Raja Di Takhta Bernoktah Tiada

Semenjak Sultan Mudzaffar Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama pada tahun 1528, negeri Perak telah berkembang maju dan mengalami pembangunan dari segala aspek terutamanya dalam segi ekonomi dan sosial. Pembangunan secara menyeluruh ini amat ketara sehinggalah ke hari ini di bawah pemerintahan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah.

Sultan Idris Murshidul Azzam Shah (1887-1916).

Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar.

Jika diteliti dengan rapi, jasa, peranan dan sumbangan yang telah dikurniakan oleh Raja-raja Pemerintah negeri Perak terutamanya dalam memelihara kemakmuran rakyat, memartabatkan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi serta perkembangan ilmiah sebagai dasar pembinaan insan sukar untuk dipertikaikan. Ini dapat dilihat terutamanya semenjak pemerintahan Sultan Idris Murshidul Azzam Shah pada tahun 1887, negeri Perak telah mengalami kemajuan yang amat pesat khususnya di bidang pendidikan dengan terbinanya beberapa buah pusat pengajian tinggi seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Universiti Teknologi PETRONAS di Tronoh, Universiti Teknologi Tunku Abdul Rahman di Kampar dan Universiti Perubatan di Ipoh yang telah memberi sumbangan yang amat tinggi terhadap pembangunan modal insan negeri Perak dan negara Malaysia amnya. Kolej Islam Darul Ridzuan pula telah dinaik taraf kepada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah  dalam melahirkan lebih ramai lagi insan kamil lagi cemerlang yang berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah, diatas perkenan Sultan Azlan Shah. Baginda berpendapat bahawa pengajian tinggi Islam dalam negeri Perak mesti diperdalami dan dipertingkatkan seimbang dengan perkembangan pendidikan tinggi nasional. Kolej Melayu Kuala Kangsar yang ditubuhkan pada tahun 1905, yang juga merupakan alma mater kepada Sultan Azlan Shah, kekal sebagai sekolah terulung di negara ini yang melahirkan ramai tokoh-tokoh negarawan yang berwibawa.

Sultan Idris II (kanan sekali) sewaktu merasmikan Masjid Negeri (kini Masjid Sultan Idris Shah) pada 15 september 1978.

Sebagai Ketua Agama Islam di peringkat negeri, Raja-raja Pemerintah negeri Perak telah memberi perhatian khusus dalam perkembangan ajaran agama Islam. Dalam usaha mengembangkan syiar Islam dan menghayati ajarannya, Sultan Iskandar Shah (1918-1938) telah menulis dan menerbitkan sebuah kitab agama yang bertajuk “Risalah Iskandar Shah”. Demi memperkukuhkan lagi ajaran Islam, penglibatan Raja-raja Pemerintah Negeri Perak terutamanya dalam pembinaan masjid amat terserlah. Ini terbukti dengan terbinanya banyak masjid di sekitar negeri Perak seperti masjid Ubudiah, Masjid Ridzwaniah dan Masjid Kampung Kuala Dal di Kuala Kangsar serta Masjid Sultan Idris II dan Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh. Sewaktu pemerintahan Sultan Idris II (1963-1984), Baginda dari semasa ke semasa kerap mengingatkan para ulama agar penghayatan Islam itu harus diperhalusi dengan kaedah yang bersesuaian dengan peredaran zaman. Ini dapat dilihat melalui amanat terakhir Baginda tiga hari sebelum kemangkatan pada 30 Januari 1984. Sepanjang pemerintahan Sultan Azlan Shah pula, pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri diperkemaskan lagi mengikut keperluan semasa dan kemaslahatan para imam dan bilal dijaga dengan baik sejajar dengan tugas dan tanggungjawab mereka.

Keluaran Dalam Negeri Kasar negeri Perak pada tahun 2010.

Perlombongan bijih timah pada awal kurun ke-19.

