Perbahasaan istana – penggunaan panggilan Tuan

oleh YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa

[Berikut adalah sambungan paparan ‘Perbahasaan Istana’.]

4. Menegur dalam perbualan: Tuan

Kaum kerabat yang tertua** tiada menegur Raja-raja itu secara “Tuanku”, cuma sekadar “Tuan” sahaja. Pada ketika masa-masa yang tertentu pula, kerabat tua-tua juga menegur Raja-Raja terutama itu dengan menyebut gelaran jawatannya sahaja.

Sebagai contoh-contoh pertuturan di antara mereka dalam istana :

a. Raja Ampuan Pahang (Raja Fatimah binti Sultan Alang Iskandar, isteri Sultan Abu Bakar, berbahasa kepada paduka adindanya Sultan Perak ke-33). Sang kakak masuk ke dalam kamar peribadi Sultan Idris: “Hai Sultan Perak, belum lagi awaok turun-turun ke balai? Raja Empuan Perak udah lama mera’i Orang-Orang Besor awaok!” Dijawab oleh adiknya, “Hai, sabor-saborlah Chor… ini patik nak turun dah ni!”

b. Raja Muda Musa Ibni Sultan Abdul Aziz (berpangkat abang saudara) kepada Sultan Idris Iskandar, berbual melalui telefon dari Teluk Intan ke Istana Iskandariah: “Hello… Yamtuan ke tu? Harap diampun, Tuan. Abang baru balik nengok anak bulan di Pulau Sembilan… udah nampak, Tuan! Bolehlah pertitah bicara Sultan Perak. Abang menunggu perintah…”

c. Raja Hisham Abdul Malek, Orang Besar Jajahan Hilir Perak (kelak menjadi Raja Di Hilir Perak) yang berpangkat abang saudara kepada Raja Muda Musa. Semasa penyusunan acara persandingan Di-Raja puteri putera Perak–Pahang di Teluk Intan: “Hemat Abang… eloklah Tuan letakkan Raja Perlis di sebelah kiri anakanda-anakanda pengantin. Yamtuan Pahang sebelah kanan. Yamtuan Perak, Chor Pahang dengan yang lain-lainnya kira perkenan selaku Waris kitalah berperatur sendiri, kerana ruang tamu Istana ini agak sempit sikit…. Begitulah hemat Abang.”

[**] Dalam pada itu, sekalian kerabat diraja atau Waris Negeri yang berumur lagi bermartabat tua (berpangkat “abang” atau “kakak”, apatah lagi yang berpangkat lebih tua) dari Raja Di-Hilir, Raja Muda dan Sultan, TIDAK menyembah mereka yang berkenaan itu. Saudara tertua hanya perlu menundukkan hulu semasa berformaliti “mengadap” di majlis Raja-Raja terutama itu.

__________________________________

Nota kaki: Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.

Perbahasaan istana – penggunaan Payung

oleh YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa

[Berikut adalah sambungan paparan ‘Perbahasaan Istana’.]

3. Menegur dalam perbualan: Payung

Sebutan menegur Waris Negeri sebagai ‘Payung’ itu adalah dalam perbahasaan Orang-orang Besar Negeri secara panggilan timang-timangan terhadap anak-anak raja. Perbahasaan ini adalah diperkenalkan oleh Orang-orang Bugis etnik Luwu di Perak, yakni dalam pertengahan kurun ke-18 Masehi. Di negeri Luwu, Raja-raja Pemerintahnya adalah bermartabat ‘Pajung’ (payung).

Sampai ke tetahun 60an sehingga ke 70an, masih ada lagi Orang-orang Besar Negeri yang tertua dan orang-orang warisan bangsawan tertua yang akur mempraktik seni pertuturan perkarangan Istana Perak, terhadap Waris-waris Negeri, termasuklah berbual secara informal dengan Raja Di Hilir, Raja Muda dan Baginda Sultan secara mengistilahi raja-rajanya itu sebagai Payung.

Niat penyebutan Payung tersiratlah kemesraan yang bermaksud “Pemimpin yang dikasihi” atau “Payung Kemuliaan Negeri yang dikasihi”. Sesudah merasmikan formaliti menyembah sekali sahaja sekiranya raja itu Raja-raja pemimpin negeri, tiadalah lagi si tertua itu menyebut perkataan “Tuanku”. Misalnya seorang Orang Kaya Bendahara atau pun Orang Kaya Temenggong mahupun orang-orang tua istana yang sudah terjalin akrab peribadi mereka dengan baginda-baginda itu, maka di majlis tersebut berkatalah mereka seperti contoh-contoh yang berikut ini:

“… Harap diampun Payung, patik ini berhutang sembah… udah lama Paduka tak berangkat melawat Kampung (Si Anu).”

ataupun:

“… Hai Payung patik!… Payung ini Tuan Penghulu patik, rasanya beranilah perhamba tua ini berhutang sembah… baiklah Payung jangan berkeras sangat terhadap Menteri Besar kita itu, nanti buruk akibatnya!”

