Peranan Waris Negeri Perak Kepada Takhta Singgahsana Negeri.

Raja Dato Sri Arif Shah

Yang Mulia Raja Dato’ Sri Arif Shah B Raja Kechil Sulung Raja Harun Al Rashid Al-Haj merupakan Waris Negeri yang pernah di calonkan didalam Mesyuarat Dewan Negara bagi di angkat sebagai Raja Bergelar [ Waris Negeri Kanan]-Foto Tengku Dicky

Diantara gulungan Pembesar dan Sultan terdapat gulungan kerabat DiRaja yang digelar sebagai Waris Negeri.

Waris Negeri merupakan satu [1] gelaran yang julung-julung kalinya yang hanya terdapat didalam negeri Perak Darul Ridzuan [1], Waris Negeri gelaran yang dimiliki oleh seseorang yang lahir dari benih zuriat Almarhum Paduka Seri Sultan Ahmaddin Shah – Sultan Perak ke Lapan Belas [18]  sebagaimana yang diperuntukkan didalam undang-undang tubuh negeri perak.

Bagi protokol dan tata adab empunya batang tubuh yang bergelar Waris Negeri di sapa sebagai “Engku”[2]. Keistimewaan gelaran Waris Negeri mengatasi segala jua gelaran orang besar istana. Sesungguhnya peranan Waris Negeri bagaikan benteng-benteng pertahanan yang menjaga Takhta Singgahsana Negeri Perak dan Paduka Seri Sultan pula bagaikan Ketua kerna itu jua di sebut Raja Yang Dipertuan Memerintah di atas takhta Singgahsana Negeri Perak. [3]

Adat berpakaian bagi Waris Negeri dan Kerabat.

Waris Negeri Perak suatu ketika dahulu atas cetusan pemikiran Raja Yang Dipertuan yang memerintah di atas takhta singgahsana Negeri Perak. Hasil  kebijaksanaan dan keprihatinan terhadap negeri dan rakyat. Hendak diletakkan didalam Dewan Negara [4] dibawah naungan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Ahmed Sifuddin Ibni Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah dibawah nama Majlis Waris Waris Negeri Perak. Ianya hanya kepada Waris Negeri Perak iaitu merujuk kepada benih Lelaki sahaja tidak boleh sama sekali Kerabat menyertai Majlis ini. Di mana didalam Majlis ini terkandung satu Majlis Nasihat yang diwakili oleh Waris Negeri peringkat Tua yang berperanan didalam memberikan nasihat, teguran dan pandangan kepada Dewan Negara, Raja Bergelar Kanan, Bakal Sultan dan Raja Pemerintah agar Negeri Perak senantiasa didalam kesentosaan dan rakyat sejahtera.

Namun belum sempat ianya terlaksana, Raja Yang Dipertuan Paduka Seri Sultan Idris Shah II telah mangkat maka ianya tidak dapat di realisasikan.

Sesungguhnya Waris Negeri amat penting didalam memastikan kesentosaan takhta singgahsana negeri perak yang mana yang terjadi dahulu krisis takhta.

Hirarki

Gulungan Waris Negeri terbahagi kepada dua [2] iaitu Waris Negeri biasa dan Waris Negeri Kanan yang merujuk kepada raja-raja bergelar seperti Raja Kecil Bongsu, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Sulong dan Raja Kechil Besar sementara itu, bagi bakal-bakal Raja Pemerintah negeri Perak adalah DYAM Tuanku Raja Di-Hilir, DYTM Tuanku Raja Muda.

Waris Negeri Perak

Pakaian Waris Negeri Biasa YM Raja Sallehuddin bin Raja Dato’ Sri Arif Shah [Ku Azam]- Koleksi Foto YM Raja Zarina binti Raja Salleh ud-din

Seseorang Waris Negeri biasa yang layak di pertimbangkan menjadi Waris Negeri Kanan [ Raja Bergelar] seterusnya bakal dipilih kelak sebagai Bakal Sultan namun hendaklah terlebih dahulu dilantik menyandang suatu gelaran dalam hirarki yang dinyatakan di atas lazimnya sebagai Raja Bergelar. Pemilihan dan perlantikan seseorang Sultan atau Raja Pemerintah dan jua lain-lain gelaran dalam hirarki di atas hendaklah mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Bahagian Yang Kedua.

Wujudnya satu badan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (perenggan 3.6) yang di kenali sebagai “Dewan Negara”. Badan ini mempunyai peranan amat penting dalam melaksanakan proses pemilihan dan perlantikan Sultan atau Raja Pemerintah dan lain-lain gelaran dalam hirarki yang tersebut.

Pemilihan dan perlantikan bagi tempat atau gelaran selain daripada Raja Pemerintah adalah atas titah perkenan Raja Pemerintah dengan nasihat Dewan Negara Perak. Bagi memilih dan melantik Raja Pemerintah yang baharu dinegeri Perak apabila berlaku kekosongan, Dewan Negara Perak dengan dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Sri Maharaja, hendaklah mengadakan mesyuarat dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja Pemerintah untuk memilih dan melantik Raja Pemerintah yang baharu.

