Adat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah-Sembangkuala

D.Y.M.M Pemangku Raja Perak sedang menandatangani Surat Perlantikkan sebagai D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

Artikel ini menerangkan akan hal ehwal yang berkaitan dengan pengertian yang tersirat tentang tiga (3) watak iaitu Raja Yang Dipertuan, Sultan dan Raja Pemerintah yang terdapat didalam Adat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak yang melibatkan beberapa peringkat iaitu Adat Istiadat Tabal Kerajaan iaitu Istiadat Pemahyuran sebagai Sultan Perak Darul Ridzuan yang baru selepas Kemangkatan Raja Pemerintah Negeri Perak yang sedang memerintah. Kemudian Istiadat Tabal Adat dan akhir sekali Istiadat Tabal Pusaka. Kedua-dua istiadat ini dilaksanakan selepas 100 hari Raja Pemerintah Negeri Perak yang baru dilantik. Namun sebelum Istiadat Tabal Adat dan Istiadat Tabal Pusaka dijalankan adalah menjadi kelaziman Istiadat Meletak Kerja Pertabalan dilakukan terlebih dahulu dengan mendapat perkenan Raja Pemerintah. Artikel ini jua melibatkan beberapa versi Istiadat yang telah dilaksanakan oleh Raja-Raja Pemerintah Negeri Perak yang terdahulu yang berakar umbi daripada Istana Kesultanan Melayu Melaka. (klik Raja Yang Dipertuan untuk mengetahui istilah yang lebih mendalam perihal Raja Yang Dipertuan.

Istiadat Tabal Adat merupakan upacara pertabalan rasmi di mana Raja Pemerintah baru akan ditabal secara rasmii dalam Balairong Seri Istana. Namun Istiadat Tabal Pusaka pula mempunyai kesenian budaya mengikut beberapa fasa istiadat yang melibatkan kawasan didalam dan luar Istana seperti berikut :

– Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada,
– Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak,
– Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan,
– Istiadat Bersiram Tabal dan
– Istiadat Menyantap Nasi Berastakona.

Pemasyhuran Raja Pemerintah yang baru telah dibuat oleh Orang Kaya-Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Jen (B) Mohd Zahidi Zainuddin sekitar jam 3.15 petang pada  29 Mei 2014 yang di Balai Rongseri Istana Iskandariah. Kuala Kangsar.

D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Nazrin Shah Sedang Membaca Lafaz Sumpah

D.Y.M.M Paduka Seri Sultan Sedang Membaca Lafaz Sumpah sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

 Dalam lafaz sumpah.

“Bismillahirrahmanirrahim…
 Adalah kita, Raja Nazrin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah
bersumpah dengan 
Wallahi Wabillahi Watallahi 
bahawa kita mengaku
Memerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan Sekalian Jajahan Takluknya
Menurut Perlembagaan Negeri Perak dengan Adil mengikut Hukum Allah.” 
Titah Raja Dr Nazrin Shah, 
Kemudian baginda meletakkan tangan kanan atas keranda jenazah Almarhum sebagai tanda menerim Amanah sebagai Sultan Perak yang baru dan tanda bagi keranda jenazah almarhum di usung untuk Istiadat Pemakaman. [Potret dibawah adalah tanda kasih seorang anak kepada ayah untuk kali terakhir dan bukannya Adat].
Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah Menerima-Sembangkuala

D.Y.M.M Paduka Seri Sultan menerima Amanah di atas Keranda

 Laungan Daulat Tuanku dilaungkan sebanyak 3 kali (Dengan Tangan Merafak Sembah).

Kemudian di akhiri bacaan Doa Selamat oleh Mufti Negeri Tan Sri Harussani Zakaria.