Seolah Payung itu berbeza dengan erti kata Paduka / Sultan. Oleh kerana (si anu) itu telah “berhutang sembah” (yakni bertangguh formaliti), maka tiadalah ia menyembah Rajanya. Norma pertuturan dalam perbualan informal seperti tersebut adalah dipraktikkan oleh orang-orang dalaman istana yang berumur tua dari raja-raja, yakni bukan oleh mereka yang sebaya atau muda dari sang diraja itu. Misalnya lagi:

[Oleh seorang dayang tua bernama Zaidah* yang juga tukang masak sebegitu lama di istana; manakala Sultan Idris Iskandar menyerempak ke dalam dapur di-Raja]: “Hoh, Allah! Ya Payung patik!… Apa dibuat Yamtuan masok mencemor duli ke dalam dapur yang kotor ini?!… Pegi, Payung, pegi. Melatah didek-didek perhamba jinak nenguk Pepanji Negeri di dapur… kut tak masak lauk karang! Hah! Buatle! Silalah ngedor, Payung jejuah patik… Hai, Ya Allah! Sila keluwor sekarang jua, Yong oi! Sila keluwor… Kalu nak nengok patik menjerit, hai Tuan Penghulu oi, hah tunggu le!”

[*]Tersirat di sebalik Puan Zaidah (Wan Zedah) menyanjungi Raja Pemerintahnya, namun kerana dia amat mesra dengan Raja Yang Dipertuan (“Yamtuan”), maka sang dayang tua itu berani menegur “Tuan Penghulu” yang dikasihinya – lagi menyuruh secara bersahaja baginda keluar meninggalkan dapur dengan ugutan nanti pekerjaan di dapur itu tiada akan dilaksanakan oleh mereka. Sebutan ‘Yong’ yang nyata terpendek dari perkataan ‘Payung’ telah menyerlahkan luahan keperibadian nan erat lagi manja terhadap Rajanya. Di sini, baginda sedar akan “kenakalannya” itu kerana baginda memang suka merendahkan diri. Sesungguhnya Wan Zedah itu seorang pelatah. Dengan geli-geli hati, baginda Tuanku Idris pun ngedor (beredar) ke dalam istana.

Begitulah hakikat erti kata yang tersirat di sebalik perkataan-perkataan “Tuan Penghulu”, “Paduka” (yakni keayahandaan perkauman) dan “Payung”.

__________________________________

Nota kaki: Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.

Paparan SembangKuala akan datang akan membincangkan penggunaan panggilan “Tuan” dalam perbahasaan istana.

Perbahasaan istana – penggunaan panggilan Tengku dan Engku

oleh YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa

Ada empat perkataan yang dipergunakan menegur segolongan orang-orang yang berdarjat kemuliaan – Tengku, Engku, Payung dan Tuan. Ianya tidak / bukannya sebagai gelaran, tetapi hanya demi mengiktirafi pangkat atau kedudukan mereka sahaja. Paparan ini berkisar penggunaan dua perkataan pertama, yakni panggilan Tengku dan Engku.

1. Menegur dalam perbualan: Tengku

Hanya ditujukan kepada:
a. Isteri Raja Pemerintah yang berbenih Orang Kebanyakan
b. Orang Kaya Temenggong
c. Orang Kaya Menteri
d. Syarifah yang menjadi isteri Raja Bergelar
e. Puteri (anak Megat) yang menjadi isteri Raja Bergelar

2. Menegur dalam perbualan: Engku

a. Ditujukan khas kepada anak-anak raja Waris Negeri dan kepada mereka yang sudah bergelar setakat pangkat dan gelaran Raja Kecil Bongsu, Raja Kecil Tengah, Raja Kecil Sulong dan Raja Kecil Besar. Raja-raja Kecil berempat ini juga dipanggil ‘Engku Cik’.
b. Syed yang beristerikan Waris Negeri (‘Engku’ ataupun ‘Engku Syed’, yakni, tidak lagi ditegurnya sebagai “Tuan Syed”)

__________________________________

Nota kaki: Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk mempaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.

Paparan SembangKuala akan datang akan membincangkan penggunaan panggilan “Payung” dalam perbahasaan istana.