Dalam kenangan: Risalah Iskandar Shah, bah. 1

Saudara Muhamad Adha, atau lebih dikenali dengan nomme de guerre beliau Ku Alam, merupakan salah seorang penyumbang terbaru laman web SembangKuala. Nukilan beliau di paparan ini akan diterbitkan dalam dua bahagian, dan ianya menyentuh kandungan Risalah Iskandar Shah, sebuah kitab agama Islam yang mengandungi titah nasihat yang ditulis oleh Almarhum Sultan Iskandar pada tahun 1921.

__________________________________

Bertempat di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada tahun 1918, Almarhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah (Marhum Kadasallah) menaiki tahta Kerajaan Perak sebagai Sultan Perak yang ke-30, menggantikan kekanda baginda iaitu Almarhum Paduka Seri Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah.

Sebuah salinan Risalah Iskandar Shah yang berada di Jabatan Agama Islam Perak. (Foto: YM Raja Mariam Raja Mohd Iskandar)

Ketika pemerintahan Almarhum, negeri Perak sedang berada dikemuncak kegemilangan dan ketika itu jugalah banyak perkara-perkara penting telah berlaku seperti contoh pembukaan Jambatan Iskandar serta pembinaan Istana Iskandariah. Di samping Almarhum diakui sebagai seorang sultan yang menghabiskan masa pemerintahannya untuk kepentingan rakyat, Almarhum Sultan Iskandar juga adalah satu-satunya sultan dan raja pemerintah di Tanah Melayu itu yang teralim dan sangat mengambil berat akan hal agama pada era itu. Hal ini terbukti apabila dalam tahun 1921, Almarhum telah mengarang dan menerbitkan sebuah tulisan yang berupa sebuah kitab agama yang diberi nama Risalah Iskandar Shah. Jika kita menatap seluruh isi kandungan dan tulisan Almarhum ini, kita akan dapat merasakan betapa mulia dan besarnya hasrat Almarhum untuk mengembangkan syiar Islam dan menghayati ajarannya. Sebagai bukti, marilah kita meneliti beberapa petikan yang disebut dari kitab Almarhum itu.

Di muka surat dua Risalah itu, Almarhum Sultan Iskandar dengan menggunakan gantinama Faqir menulis: “Wahai sekelian saudara-saudara ku lelaki dan perempuan dengarlah perkataan Faqir yang tidak sepertinya ini, mudah-mudahan akan menjadi kenangan-kenangan saudaraku sekalian kepada Faqir terutama sekali masa hilang hayat Faqir di belakang hari dan tiada sekali niat Faqir dengan bermegah – megah ataupun dengan menunjukkan kepandaian melainkan hanya Faqir berserah dan berpegang semata-mata pada Tuhan kita…

Tujuan Almarhum menulis Risalah itu di muka surat tiga dengan titahnya: “Maka adalah tujuan Faqir menulis Risalah kecil ini semata-mata niat Faqir ialah kerana mengikut dan menjunjung titah dan suruhan Rasul kita iaitu hendaklah ingat dan beringat-ingat kita satu sama lain baik dengan sepatah perkataan sekalipun.

Almarhum Sultan Iskandar dikenali sebagai seorang sultan yang sangat rendah hati. Ini terbukti dengan titah Almarhum di dalam Risalah tersebut di muka surat tiga: “…apalah gunanya kita bermegah-megah dengan bangsa kita, asal kita daripada tanah, kejadian kita kita daripada benda yang cemar dan keluar kita daripada tempat yang kotor kemudian kembali kita kepada tanah.