ISTIADAT TABAL KERAJAAN 

Istiadat Tabal Kerajaan merupakan Pemasyhuran ataupun Perlantikkan Sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan yang baru bagi mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang berpaksikan Sistem Raja Berperlembagaan didalam Negara Malaysia. Perlantikkan sebagai Raja Pemerintah membolehkan jenazah Almarhum Raja Pemerintah yang mangkat di sempurnakan mengikut adat istiadat. Raja Pemerintah baru akan dilantik oleh Dewan Negara Perak. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja mengumumkan perlantikan Raja Pemerintah baru di khalayak orang besar-besar dan orang kenamaan yang hadir di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Selepas pengumuman, para hadirin menyeru tiga kali ‘Daulat Tuanku’. Raja Pemerintah baru meletakkan tangan kanannya pada keranda almarhum sebagai tanda penerimaan perlantikan tersebut dan tanda izin untuk keranda almarhum di angkat dan di usung keluar untuk Istiadat Pemakaman oleh Waris Negeri [Anak Raja]. Gambar diatas memperlihatkan Istiadat Tabal Kerajaan (Klik Link diruang untuk melihat Istiadat Tabal Kerajaan) yang telah disempurnakan pada 29 Mei 2014 yang lalu[Adat zaman dahulu, apakala seseorang Sultan mangkat, pada masa hendak diturunkan jenazah almarhum itu daripada istana, sebelum diangkat maka Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda akan berdiri hampir disebelah ulu keranda itu. Kemudian seorang kepada Bentara iaitu Toh Seri Nara Diraja pun berseru menyatakan dengan nyaring suaranya kepada sekalian raja-raja dan orang besar-besar  semua yang hadir mengatakan :
Bahawa dengan kurnia Allah dan Rasulnya serta dengan kesukaan dan persetujuan raja-raja dan orang besar-besar sekalian isi negeri maka pada masa dewasa yang baik dan saat yang sempurna inilah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Wakil Sultan dilantik Yang Dipertuan Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri ini iaitu mengantikan almarhum yang telah kembali kerahmatullah ini.

Maka sekalian raja dan orang besar serta hadiri yang hadir mengatakan “Daulat Tuanku”. Maka Duli Yang Maha Mulia itu pun menjamah meletakkan tangan pada keranda itu serta memberi titah perintah kepada segala raja-raja dan orang besar-besar sahaja menyuruh angkat keranda itu turun daripada istana diletakkan kedalam seraja diraja yang telah tersedia dihalaman istana itu. Maka seraja diraja itupun diangkat orang dan semboyan meriam pun dipasang sebanyak umur almarhum itu. Mengikut adat Negeri Perak tiadalah diturunkan keranda almarhum itu selagi belum ditetapkan gelar gantinya. Maka jikalau tiada Raja Muda itu hadir dengan apa-apa sebab maka haruslah digelar Raja Bendahara menjadi Pemangku Sultan dan jikalau tiada Raja Bendahara diangkatlah seorang daripada Orang Besar Empat yang lebih umurnya menjadi Pemangku.

1. TABAL ADAT

Istiadat Tabal Adat adalah upacara pertabalan rasmi di mana Raja Pemerintah baru akan ditabal secara rasmi mengikut adat resam turun-menurun dan dengan penuh gilang-gemilang. Istiadat ini dilangsungkan di dalam Balairong Seri, Istana Iskandariah dengan keberangkatan hadir wakil-wakil Sultan dan Raja Pemerintah Negeri yang lain dari Semenanjung Malaysia serta Negara Brunei Darussalam. Turut diundang hadir adalah Menteri Besar, orang besar-besar, wakil rakyat dan orang kenamaan. Lazimnya adat zaman berzaman, pada Istiadat Tabal Adat ini hanya melibatkan Raja Pemerintah sahaja. Kerna itu disebut Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan [Terhimpun didalam Buku Adat Lembaga Orang-Orang Melayu Didalam Negeri Perak Darul Ridzuan Daripada Zaman Purbakala].

Istiadat Tabal Adat

Pawang Diraja – Raja Chik Muda mempersembahkan Pedang Cura Si Manja Kini

Terhimpun didalam Buku Adat Lembaga Orang-Orang Melayu Didalam Negeri Perak Darul Ridzuan Daripada Zaman Purbakala]. Sebelum detik Pertabalan dilangsungkan, peralatan pertabalan iaitu Perkakas Kerajaan telah di mulakan terlebih dahulu dengan paluan Nobat pagi dan petang selama 4 hari berturut-turut sehingga saat pertabalannya ditentukan. Tepat pada jam yang ditentukan, paluan Nobat lagu “Raja Berangkat” akan dibunyikan. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan yang telah siap sempurna berpakaian lengkap dengan Mahkota (Jata Paduka Seri Sultan) yang diletakkan di Tengkolok dan memakai pontoh bernaga dan rantai bunga naga serta rantai bunga nyior berangkat masuk ke Balairong Seri dengan didahului oleh Panglima Besar, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir berserta juruiring. Baginda Sultan lalu naik bersemayam di atas singgahsana, manakala yang lain-lain mengambil tempat masing-masing.