Peraturan memilih bakal-bakal Sultan pula berdasarkan kepada beberapa hal [6], iaitu

l. Mestilah dipilih daripada Waris Negeri yang berhak keatas kerajaan Perak,
Baik budi bicara dan mendapat sokongan daripada para pembesar-pembesar.

2. Pilihan ini mestilah mengandungi tiga putera almarhum dan yang ke-empatnya berbalik kepada putera almarhum Sultan yang sedang memerintah: contoh yang diberi ialah,
a) Sultan yang memerintah sekarang ialah putera almarhum nombor satu.
b) Raja Muda diambil daripada putera almarhum nombor dua.
c) Raja Bendahara diambil daripada putera almarhum nombor tiga.
d) Putera Sultan yang sedang memerintah akan menduduki tempat Raja DiHilir.

Sekiranya pada mana-mana masa tiada lagi zuriat daripada benih Sultan yang kelapan belas [18], maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai seorang Raja Pemerintah dari antara zuriat-zuriat daripada benih Sultan yang pertama. Walau bagaimanapun sekiranya tiada zuriat daripada benih Sultan yang Pertama yang difikirkan harus dipilih, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai Raja Pemerintah seseorang lelaki daripada zuriat Sultan yang kelapan belas [18] yang daripada tanah (ibu).

Keunikan dan sistem pemerintahan yang indah dan tersusun telah meletakkan kebajikan Waris Negeri dibawah DYTM Tuanku Raja Muda manakala kebajikan rakyat negeri dibawah DYAM Tuanku Raja Di-Hilir iaitu Dua gelaran yang dipegang oleh Bakal Sultan.

DYAM Raja Di Hilir Perak - Raja Ja'afar Ibni Alamrhum Raja Muda Musa

Bakal Sultan –
Tuanku Raja Muda Perak & Tuanku Raja Di Hilir Perak

Perlantikan Bakal Sultan adalah berasaskan syarat-syarat sebagaimana yang diwajibkan bagi seorang Raja Pemerintah. Sebelum melaksanakan haknya atau menjalankan tanggungjawabnya, bakal Sultan dikehendaki mengangkat dan menandatangani sumpah yang ditetapkan oleh Dewan Negara. Sumpah itu mengandungi perkataan-perkataan yang mengikut perasaan orang yang dilantik. Kemudian barulah gelaran dianugerahkan mengikut adat Melayu.

Waris Negeri Kanan Negeri Perak - Raja Perak

Dari Kiri : Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa [ Raja Kechil tengah Perak ], Raja Raja Izzuddin Iskandar Shah Ibni Sultan Idris Shah II [ Raja Kechil Sulung ], Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah [ Raja Kechil Besar ] dan Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris II [ Raja Kecil Bongsu Perak ].
Foto ketika Istiadat Raja bergelar Tahun 1987.

Walau bagaimanapun sebelum seseorang dilantik menjadi Bakal Sultan, seseorang itu pada kebiasaannya hendaklah terlebih dahulu memegang jawatan Raja-raja Bergelar. Gelaran yang diberikan kepada Raja-raja Bergelar ialah Raja Kechil Besar, Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Bongsu, tetapi sekiranya berlaku di mana putera Raja-raja Pemerintah menaiki takhta Kerajaan setelah mangkatnya Raja Pemerintah ini adalah kerana putera itu memegang jawatan Bakal Sultan yang terkanan.

Kerna itu didalam hal ehwal keistanaan ataupun dalam ertikata lain penasihat raja adalah dikalangan raja yang merujuk kepada Waris Negeri dan menjadi tradisi jua bahawa ahli rasmi Dewan Negara iaitu Orang Besar Empat dan Orang Besar Delapan merupakan warisan diraja didalam menasihatkan Paduka Seri Sultan didalam pentadbiran negeri.

Fasal VIII. (1) Maka Dewan Negara Perak itu hendaklah mengandungi ahli-ahli seperti berikut :-
(a) Raja Muda, Raja Bendahara, Raja DiHilir, Raja Kechil Besar, Raja Kechil Sulung, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Bongsu, Menteri Besar jika seorang Melayu, Mufti sebagai ahli jawatan tetapi di syaratkan bahawa apabila gelaran Raja Bendahara di mansuhkan maka Raja Kechil Besar hendaklah menjadi ahli jawatan mengambil tertib kedudukan yang hampir di bawah Raja DiHilir.
(b) Menteri Besar jika ia seorang yang bukan orang Melayu dan mereka-mereka yang sementara ini menyandang gelaran-gelaran Orang Besar Empat dan Orang Besar Delapan sebagai ahli-ahli resmi;
(c) Sebelas Orang Tua dan seorang bukan bangsa Melayu yang tiada memegang jawatan yang bergaji di bawah mana-mana Kerajaan sebagai ahli yang bukan resmi;

