Dalam kenangan: Risalah Iskandar Shah, bah. 2

Saudara Muhamad Adha, atau lebih dikenali dengan nomme de guerre beliau Ku Alam, merupakan salah seorang penyumbang terbaru SembangKuala. Nukilan beliau di paparan ini akan diterbitkan dalam dua bahagian, dan ianya menyentuh kandungan Risalah Iskandar Shah, sebuah kitab agama yang ditulis oleh Almarhum Sultan Iskandar pada tahun 1921.

__________________________________

Gambar Duli Yang Maha Mulia Sultan Alang Iskandar Shah bergambar selepas merasmikan Masjid Pulau Tiga pada tahun 1935.

Gambar Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Sir’ Alang Iskandar Shah bergambar selepas merasmikan Masjid Pulau Tiga sekitar tahun 1935.

Risalah Iskandar ini mengandungi pelajaran Tauhid, Feqah ( Ibadah dan Muamalah ), Tausauf (ini terdapat mulai muka surat 22 hingga muka surat 103) dan diikuti oleh nasihat-nasihat dan arahan- arahan baginda untuk seluruh hamba rakyat.

Dimuka surat 114 buku itu terkandung salinan kertas minit No. 107-21 yang dikeluarkan dalam bulan September,1921 dari pejabat Kerajaan Bukit Chandan, ditujukan kepada Y.A.M. Raja Kecil Sulung, Raja Harun Al Rashid ibni Almarhun Sultan Idris Murshidul Azzam Shah.

Minit itu berbunyi, ” Adinda Raja Kecil Sulung, boleh capkan perkataan yang tersebut ini, hantarkan kepada Raja-Raja, Orang Besar-Besar, Kadi-Kadi dan Penghulu-Penghulu hendaklah digemar dan disukai oleh Rajanya hendaklah mereka itu taat dan bersungguh-sungguh menjalankan perkara yang di tegah oleh Tuhannya dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Tuhannya. Maka hendaklah mereka itu menegur ajar kepada anak buah mereka itu atas perkara tersebut. Maka hendaklah mereka itu ingat zaman kami ini, inilah perkara kegemaran kami. Silalah tuan-tuan buat.”

Di muka surat 117, 118, dan 119 merupakan nasihat baginda kepada semua hamba rakyat supaya menjaga kebersihan dan kesihatan bagi mengelakkan penyakit seperti taun dan sebagainya.

Di muka surat 121, adalah salinan surat baginda kepada Setiausaha Sulit baginda Y.A.M. Raja Harun Al-Rashid, titahnya, “Adinda Raja Harun P/S, boleh khabarkan kepada kadi-kadi dan penghulu-penghulu wajiblah mereka bersungguh-sungguh menyuruh anak buah mereka di dalam jajahan masing-masing membuat sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat dan dikehendaki mereka itu menghantar repot di atas perkara ibadat ini pada tiap- tiap tiga bulan sekali. Mana-mana rakyat beta yang tidak mahu sembahyang lima waktu dan Jumaat boleh mereka itu menghantar nama orang itu kepada kekanda dengan seberapa segera dan kekanda boleh pergi di mukim itu bicarakan hal itu. Siapa siapa kadi-kadi dan penghulu-penghulu yang bantah atau kurang usahanya di atas pekerjaan ini Insya Allah nanti mendapat susah yang besar sekelian naib-naib yang wajib menjalankan ini adanya. Tamat.”

Apa yang dititahkan oleh baginda di dalam minit itu dilaksanakan oleh baginda. Umpamanya hamba rakyat di kawasan Teluk Intan yang hidup pada zaman itu maseh ingat bagaimana baginda menghukum orang-orang yang makan di khalayak ramai di siang hari dalam bulan puasa dengan hukuman di suruh makan rumput di tengah-tengah padang digantung agok tempurung di leher atau disuruh berlari keliling pada dengan disaksikan oleh orang ramai. Begitu juga di Lambor Kanan baginda pernah meletakkan tangan agak keras ke perut seorang pengembang ajaran salah dengan titahnya dengan penuh kemurkaan, ” Iblis bersarang di perut kamu,” Tidak berapa hari selepas itu orang itu pun meninggal dunia.