(Dewasa kini) Istiadat Pertabalan dimulakan dengan Dato’ Pengelola Bijaya Diraja yang menatang AL-QURAN diiringi Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Perak masuk ke Balairong Seri bersama Pawang Diraja – Raja Chik Muda [dahulunya dikenali sebagai Y.A.M Raja Kechil Muda] dikapit oleh Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri pun membawa masuk dengan menatang PEDANG CURA SI MANJA KINI [Asalnya Curik man Dakini] diikuti Bentara-Bentara yang membawa perkakas kerajaan yang lain. lalu diletakkan dihadapan singgahsana melainkan Cap Halilintar dan Mestika Embun yang telah sedia disimpan oleh Toh Seri Nara Diraja. Apabila tiba di hadapan Singgahsana Dato’ Pengelola Bijaya Di-Raja memohon perkenan Baginda untuk meletakkan AL-QURAN di atas meja khas. (klik PEDANG CURA SI MANJA KINI untuk mengetahui riwayatnya).

Pawang Diraja – Raja Chik Muda mengambil tempatnya. ketika itu juga Panglima Besar menyembah dan terus mengambil Pedang Cura Si Manjakini, dan diserahkan kepada Pawang Diraja – Raja Chik Muda, setelah memberi hormat, Pedang Cura Si Manjakini dibawa naik oleh Pawang Diraja – Raja Chik Muda ke Singgahsana hingga ke tingkat dua, bertelut menyembahkan Pedang Cura Si Manjakini. 

Toh Seri Nara Membisik Rahsia Sultan kepada Raja Yang Dipertuan - Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin

Raja Yang Dipertuan – Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin sedang mengucup Pedang Cura Si Manjakini ketika Istiadat Pertabalan Baginda

[Adat zaman dulu yang masih dipraktikkan sehingga bahagian membisikkan RAHSIA NISAB SULTAN”]. Paduka Seri Sultan mengambil Pedang Cura Si Manjakini itu lalu menghunus akannya dan lalu mengucup serta disarongkan semula, maka baginda pun menyandangkannya dibahu kanan. Pawang Diraja – Raja Chik Muda mengundur diri dari Singgahsana. Kemudian datanglah Toh Seri Nara Diraja [Tidak Menyembah] dihadapan Baginda yang sedang berdiri menyampaikan sebutir Mestika Embun disendat dibahagian hadapan ke dalam bengkung diraja dan meletakkan Cap Halilintar (Mohor Kecil) Kayu Gempa diselit ke Tengkolok Diraja diatas telingga kanan Baginda, Kemudian  meneliti tepat kepada wajah Baginda seberapa ketika. Kemudian Toh Seri Nara Diraja meletakkan kedua-dua tapak tangannya, bongkok berpaut keatas bahu Baginda, dan dengan perlahan membisikkan di telinga “RAHSIA NISAB SULTAN. (Usul Keturunan Pemerintah yakni Sanskrit ‘Ciri’) Bisikan itu, dilafazkan berbahasa Pallava-Sanskrit. Selepas itu Toh Seri Nara Diraja berundur dan melanungkan DAULAT sekali dan kemudian mengangkat menyembah dan berundur mengambil tempatnya. Kemudian diikuti pula dengan Pengisytiharan Pemasyhuran Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan yang dibaca oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan berseru tiga kali “DAULAT TUANKU” berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir. Selepas itu Paduka Seri Sultan membalas dengan menundukkan hulu Baginda berulang-ulang. Kemudian Baginda bersemayam semula dan “Nobat Tabal” dipalu untuk ujian (Cekal Daulat) dan tembakan meriam dua puluh satu das dilepaskan. Upacara ditamatkan apabila Tuan Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Perak bangun dan membaca Doa Selamat. (klik Nobat Tabal untuk mengetahui riwayatnya).