Mesyuarat ini tidak di hadiri oleh bakal-bakal Sultan dan Raja-Raja Bergelar. Maka Dewan Negara Perak akan membuat keputusan dengan sewajar dan seadil-adilnya, iaitu samada dengan mendapat persetujuan sebulat suara daripada ahli-ahli sekalian terhadap sesuatu calon atau dengan mendapat kelebihan undi bagi seseorang calon itu. Dalam kata erti lain, hanya ahli-ahli Dewan Negara yang terlibat dalam pemilihan dan perlantikan Raja Pemerintah Negeri Perak. Untuk lebih jelas sila layari :- Appointment Raja Bergelar 1948c

11. UNDANG-UNDANG ORANG JADI RAJA ATAUPUN PENGHULU DIDALAM SESEBUAH NEGERI ATAU MUKIM ”ADATNYA”

Ada pun hutang penghulu kepada rakyatnya,

– Pertama mati rakyatnya di tanam,
– Kedua, hilang rakyatnya di cari,
– Ketiga, kusut di selesaikan,
– Keempat, jika salah dipatutkan.

Maka hutang rakyat kepada penghulu dua perkara, pertama di laungkan oleh penghulu, datang ia dan disuruh, pergi ia, dan lagi tatkala orang mengadap bichara itu di lihat baik-baik rupanya, salah duduknya, salah berdirinya, salah perkataannya serba yang salah sebarang lakunya, maka mereka yang salah itu disalahkan juga dan demikian pula yang benar itu hendaklah dibenarkan juga hukumnya, tetapi boleh di bezakan antara kechil dan salah besar di atas mereka-mereka sekalian dan lagi di atas bicara mereka itu di hukumkan betul-betul, jangan di ambil faedah di atas mereka-mereka itu tatkala di dalam mana-mana bicara pun.

93 UNDANG-UNDANG ORANG MENJADI ORANG BESAR DIDALAM NEGERI

– Adatnya pertama orang besar itu memelihara atas rajanya,
– kedua memelihara atas rakyatnya, maka amanlah negeri itu

____________________

Nota Kaki :-
1. Fasal VII (I) menjelaskan bahawa Raja Pemerintah itu hendaklah seorang zuriat di akui telah di peranakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh badan dan darah daging Sultan Yang Kelapanbelas.
Anak-anak Raja yang layak dan harus di pertimbangkan untuk maksud di atas itu adalah mereka yang di sebutkan sebagai “Waris Negeri”. Mengikut definisi dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, “Waris Negeri” maknanya seorang zuriat keturunan benih (lelaki) daripada Sultan Perak yang kelapan belas, iaitu Al-Marhum Sultan Ahmaddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Shah.

2. Bagi protokol dan tata adab empunya batang tubuh yang bergelar Waris Negeri sebagai “Engku”.

3. Undang-Undang Scholarship Iskandar

4. Sumber dari YM Raja Mohzan B Raja Tan Ahmad B Raja Kechil Sulung Harun Al-Rashid Al-Haj yang terlibat didalam proses Pembentukkan Majlis Waris-Waris Negeri Perak ketika di Ipoh.

5. Peruntukan Bagi Perlantikan Raja Pemerintah
Fasal VII (I) menjelaskan bahawa Raja Pemerintah itu hendaklah seorang zuriat di akui telah di peranakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh badan dan darah daging Sultan Yang Kelapanbelas [18].
(2) Zuriat yang harus menjadi Raja Pemerintah itu hendaklah seorang anak lelaki, cucu lelaki, cicit lelaki dan sebagainya dari sebelah pihak benih turun menurun sehingga yang akhir sekali dan tidaklah boleh dibenarkan sekali-kali walaupun dengan apa-apa sebab, dan hendaklah di haramkan memilih dan melantik seseorang sebagai Raja Pemerintah lain daripada seorang zuriat daripada Sultan yang kelapanbelas itu selagi ada hidup seorang zuriat seumpama itu daripada Sultan itu” Anak-anak Raja yang layak dan harus di pertimbangkan untuk maksud di atas itu adalah mereka yang di sebutkan sebagai “Waris Negeri”. Mengikut definisi dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, “Waris Negeri” maknanya seorang zuriat keturunan benih (lelaki) daripada Sultan Perak yang kelapan belas, iaitu Al-Marhum Sultan Ahmaddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Shah.

[6] Keterangan dipetik daripada Risalah ‘Adat Lembaga Negeri Perak’ yang dipinjam dari Orang Besar jajahan Parit, Perak. Beliau ditemui oleh penulis di Double Lian Hotel, Kuala Kangsar Perak, pada 13.8.1974.

* Undang-Undang 99 Negeri Perak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s