Di muka surat 123 yang merupakan bahagian akhir atau penutup kitab ini baginda sekali lagi melahirkan hasratnya untuk melihat seluruh umat Islam di dalam negeri ini melaksanakan dan mengamalkan Islam. Titahnya, ” Wa Ba’adu maka daripada hari yang kami dianugerahi Allah Subanahu Wa Taala, menjadi Raja Negeri Perak ini, maka berdoalah kami mudah-mudahan dibukakan Allah hati perut kami apatah jalan yang boleh kami memolong di atas sekelian rakyat beta negeri ini terutamanya sekali bagi anak-anak negeri ini dan tiap kali kami berdoa kepada Allah Subanahu Wa Taala malam dan siang mudahan ditetapkan Allah iman-iman hamba Mu yang dinegeri ini. Ya Rabbi, bukakan hati hamba Mu, Faqir Allah Iskandar Shah, mudah-mudahan tunjukkan satu jalan yang boleh menolong hamba Mu apa-apa atau pun dengan; perkataan yang boleh mmemberi manafaat terlepas hamba Mu sekalian daripada tipu daya Iblis,”

Seperti yang disebutkan diawal rencana ini baginda adalah seorang Sultan yang sangat khusuk dan tawadhuk, bersedia ,elaksanakan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi. Ini jelas dari titah baginda di akhir Risalah ini, “Ya Allah, Ya Rabbi, apabila kami naik di atas tahta Kerajaan Negeri Perak ini ada juga Haji Lebai yang bercerita di atas hal kelakuan waktu zaman sahabat-sahabat dan kelakuan raja-raja yang adil di zaman-zaman dahulu. Masya Allah, apabila terdengar kami akan perkataan ini, baharulah kami tahu kesusahan yang besar dan bala yang besar terbeban di atas kami jadi kami bermohon kepada Allah bukakanlah hati kami melakukan sesuatu. Yang ada pada kami melakukan sesuatu.Yang ada kami buat sedikit-sedikit pada masa ini iaitu melawat masjid-masjid melihat bagaimana mereka membuat ibadat.”

YA ALLAH CUCURILAH RAHMAT KE ATAS AL MARHUM, AMPUNILAH DOSANYA, MASUKKANLAH ROHNYA KE DALAM GOLONGAN HAMBA- HAMBAMU YANG DISEBUT SEBAGAI AL IMAMUL-AADIL, DAN PARA SUHADA.

Risalah Iskandar sentiasa dalam kenangan, tertulis dengan kukuhnya di ingatan tiap muslim yang cintakan keadilan, kebenaran dan kemuliaan budi para pemimpinnya.

Sumber : Petikan dari buku cenderamata Majlis Perhimpunan Maal Hijrah pada 17.04.1999

SISTEM KESULTANAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN – Bahagian III

Untuk melihat dengan jelas proses pemilihan dan perlantikan Raja Pemerintah negeri Perak Darul Ridzuan, adalah baik jika kita mengambil contoh akan pemilihan dan perlantikan DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah bermula dengan gelaran Raja Kechil Bongsu dan kemudiannya gelaran-gelaran yang lain sehingga Baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada tahun 1984.

Perlantikan Y.A.M Raja Azlan Shah sebagai Raja Kecil Bongsu (1962)

Adalah menjadi kebiasaan bagi seseorang Raja Pemerintah semasa pemerintahannya melantik anakanda Baginda untuk mengisi tempat atau gelaran yang kosong yang  terdapat dalam hirarki Kesultanan yang dinyatakan di Bahagian I: Sistem Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan. Oleh itu,  mengikut peruntukan yang terkandung dalam Fasal XXXVII yang di nyatakan di atas,  D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Yusuff Izzuddin Shah sebagai Raja Pemerintah pada masa itu,  melantik anakanda Baginda, Y.A.M. Raja Azlan Shah, sebagai Raja Kechil Bongsu pada 19 Ogos 1962, bagi mengisi kekosongan disebabkan kemangkatan D.Y.A.M. Raja DiHilir Kamaralzaman pada 19 Juali 1962. Semasa perlantikan ini, Y.A.M. Raja Azlan Shah sedang berkhidmat di Jabatan Perundangan dan memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Johor. Dengan perlantikannya sebagai Raja Kechil Bongsu, Y.A.M. Raja Azlan Shah telah diletakkan kedalam hirarki sistem Pemerintahan Negeri Perak Darul Ridzuan. Susunan hirarki pada ketika itu adalah seperti berikut:

Hirarki 1962

Perlantikan Y.A.M Raja Azlan Shah sebagai Raja Kecil Tengah (1963)

Sultan Azlan RKT

D.Y.M.M Sultan Azlan Shah ketika bergelar Raja Kecil Tengah

Ditakdirkan Ilahi, D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Yusuff Izzuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Abdul Jalil mangkat pada 4 Januari 1963. Dengan kemangkatan Baginda itu,  maka susunan didalam hirarki pemerintahan negeri Perak telah berubah dengan kenaikkan penyandang-penyandang gelaran-gelaran yang di bawah seperti  D.Y.T.M. Raja Muda Idris Shah diisytiharkan sebagai Raja Pemerintah yang baharu, dan begitu juga bagi gelaran-gelaran di bawahnya. Y.A.M. Raja Azlan Shah telah di naikkan ke tempat Raja Kechil Tengah pada 1  Febuari 1963. Pada  tahun yang sama, dalam jawatannya Y.A.M. Raja Azlan Shah di naikkan ke jawatan sebagai Ketua Pendaftaran Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Ekoran kemangkatan Al-Marhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah, kekosongan pada gelaran Raja Kecil Bongsu telah diisi oleh anakanda Paduka Seri Sultan Idris Shah iaitu Raja Izzudin Iskandar. Dengan itu, kedudukan dalam hirarki pemerintahan yang baru adalah seperti adalah berikut :

Hirarki 1963

Perlantikan Y.A.M Raja Azlan Shah sebagai Raja Kecil Sulung (1977)

Pada 24 Mei 1977, Y.A.M Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman iaitu Raja Kechil Besar pada ketika itu telah mangkat. Berikutan dengan kemangkatan ini, penyandang-penyandang gelaran-gelaran yang di bawahnya telah di naikkan ke atas. Pada 1 Januari 1978, Y.A.M. Raja Ahmad Hisham telah di naikkan gelarannya dari Raja Kechil Sulung ke Raja Kecil Besar manakala Y.A.M. Raja Azlan Shah dinaikkan ke gelaran Raja Kechil Sulung. Susunan hirarki ekoran kemangkatan Raja Lope Nor Rashid adalah seperti adalah berikut:

Hirarki 1975

Perlantikan Y.A.M Raja Azlan Shah sebagai Raja Kecil Besar (1978)

Lebih kurang setahun selepas kemangkatan Y.A.M. Raja Lope Nor Rashid iaitu pada 9 Jun 1978,  kekanda kepada Y.A.M. Raja Azlan Shah iaitu D.Y.A.M. Raja Ekram, Raja DiHilir telah mangkat. Dengan kemangkatan ini, Y.A.M. Raja Ahmad Hisham bin Raja Abdul Malik telah dinaikkan sebagai Raja DiHilir, dan Y.A.M. Raja Azlan Shah pula dinaikkan ke gelaran Raja Kecil Besar pada 1 Ogos 1978. Pada masa yang sama, diperlihatkan bahawa D.Y.M.M Sultan Idris Shah telah melantik adinda baginda iaitu Y.A.M. Raja Ahmed Sifuddin sebagai Raja Kecil Sulung. Susunan hirarki pada ketika itu adalah seperti berikut:

Hirarki 1978

Di samping kenaikannya dalam hirarki Kesultanan Negeri Perak itu, Y.A.M. Raja Azlan Shah juga telah di naikkan ke jawatan sebagai Hakim Besar Malaysia pada 6 Mac 1979.  Kecemerlangan Y.A.M. Raja Azlan Shah di dalam Perkhidmatan Kehakiman telah membawanya  mencapai kemuncak kejayaan di bidang ini dengan perlantikan sebagai Ketua Hakim Negara pada 7 November 1982.