Toh Seri Nara Membisik Rahsia Sultan - Adat Istiadat Pertabalan

Toh Seri Nara Membisik Rahsia Sultan kepada Raja Yang Dipertuan – Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin

(Dewasa kini) Apabila semuanya mustaid Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mengangkat sembah, bertinggul dan mengangkat sembah kepada Paduka Seri Sultan mohon izin perkenan untuk Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri  mengadap. Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri bangun mengangkat sembah kepada Paduka Seri Sultan, bertelut dan mengangkat sembah. Toh Rakna Senari mengadap dan menyembah “BUNGA PENCAWA PENCARA” kepada Paduka Seri Sultan. Baginda mengambil dan menyematkan ke hulu Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri. Selepas itu Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri mengadap, mengangkat sembah dan mengucup tangan Paduka Seri Sultan dan seterusnya Paduka Seri Sultan mempersilakan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri bersemayam semula diikuti dengan Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri

(Dewasa kini) Apabila selesai, Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mengangkat sembah lalu berseru tiga kali “DAULAT” berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir. Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri menundukkan hulu Baginda membalas hormat yang diberikan oleh para hadirin. Selepas Istiadat Pemasyhuran dijalankan, Pawang Diraja – Raja Chik Muda memulakan ISTIADAT MERENJIS AIR “PANCA BICARA” kepada Paduka Seri Sultan dan  Raja Perempuan ataupun Raja PermaisuriSelesai sudah ISTIADAT MERINJIS AIR “PANCA BICARA”, Istiadat diteruskan dengan penyembahan dan Ucapan Tahniah oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak bagi mewakili Raja-Raja dan Orang Besar Perak, dan Persembahan Ucapan Tahniah dan Taat Setia daripada Y.A.B Menteri Besar Perak bagi pihak Kerajaan dan Rakyat Perak. (Adat zaman dahulu, lazimnya Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri dilakukan sehari selepas Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Berita Harian, 26 October 1963, Upacara Penganugerahan Gelaran Raja Perempuan Muzwin Bt Raja Arif Shah. Tepat pada jam yang ditentukan, Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri yang telah siap sempurna berpakaian lengkap dan memakai pontoh Ular Lidi berangkat masuk ke Balairong Seri dengan didahului oleh Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri dikapit oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar disebelah Kanan dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda di sebelah Kiri serta diiringi Bentara-Bentara Perempuan lalu mengambil tempat yang dikhaskan. Setelah itu paluan Nobat lagu “Raja Berangkat” dibunyikan. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan yang berpakaian lengkap dengan Pedang Cura Si Manjakini, pontoh bernaga, rantai bunga naga, rantai bunga nyior dan Mahkota (Jata Paduka Seri Sultan) yang diletakkan di Tengkolok berangkat masuk ke Balairong Seri dengan didahului oleh Panglima Besar, dikapit oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir berserta juruiring. Baginda Sultan lalu naik bersemayam di atas singgahsana, manakala yang lain-lain mengambil tempat masing-masing.  Baginda Sultan lalu naik bersemayam di atas singgahsana, manakala yang lain-lain mengambil tempat masing-masing.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja pun berdiri tampil kehadapan menyembah dan membacakan Surat Penganugerahan Gelaran kepada Baginda Sultan. Habis dibaca, surat itupun dipersembahkan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja kepada Baginda Sultan. Baginda Sultan turun dari singgahsana lalu mengurniakan surat itu kepada Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri serta mengambilnya dibawa naik ke atas singgahsana duduk bersama-sama. Pawang Diraja – Raja Chik Muda menyembah, lalu merenjis air “Panca Bicara” kepada Duli Yang Maha Mulia kedua diikuti oleh enam orang Kerabat Diraja lagi. Apabila selesai, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja bangun lalu menyeru “DAULAT” tiga kali berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir. Upacara ditamatkan apabila Tuan Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Perak bangun dan membaca Doa Selamat).
Titah Sultan Azlan selepas Istiadat Tabal Adat

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak

(Dewasa kini) Istiadat Pertabalan diakhiri dengan Titah Ucapan Paduka Seri Sultan dan DOA SELAMAT oleh Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Perak. Pakaian bagi istiadat ini adalah lengkap dengan bertengkolok. Bintang-bintang dan pingat-pingat kurniaan juga dipakai bersama.

Adat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan

Sebahagian foto-foto berhubung Istiadat Tabal Adat semasa Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke 34

2. ISTIADAT TABAL PUSAKA 

Istiadat Tabal Pusaka mengandungi beberapa istiadat kecil termasuk Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Menyantap Nasi Berastakona.