Di muka surat empat, Almarhum bertitah lagi: “…apalah kita berbimbang-bimbang pada menghimpunkan harta benda dan sayang kita menafkahkan dia pada membuat ibadat akan hal apabila kita mati diambil oleh orang-orang harta itu.” Almarhum Sultan Iskandar membuktikan bahawa titah ini di mana dalam tahun 1922, sejarah sama sekali tidak dapat melupakan Almarhum telah mewakafkan sejumlah harta yang sangat besar nilainya bagi mendirikan dan membiayai sebuah sekolah agama yang tertua dalam negeri ini yang telah banyak mengeluarkan tokoh-tokoh masyarakat dalam semua bidang termasuk bidang penulisan dan sastera. Sekolah itu masih kekal hingga sekarang dengan nama Madrasah Idrisiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang diambil sempena nama ayahanda Almarhum, yakni Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah. Di antara tokoh-tokoh yang pernah menjadi mudir di Madrasah Idrisiah adalah Allahyarham Syeikh Abdullah Fahim, datuk kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia.

Di muka surat enam belas Risalah ini Almarhum Sultan Iskandar menulis 4 rangkaian kata-kata hikmat yang patut dikenang oleh generasi sekarang: “Hina manusia dengan kerana miskin. Hina kampong dengan kerana semak. Hina senjata dengan kerana karat dan hina binatang dengan kerana kurus.”

Melaui kitab ini Almarhum mengarah supaya orang-orang alim di dalam negeri Perak menyampaikan ajaran Islam kepada seluruh hamba rakyat, dengan titah Almarhum di muka surat enam belas: “Hai orang-orang alim, tolong doakan oleh mu kaum kita mudah-mudahan supaya di bukakan oleh Allah hati mereka itu membuat yang disuruh dan berhenti daripada tegahan yang ditetahkan oleh Tuhannya dan tegur ajar oleh mu akan mereka itu … lagi, hai orang-orang alim, jangan sekali-kali engkau jadikan diri mu seperti pengayak tepung yang halus-halus keluar yang kasar-kasar tinggal.”

Kepada kadhi-kadhi dalam negeri Perak, Almarhum Sultan Iskandar memberi peringatan dengan titahnya di muka surat lapan belas: “Hai kadhi-kadhi, tidur baring makan minum dan bersenang-senang kamu itu kerana apa? Bukankah kamu apa yang diharapkan oleh Nabi kamu dan Raja kamu menaympaikan hukuman Tuhan kamu. Apa perkataan kamu yang sudah kamu sediakan pada masa hadapan Tuhan kamu di akhirat kelak. Adakah perkataan kamu itu pada fikiran kamu boleh melepaskan daripada orang-orang yang tiada menyampaikan titah Tuhannya? Jawab, jawab, jawab.” Atas sifatnya yang tawadhuk itu, Almarhum bertitah di muka surat dua puluh satu, “Ya Ehwanul Muslimin, isi negeri Perak sama ada lelaki atau perempuan tua atau muda, sekiranya berlaku hukuman Allah di atas kami, haraplah kami tuan maafkan apa-apa kekhilafan kami serta halalkan jika ada harta benda tuan-tuan termakam oleh kami. Kemudiaan pohon oleh mu ke Hadrat Rabbul ‘Alamin akan ampunNya serta dikurniaNya rahmat yang luas bagi kami Alang Iskandar. Demikian juga sentiasa memohon ke hadrat Tuhan mudah-mudahan disudahkanNya kita semua di dalam Husnul Khatimah, Amin.”

[bersambung…]

Rujukan: Buku Cenderamata Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah, 17 April 1999.

2 thoughts on “Dalam kenangan: Risalah Iskandar Shah, bah. 1

  1. Asalamualaikum Tuan, Sudi kiranya tuan dapat jelaskan sekira nya Sultan Iskandar Shah ini ada sebarang kaitan dengan perkembangan Tariqat Naqsabandiah Al Kholidiah di Kg Jerlun Perak yang di kembangkan oleh Sheikh Wahab atau Sheikh Ahmad Yatim bertempat di daerah Bota. Ada orang orang tua lama mengatakan Istana Iskandariah pernah dijadikan rumah solok bagi kegiatan tariqat diatas minat dan perihatin nya salah seorang Sultan Perak.

    WASSALAM

  2. Pingback: Raja DiTakhta Bernoktah Tiada | SembangKuala

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s