Perlantikan Y.A.M Raja Azlan Shah sebagai Raja Muda (1983)

Pada 12 Mei 1983,  D.Y.T.M. Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Aziz telah mangkat di Kota London. Berikutan dengan kemangkatan ini,  pengisytiharan telah dibuat oleh Setiausaha Dewan Negara bahawa Y.A.M. Raja Azlan Shah telah dilantik sebagai Raja Muda,  berkuatkuasa mulai 1 Julai 1983.  Y.A.M. Raja Ahmad Hisham,  Raja DiHilir Perak pada masa itu,  dikekalkan kedudukannya sebagai Raja DiHilir atas faktor kesihatan yang tidak membolehkan Baginda menjalankan tugas-tugas dan tanggungjawab yang lebih berat sebagai Raja Muda. Berikutan dengan perlantikannya sebagai Raja Muda,  D.Y.T.M. Raja Azlan Shah seterusnya meletak jawatannya sebagai Ketua Hakim Negara (Lord President). Perubahan pada susunan hirarki boleh diperlihat seperti di bawah:

Hirarki 1983

D.Y.T.M Raja Azlan Shah menaiki takhta kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan (1984)

Tatkala seluruh negeri Perak masih meratapi pemergian Al-Marhum Raja Muda Musa yang mangkat pada bulan Mei 1983, rakyat dinegeri ini dikejutkan sekali lagi dengan kemangkatan mengejut D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Idris Shah pada 1 Februari 1984. Baginda mangkat akibat serangan sakit jantung di Lumut Perak. Apabila seseorang Sultan atau Raja Pemerintah mangkat, maka pemilihan hendaklah dilakukan oleh Dewan Negara  daripada waris-waris negeri yang layak untuk menggantikan Raja Pemerintah yang telah mangkat itu. Pengisian ke tempat Raja Pemerintah yang kosong itu tidaklah secara automatik.  Ini adalah mengikut Peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Fasal VI (I) dan (2) seperti di bawah:

“Fasal VI (1) Manakala mangkat kita dan mangkat seseorang daripada ganti-ganti kita yang gemilang,  maka jenazah kita dan jenazah-jenazah ganti-ganti kita yang gemilang hendaklah di simpan dengan tiada dimakamkan mengikut sebagaimana adat Melayu sehingga seorang ganti telah dipilih dan dilantik,  dan inilah kita mengikrar dan memerintahkan bahawa hendaklah Raja Bendahara atau Orang Kaya Bendahara apabila gelaran Raja Bendahara itu dimahsuhkan menjalankan kuasa-kuasa dan menyempurnakan tanggungan-tanggungan Raja Pemerintah itu di antara kemangkatan seorang Raja Pemerintah  dengan lantikan seorang Raja Pemerintah baharu.

 (2)  Manakala berlaku kemangkatan yang demikian itu dan jikalau kita atau mana-mana daripada ganti-ganti kita melucutkan milik-milik Raja,  hak-hak,  kuasa-kuasa dan kebebasan-kebebasan bagi Raja,  Raja Pemerintah itu hendaklah dipilih dan dilantik oleh Dewan Negara seperti yang disyaratkan di bawah ini,  dan hendaklah apabila dilantik dinyatakan seperti itu mengangkat dan menanda tangani apa-apa sumpah yang harus ditetapkan oleh Dewan Negara itu dari satu masa ke satu masa dengan syarat bahawa sumpah yang demikian itu hendaklah mengandungi perkataan-perkataan yang akan mengikat perasaan Raja Pemerintah itu dan kemudian daripada itu Raja Pemerintah itu hendaklah ditabalkan mengikut adat Melayu.

Tetapi hendaklah disyaratkan pula bahawa dalam timbangan-timbangannya berkenaan dengan pilihan seorang Raja Pemerintah itu,  hendaklah Dewan Negara itu memberi timbangan-timbangannya yang pertama kepada sesiapa Bakal Sultan mengikut susunan yang tersebut di bawah ini,  yang keduanya kepada sesiapa Raja yang Bergelar dengan tidak mengikut tertib kedudukannya dan kemudian daripada itu hendaklah dijalankan seperti yang disyaratkan dalam Fasal VII, VIII dan IX dalam Bahagian ini.”   

idris-ii-lying-in-state

Pemilihan Raja Pemerintah yang baharu itu hendaklah di laksanakan dengan secepat mungkin.  Ini adalah mengikut Peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Yang Kedua yang terkandung dalam Fasal LXIII seperti berikut :

“Fasal LXIII.  Maka Dewan Negara itu tidaklah boleh dipanggil bermesyuarat melainkan dengan Titah Perintah Raja pemerintah itu.