Panca Persada - Pertabalan Sultan Perak

Panca Persada Istiadat Bersiram

2.1 ISTIADAT MEMASAK TIANG SERI PANCA PERSADA

Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada merupakan adat yang dijalankan sebelum Tiang Utama Panca Persada daripada Kayu Khas bernama ‘SUNGKAI’ dipasakkan. Pada zaman dahulu, Panca Persada dibangunkan di pertengahan Sungai Perak, akan tetapi sekarang ianya didirikan di perkarangan Istana Iskandariah. Berbentuk empat persegi setinggi 9 atau 11 tingkat, ianya dikisar sekelilingnya dengan tangga. Di kemuncaknya terletaknya tempat bersemayam Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri yang berbumbung. Siling dan tiang dibalut dengan kain kuning.

Di sekiling tingkat digantung dengan daun budi dan tingkat kemuncak diulas dengan kain keemasan. Lazimnya, ISTIADAT INI CUMA DIHADIRI OLEH ORANG BESAR-BESAR, PAWANG-PAWANG, PANGLIMA-PANGLIMA DAN BENTARA-BENTARA SAHAJA.

2.2 ISTIADAT MENGAMBIL AIR BERSIRAM TABAL DI TUJUH KUALA SUNGAI PERAK

Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak juga merupakan salah satu adat yang unik. Istiadat ini dimulakan dengan perarakan berkereta yang memuatkan pasukan Nobat Diraja, panglima-panglima, Toh Seri Nara Diraja dan Pawang Diraja – Raja Chik Muda bersama-sama dengan tujuh orang bomoh yang lain, bentara-bentara yang membawa perkakas istiadat, dan enam belas jejawat berlembing dari Istana Iskandariah hingga ke tebing Sungai Perak. Nobat akan dipalukan sepanjang istiadat ini.

Di tebing sungai, perkakas istiadat dibawa naik ke atas bot. Pawang Diraja – Raja Chik Muda, Toh Seri Nara Diraja dan bentara-bentara menaiki bot serta bermula mengambil air dari kuala Sungai Kangsar. Rombongan bergerak ke kuala-kuala sungai lain, iaitu Sungai Chepias, Sungai Sayong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Bunya dan Sungai Menora, untuk mengambil air serta dimasukkan ke dalam geluk.

2.3 ISTIADAT TABAL PUSAKA

Istiadat Tabal Pusaka, yang dahulunya dikenali sebagai Istiadat Tabal Jin, berlangsung di dalam Balairong Seri dan di Panca Persada. Istiadat ini disempurnakan pada waktu malam dan disaksikan oleh kerabat-kerabat diraja rapat, orang besar-besar serta pemimpin-pemimpin negeri. [Adat zaman dahulu, ianya dilakukan apakala telah aman dan sempurna pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan iaitu selepas Istiadat Tabal Kerajaan dan Penganugerahan Gelaran Raja Perempuan mahupun Raja Permaisuri. Peraturannya seperti yang disebut ini. Mulanya Pawang Diraja – Raja Chik Muda berjaga-jaga dengan sekalian pawang-pawang dibawah tangannya kerana memuja perkakas kerajaan selama tujuh hari tujuh malam atau tiga hari tiga malam. Maka pada malam yang ketujuh waktu kemuncak ini dipersilakan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan bersemayam diatas mercu panca persada dengan segala kelengkapan kerajaan serta nobat sedia dihadapan panca persada. Maka peraturan ini dijalankan oleh Pawang Diraja – Raja Chik Muda sendiri dari awal hingga akhir. Maka takkala Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan diatas mercu panca persada maka berdirilah Pawang Diraja – Raja Chik Muda dihadapan panca persada itu menyeru Jin Kerajaan empat Penjuru Alam itu, kemudian baginda berduapun disiramkan. Akan tetapi pada zaman sekarang tabal Jin itu dilakukan pada waktu malam ketiga  selepass pertabalan adat, peraturannya seperti kini Upacara Istiadat ini dimulakan dengan Pawang Diraja – Raja Chik Muda Memulih Perkakas Kerajaan dan Perkakas Nobat, di Balairong Seri pada tempat yang disediakan dan dihadapi oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan isteri. Baginda tidak bersemayam di atas Singgahsana. Setelah selesai upacara memulih itu maka Baginda berdua pun berangkat turun dari istana lalu berarak didahului oleh Panglima Besar dan Panglima Perang Kanan serta Panglima Perang Kiri dan Bentara-Bentara menuju ke Panca Persada. Perarakkan itu dilakukan tujuh kali mengelilingi panca persada dibawa oleh Pawang Diraja – Raja Chik Muda. Apabila genap tujuh kali lalu dibawanya pula naik ke panca persada dan baginda berduapun disiramkan. Selepas bersiram baginda  berdua pun berarak balik ke istana dengan paluan nobat. Sampai ke istana maka baginda keduapun bersalin pakaian, selepas itu berangkat pula ke Balairong Seri dengan paluan nobat juga, didahului oleh Panglima Besar dan lain-lainnya dan Baginda berduapun naik bersemayam diatas Singgahsana. Maka Pawang Diraja – Raja Chik Muda pun mulailah menjalankan upacara merenjis Air Panca Bicara, mula-mula perkakas kerajaan yang sedia terletak dihadapan singgahsana, kemudian baginda berdua. sudah itu beliaupun meletakkan bunga panca pancawa ditelingga kanan Baginda berdua. Upacara diteruskan dengan enam orang Kerabat Diraja merenjiskan Air Panca Bicara kepada Baginda berdua. Setelah itu maka Baginda berdua pun santap “Nasi berastakona” yang disediakan. Istiadat ini hanya dikhaskan kepada Waris Negeri dan Kerabat sahaja.

