Siri ‘A History of Perak’: Campurtangan British, bah. 2

Paparan ini merupakan sambungan kepada sedutan dari buku A History of Perak karangan R.O. Winstedt dan R.J. Wilkinson, yang berkisar krisis dalaman awal di Perak yang menglibatkan Raja Muda Abdullah dan Sultan Ismail.

Krisis bermula apabila peralatan neraca pegawai kastam di Kuala Perak diambil dari anak kepada Laksamana oleh Sultan Ismail. Peralatan ini kemudiannya diserahkan kepada pembesar yang dilantik sebagai pegawai kastam baru oleh Sultan Ismail, yakni Raja Mahkota[1]. Raja Muda Abdullah dan Shahbandar membalas tindakan Sultan Ismail ini dengan merampas kembali peralatan kastam ini dari Raja Mahkota. Disebabkan Sultan Ismail sedang sibuk menumpukan perhatian kepada Perang Larut, tiada tindakan diambil ke atas Raja Muda Abdullah.

Menteri Larut Ngah Ibrahim bersama anak-anaknya. (Sumber: Google Images)

Sir Harry Ord, Gabenor Negeri-negeri Selat dari 1867 hingga 1873. (Sumber: Wikimedia)

Pada tahun 1872, rakyat-rakyat British di Perak, termasuk seorang penterjemah berbangsa serani bernama Mr. Bacon, yang pernah diberi kemudahan oleh Raja Muda Abdullah telah mula berasa tidak puas hati dengan pentadbiran Sultan Ismail. Almarhum Sultan Ali sebelum ini pernah menghantar surat kepada Leftenan-Jeneral Anson bertarikh 18 Mac 1871 yang meminta supaya rakyat British untuk tidak berurusan dengan Raja Muda Abdullah untuk membeli tanah pertanian di Perak. Gabenor (Sir Harry) Ord telah menghantar Mr. (Charles J.) Irving, ketua auditor Negeri-negeri Selat, yang membawa bersamanya seorang penterjemah Melayu (Ibrahim, anak kepada Munsyi Abdullah) dari Johor, ke negeri Perak untuk menyiasat siapa yang sepatutnya dilantik sebagai Sultan yang sah. Irving telah menemui Raja Muda Abdullah pada 25 April 1872 untuk berbincang. Penemuan ini juga disaksikan Menteri Larut, Laksamana Muhammad Amin, dan juga Mr. Bacon yang turut serta menyokong Raja Muda Abdullah. Setelah perbincangan ini berakhir, Menteri Larut telah memberitahu Irving secara peribadi yang sebenarnya Sultan Ismail telah dilantik secara sah dan ianya tidak boleh ditarik balik oleh kerana pada masa itu satu tahun sudahpun berlalu dari tarikh perlantikan Sultan Perak. Pihak British mengesyaki Menteri Larut (beliau merupakan pembesar yang terkaya di Perak) mempunyai sebab tersendiri mengapa dia mahu Sultan Ismail memegang takhta Perak, dan bukan Raja Abdullah. (Sir Frank) Swettenham pernah membuat penelitian[2], “… untuk memastikan dirinya (Menteri Larut) berkuasa, cara yang paling berkesan adalah untuk memastikan jalur pemerintahan diganggu atau dipecahbelahkan“. Menteri Larut juga dirasakan lebih selesa berada di bawah pemerintahan seorang Sultan yang lebih tua daripadanya.

Charles J. Irving, ketua auditor Negeri-negeri Selat, 1867-1879. (Sumber: Google Images)

Irving kemudiannya membuat kesimpulan yang Menteri Larut tidak boleh dipercayai. Tanpa berjumpa dengan Sultan Ismail, Irving juga merasakan Sultan Ismail seorang Sultan yang “tidak praktikal dan kolot”. Irving juga menasihati kerajaan British Negeri-negeri Selat tentang Raja Muda Abdullah yang lebih peka dengan gaya hidup Barat dan jika dijadikan Sultan, Raja Abdullah tidak mungkin akan bersekutu dengan Raja Mahadi dan Sayid Mashhor untuk menentang Zia’uddin[3], wizurai negeri Selangor yang berasal dari Kedah. Pendek kata, perlantikan Raja Abdullah sebagai Sultan akan membawa keamanan di rantau ini, dari Kedah hinggalah ke Johor.

Namun begitu, pada 9 Mei 1872, Wan Hasan yang merupakan Temenggung Paduka Raja telah menghantar surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat untuk memberitahu British yang Sultan Ismail telah dilantik secara sah dan Raja Bendahara yang baru merupakan Raja Osman ibni Almarhum Sultan Ali. Dalam suratnya, Temenggung Wan Hasan juga membantah kedudukan Raja Abdullah sebagai Raja Muda yang bakal menghalang kedudukan cucu Sultan Ismail, dan sebagai seorang Raja yang memberi masalah bukan sahaja kepada Sultan Ismail malah negeri Perak sendiri. Temenggung Wan Hasan menambah yang beliau hadir sewaktu perlantikan Raja Ismail sebagai Sultan Perak, dan istiadat perlantikan ini juga disaksikan kedua-dua putera Almarhum Sultan Ali, Menteri Larut, Orang Kaya Balai Maharaja Lela, (Datuk) Seri Agar DiRaja, (Datuk) Panglima Kinta, Seri Maharaja Lela, Seri Nara DiRaja dan anak-anak Panglima Bukit Gantang dan Seri Adika DiRaja. Hanya Laksamana (Mohd Amin) dan Shahbandar (Uda Maamor) yang tidak menghadiri istiadat tersebut. Pembesar-pembesar Melayu yang hadir itu telah sebulat suara setuju dengan perlantikan Raja Bendahara Ismail sebagai Sultan, dan menganggap Raja Abdullah sebagai seorang yang dayus[4] dan tidak layak menjadi Sultan. Walaupun pada mulanya Laksamana dan Shahbandar tidak hadir di istiadat perlantikan tersebut, mereka akhirnya setuju dengan keputusan majoriti pembesar-pembesar Melayu untuk melantik Raja Ismail sebagai Sultan.