Dengan syarat bahawa bila pekerjaan Dewan Negara itu berkenaan dengan lantikan atau pemberhentian seorang Raja Pemerintah atau lantikan seorang Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja,  atau lain-lain pekerjaan yang bersangkut paut dengan tubuh badan Raja Pemerintah itu, atau apa-apa pekerjaan lain yang pada mesyuaratnya disifatkan berfaedah yang Raja Pemerintah itu tidak bercampur, maka hendaklah Raja Bendahara atau Orang Kaya Bendahara apabila gelaran Raja Bendahara itu dimahsuhkan memanggil Dewan Negara itu bermesyuarat dengan syarat bahawa Dewan Negara itu hendaklah bermesyuarat di Kuala Kangsar dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja Pemerintah.

Pada masa kemangkatan D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Idris Shah, Bakal-Bakal Sultan pada masa itu adalah D.Y.T.M Raja Azlan Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin dan D.Y.A.M. Raha Ahmad Hisham bin Raja Abdul Malik. Didalam mesyuarat Dewan Negara untuk memilih pengganti Sultan yang baharu itu, Bakal-bakal Raja mahupun Raja-raja Bergelar tidaklah dijemput hadir dalam mesyuarat tergempar itu.Dalam mesyuarat yang telah di adakan pada 1 Februari 1984, Dewan Negara  telah memilih dan melantik D.Y.T.M Raja Azlan Shah iaitu Raja Muda pada masa itu, sebagai Raja Pemerintah yang baharu.  Perlu di nyatakan lagi di sini bahawa lain-lain pihak tidak terlibat dalam proses pemilihan seseorang Raja Pemerintah Negeri Perak,  mahupun pihak Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu ataupun pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. Selepas pemasyhuran D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Azlan sebagai Sultan Perak yang ke-34, kedudukan dalam hirarki pemerintahan juga telah berubah yang memperlihatkan tiga waris negeri yang baru iaitu Y.A.M. Raja Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Shah, Y.M. Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa dan Y.A.M Raja Iskandar Zulkarnain ibni Al-Marhum Sultan Idris Shah:

Hirarki 1984

Kini,  D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Azlan Shah telah memerintah negeri Perak  Darul Ridzuan selama 29 tahun.  Baginda telah menyambut perayaan Jubli Perak,  iaitu 25  tahun Pemerintahan Baginda pada  02 Februari 2009.

Kami berharap dengan butir-butir yang dinyatakan di atas serta artikel-artikel terdahulu, maka ianya akan dapat memberi keterangan yang jelas tentang sistem Kesultanan Negeri Perak Darul Ridzuan, lebih-lebih lagi mengenai proses pemilihan dan perlantikan seorang Raja Pemerintah di Negeri Perak.

SISTEM KESULTANAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN – Bahagian II

Dalam Bahagian I, kami telah berkongsi mengenai sistem pemilihan dan perlantikan Raja Pemerintah di negeri Perak. Pengkongsian ilmu pada kali ini menjurus kepada peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak terutamanya Bahagian Yang Kedua yang menyentuh aspek perlantikan seseorang Raja Pemerintah.

a) Peruntukan Bagi Perlantikan Raja Pemerintah

Fasal VII (I) menjelaskan bahawa Raja Pemerintah itu hendaklah seorang zuriat di akui telah di peranakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh badan dan darah daging Sultan Yang Kelapanbelas.

(2)   Zuriat yang harus menjadi Raja Pemerintah itu hendaklah seorang anak lelaki, cucu lelaki, cicit lelaki dan sebagainya dari sebelah pihak benih turun menurun sehingga yang akhir sekali dan tidaklah boleh dibenarkan sekali-kali walaupun dengan apa-apa sebab,  dan hendaklah di haramkan memilih dan melantik seseorang sebagai Raja Pemerintah lain daripada seorang zuriat daripada Sultan yang kelapanbelas itu selagi ada hidup seorang zuriat seumpama itu daripada Sultan itu”

Anak-anak Raja yang layak dan harus di pertimbangkan untuk  maksud di atas itu adalah mereka yang di sebutkan sebagai “Waris Negeri”.  Mengikut definisi dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak,  “Waris Negeri” maknanya   seorang zuriat keturunan benih (lelaki) daripada Sultan Perak yang kelapan belas,  iaitu Al-Marhum Sultan Ahmaddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Shah.

