namun begitu, penduduk Port Weld hanya terdiri daripada kakitangan kerajaan dan sebilangan peniaga runcit yang membekalkan barangan untuk penduduk pekan Port Weld itu sendiri dan kampung-kampung nelayan di persekitaran. Satu pengajaran bagi pihak British di sini adalah supaya tidak membuat keputusan untuk membina pelbagai prasarana dengan melulu.
Jika difikirkan, Port Weld hanyalah sebuah tempat di mana orangramai berjalan dari kapal ke stesen keretapi atau sebaliknya, dan kesemua aktiviti yang berlaku di pekan ini boleh dijalankan tanpa ramai kakitangan, yang kebanyakannya lebih suka tinggal di bandar-bandar yang lebih besar seperti Taiping. Oleh kerana sisten keretapi dari Port Weld baik, seorang peniaga akan sanggup ke pelabuhan untuk menyelia pengagihan barang-barangnya sendiri, tanpa bergantung kepada kakitangan pelabuhan atau keretapi. Oleh sebab si peniaga ini boleh kembali ke pekan asalnya dalam tempoh 20 minit setelah selesai hal perniagaannya, tiada sebab untuk si peniaga ini membuat Port Weld tempat kediamannya. Cita-cita British untuk menjadikan Port Weld seperti bandar-bandar pelabuhan di Singapura atau Hong Kong nampaknya tidak berjaya.
Rujukan: Swettenham FA. V. Ports and Waterways. In About Perak. Singapore: Straits Times Press; 1893. p26-28.