Pada 12 Mei 1872, Menteri Larut telah juga menulis kepada Gabenor Negeri-negeri Selat untuk membiarkan Sultan Ismail bertakhta di negeri Perak, dan Gabenor mencadangkan supaya pembesar-pembesar Perak untuk bermesyuarat untuk memberi kata putus dalam hal perlantikan Sultan Perak yang sah. Namun cadangan ini tidak diendahkan kerana keputusan pembesar-pembesar Perak dalam hal ini adalah muktamad.

Pada 12 Mac 1873, Raja Muda Abdullah telah meminta lesen senjata api dari Leftenan-Gabenor Pulau Pinang supaya dapat membanteras pertelingkahan yang sedang sengit di daerah Larut. Namun begitu, British mengesyaki yang Raja Muda Abdullah sebenarnya sedang lari dari pemiutang kecil-kecilan di Pulau Pinang dan permintaan beliau tidak dilayan. Ianya dikatakan yang Raja Muda Abdullah telah mendakwa kepada British yang dia telah akhirnya dilantik sebagai Sultan oleh ramai pembesar-pembesar Perak termasuk Menteri Larut, dan beliau telah menggunakan cukai yang dikaut dari daerah hilir Perak. Sultan Ismail pula mengesyaki yang Raja Muda Abdullah bukan sahaja hanya berpura-pura untuk menolong British dengan cubaan mengamankan keadaan, bahkan menerima bayaran untuk berpihak dengan sebuah kongsi gelap Cina[5] yang berperang di Larut. Oleh sebab ini, British secara amnya tidak mengendahkan Raja Muda Abdullah, akan tetapi mengiktiraf Sultan Ismail sebagai Sultan yang sah walaupun baginda dianggap sebagai seorang yang berpangkat Raja hanya dari sebelah tanah[6]. Dan tanggapan yang dibuat oleh British ini wujud sewaktu pemergian Sir Harry Ord yang digantikan oleh Gabenor baru, Sir Andrew Clarke.

Tidak disangkakan yang pertukaran Gabenor ini secara kebetulan diikuti pertukaran polisi Pejabat Jajahan (Colonial Office) di London yang akan menyebabkan mulanya campurtangan British di Perak.

[Bersambung…]

Notakaki:
[1]Raja Mahkota merupakan pembesar timbalan kepada Orang Kaya-kaya Laksamana di daerah hilir Perak.
[2]British mengesyaki Menteri Larut inginkan takhta Perak. Ini tidak mungkin berlaku kerana takhta Perak hanya boleh diduduki oleh Raja-raja Perak sahaja. Pembesar seperti Menteri Larut mempunyai kuasa yang besar di daerah mereka sendiri, dan di mata pihak British, pembesar-pembesar sebegini boleh dianggap ‘Raja’ memerintah daerah masing-masing.
[3]Peperangan Kelang (1867-1874) merupakan perang saudara di antara Raja Mahadi bin Raja Sulaiman dan Raja Abdullah bin Raja Jaafar yang memerintah Kelang di waktu itu. “Zia’uddin” di sini merupakan Tengku Kudin, seorang putera raja Kedah yang telah berkahwin dengan seorang puteri raja Selangor. Tengku Kudin pada mulanya dilantik untuk menamatkan perang saudara ini. Akan tetapi beliau akhirnya berpihak dengan Raja Abdullah. Kerajaan British Negeri-negeri Selat di waktu ini bimbang yang perang saudara ini akan menjejaskan pengeluaran bijih timah di Selangor dan secara senyap menyokong tindakan Tengku Kudin. Sayid Mashhor merupakan seorang pejuang nasionalis di Sarawak sewaktu pemerintahan Raja Brooke, dan beliau akhirnya menjadi penasihat kepada Sultan Abdul Samad dan Raja Mahadi.
[4]Anggapan ini dibuat setelah berlakunya peristiwa Raja Tipah melarikan dirinya bersama seorang Raja dari Selangor.
[5]Raja Muda Abdullah menyokong kongsi gelap Ghee Hin, manakala Menteri Larut Ngah Ibrahim menyokong Hai San.
[6]Bonda kepada Sultan Ismail adalah puteri kepada Almarhum Sultan Ahmaddin yang bernama Raja Nandak manakala ayahandanya bernama Saiyid Shaikh Al-Khairat yang berasal dari Siak.

Rujukan: Winstedt RO, Wilkinson RJ. A History of Perak. In: VIII – British Intervention. Kuala Lumpur; MBRAS: 1974. p94-5.

2 thoughts on “Siri ‘A History of Perak’: Campurtangan British, bah. 2

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s