b) Peruntukan Bagi Perlantikan Bakal-Bakal Sultan

“Fasal XXX : Maka dari antara mereka yang harus di pilih sebagai Raja Pemerintah mengikut tertib yang di tetapkan dalam fasal-fasal VII dan VIII itu, hendaklah di pilih dan di lantik tiga orang Bakal Sultan oleh Raja Pemerintah itu dengan nasihat Dewan Negara”.  Bakal-bakal Sultan yang ada pada masa dahulu adalah :

Bakal-bakal Raja1

Almarhum Sultan Iskandar Shah bersama-sama Bakal-bakal Raja sewaktu pemerintahan Baginda (1918-1938) iaitu Raja Abdul Aziz ibni Almarhum Raja Muda Musa (Raja Muda) dan Raja Yusuf Izzudin ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil (Raja Bendahara).

Walau bagaimanapun, gelaran Raja Bendahara sebagai Bakal Sultan telah pun dihapuskan dan dimansuhkan. Dengan itu, Bakal-Bakal Sultan pada masa kini adalah:

  • Raja Muda
  • Raja DiHilir

c) Peruntukan Bagi Perlantikan Raja-Raja Bergelar

“Fasal XXXVII (I) Maka Raja Pemerintah itu,  dengan nasihat Dewan Negara itu,  hendaklah memilih dari antara mereka yang harus di pilih dan di lantik menjadi Raja Pemerintah,  empat orang lelaki yang hendak di sebutkan Raja Yang Bergelar dan di ketahui dengan gelarannya :

  • Raja Kechil Besar
  • Raja Kechil Sulung
  • Raja Kechil Tengah
  • Raja Kechil Bongsu

(2)    Maka Raja Yang Bergelar itu hendaklah berdiri sebagai Ahli-ahli Kanan Waris Negeri,  dan jikalau sekiranya ada pilihan bagi lantikan seorang Bakal Sultan,  maka hendaklah di utamakan timbangan ke atas mereka itu terdahulu daripada Waris Negeri yang lain oleh sebab gelarannya.”

d) Peruntukan Bagi Ditubuhkan Dewan Negara

“Fasal LVII.  Bahawa inilah di tubuhkan Dewan Negara bagi menolong dan menasihatkan Raja Pemerintah itu pada menjalankan pekerjaan Baginda seperti yang disyaratkan dalam Bahagian ini.

Fasal LVIII.  (1) Maka Dewan Negara Perak itu hendaklah mengandungi ahli-ahli seperti berikut :

(a)       Raja Muda, Raja Bendahara, Raja DiHilir, Raja Kechil Besar, Raja Kechil Sulung, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Bongsu, Menteri Besar jika seorang Melayu, Mufti sebagai ahli jawatan tetapi di syaratkan bahawa apabila gelaran Raja Bendahara di mansuhkan maka Raja Kechil Besar hendaklah menjadi ahli jawatan mengambil tertib kedudukan yang hampir di bawah Raja DiHilir.

(b)       Menteri Besar jika ia seorang yang bukan orang Melayu dan mereka-mereka yang sementara ini menyandang gelaran-gelaran Orang Besar Empat dan Orang Besar Delapan sebagai ahli-ahli resmi;

 (c)     Sebelas Orang Tua dan seorang bukan bangsa Melayu yang tiada memegang jawatan yang bergaji di bawah mana-mana Kerajaan sebagai ahli yang bukan resmi;

Untuk melihat dengan jelas proses pemilihan dan perlantikan Raja Pemerintah negeri Perak Darul Ridzuan, sila rujuk kepada paparan berkenaan pemilihan dan perlantikan DYMM Al-Marhum Paduka Seri Sultan Azlan Shah (Bahagian III), dari mula-mula lagi sebagai Raja Kechil Bongsu hingga Baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada tahun 1984.     

Bersambung………………

——————————————————–

Beberapa paparan terdahulu yang menyentuh perihal Undang-undang Tubuh Negeri Perak:

https://sembangkuala.wordpress.com/2009/06/15/the-constitution-of-perak/

https://sembangkuala.wordpress.com/2009/06/21/article-7-perak-constitution-descendant-of-eighteenth-sultan/

https://sembangkuala.wordpress.com/2009/08/15/article-xxv-perak-constitution-honours-dignities/