Sejak zaman berzaman lagi ekonomi negeri Perak masyhur dengan kekayaan hasil bumi, terutamanya dari perlombongan bijih timah dan tanaman getah. Malah, pokok getah yang pertama ditanam di negara ini adalah yang ditanam di negeri Perak sewaktu pemerintahan Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzaffar Shah (1876-1887) pada tahun 1877. Semenjak itu, industri getah asli telah menjadi salah satu sumber utama ekonomi negara. Kini sumber pendapatan negeri Perak telah dipelbagaikan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya dari hasil perlombongan bijih timah dan tanaman getah sahaja. Di bawah pemerintahan Sultan Azlan Shah, sektor perkhidmatan (jadual di atas) kini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi bagi negeri Perak termasuk perubahan-perubahan dalam bidang teknologi dan perindustrian seperti contoh pembangunan Bandar PROTON di Tanjung Malim.

Sultan Iskandar kelihatan berdiri (empat dari kanan) selepas perlawan polo menentang pasukan  Duke of Kent. (Gambar ihsan dari keluarga DYAM Raja Ekram ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzudin)

Selain dari itu, Raja-raja Pemerintah negeri Perak amat sinonim dengan kemajuan sukan negara dan menjadi tunggak di dalam  acara-acara santai. Sultan Iskandar Shah (1938-1948) amat terkenal dalam sukan polo manakala Sultan Abdul Aziz (1938-1948) pula dalam permainan tenis. Sultan Yussuf Izzuddin Shah (1948-1963), iaitu ayahanda kepada Sultan Azlan Shah pula adalah Sultan yang pertama di negara ini yang memacu pesawat luncur angin (glider) pada tahun 1953. Sultan Idris II (1963-1984) pula amat dikenali ramai kerana penglibatan baginda dalam sukan air dan juga sebagai ahli muzik yang masyhur. Jasa dan sumbangan Sultan Azlan Shah dalam sukan hoki negara dan juga di peringkat antarabangsa menerusi Kejohanan Hoki Dunia dan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah tidak perlu untuk diperkenalkan lagi. Selain dari itu, Sultan Azlan Shah turut memainkan peranan penting untuk menyedarkan rakyat dan kerajaan negeri mengenai pemeliharaan alam sekitar. Atas daya usaha Baginda, hutan sekitar Tasik Banding telah diisytiharkan dan dipelihara sebagai khazanah alam semula jadi. Hutan yang diberi nama “Royal Belum” ini telah menarik perhatian ramai pencinta alam semula jadi seluruh dunia.

Sultan Azlan Shah menyampaikan Piala kemenangan kepada ketua pasukan India pada tahun 2009.

Sesungguhnya negeri Perak amatlah bertuah kerana diperintah oleh Raja-raja Pemerintah negeri Perak yang berdaulat lagi berpandangan jauh. Jasa dan sumbangan yang telah dikurniakan oleh Raja-raja Pemerintah negeri Perak dalam pembentukan negara moden Malaysia seharusnya terus dihayati dalam mengekalkan kedaulatan negara ini. Secara keseluruhannya, institusi DiRaja amat penting dalam pembentukan sesebuah bangsa dan kedaulatan negara. Perhubungan ini berkait rapat dengan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat sejajar dengan peredaran zaman mahupun keperluan semasa.

————————————

Rujukan:
1) The Straits Times, 28 September 1953, Perak Sultan first Ruler to go up in glider, p.4
2) Golden Anniversary Magazine for the Iskandar Polo Club, 1970
3) Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Negeri, 2010 (Kemas kini: 17/10/2011), Jabatan Perangkaan Malaysia
4) www.kiperak.edu.my

2 thoughts on “Raja Di Takhta Bernoktah Tiada

  1. Perak Sultanate is reigned by 3 families on rotation. Who will be the next Sultan after Sultan Azlan Shah?

    • Dalam pemilihan Raja Pemerintah yang baru, Dewan Negara hendaklah bermesyuarat dalam tempoh 24 jam daripada kemangkatan Raja Pemerintah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s