Pakaian majlis ini adalah baju Melayu hitam, bertengkolok hitam dan bersamping kain benang emas tetapi tidak memakai bintang-bintang kurniaan.

Tabal Pusaka - Pertabalan Sultan Perak

Istiadat Bersiram Tabal

Istiadat ini diikuti dengan Istiadat Memulih Perkakas Kerajaan dan Perkakas Nobat, dan selepas itu, Istiadat ini bermula di Balairong Seri, dan para undangan dipandu ke tempat duduk di Balairong Seri. Istiadat dimulakan dengan paluan nobat. Antara perkakas kerajaan yang dibawa masuk ke dalam Balairong Seri ialah pedang ‘Cura Si Manja Kini’, Pontoh Bernaga dan Pontoh Ular Lidi yang dipersembahkan kepada Sultan.

Adat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.1

Sebahagian foto-foto berhubung Istiadat Tabal Pusaka semasa Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke 34

Istiadat Bersiram Tabal disempurnakan di atas Panca Persada di perkarangan istana. Apabila Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri berangkat tiba di kawasan Panca Persada, Pawang Diraja – Raja Chik Muda akan memulakan Istiadat Mengelilingi Balai Panca Persada sebanyak tujuh kali bersama-sama dengan para pawang/ bomoh dan bentara yang membawa perkakas merenjis. Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri menaiki Panca Persada, diiringi oleh Raja Muda dan Raja Di Hilir serta isteri mereka, dan diikuti oleh orang besar-besar serta isteri. Sebaik sahaja Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri selamat bersemayam di atas kemuncak Panca Persada, Pawang Diraja – Raja Chik Muda memulakan Istiadat Bersiram Tabal.

Air siram adalah air daripada tujuh kuala Sungai Perak yang telah dibekaskan pada Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dua atau tiga hari terlebih dahulu. Selesai sudah istiadat ini, baginda berdua berangkat turun dari Panca Persada berselimut dengan kain benang emas serta dipandu berangkat balik ke istana diringi dengan paluan nobat. Setelah menyalinkan pakaian, Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri berangkat masuk ke dalam Balairong Seri semula, dan bersemayam di atas petarakna singgahsana. Istiadat Merenjis Air Panca Bicara dilangsungkan, dan setelah selesai istiadat itu diikuti pula Istiadat Santapan Nasi Berastakona.

2.4 TABAL MENZIARAHI MAKAM-MAKAM DIRAJA

Istiadat Menziarahi Makam Sultan Perak

Istiadat Menziarah Makam

Istiadat Menziarahi Makam-Makam Diraja bermula dengan kegunaan kenderaan dari bahagian hulu Sungai Perak berangkat menziarahi makam-makam Almarhum Sultan-Sultan yang terdahulu yang terletak di sepanjang Sungai Perak sehingga ke Pemakaman Diraja Kuala Kangsar. Setelah itu, Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri diiringi oleh para orang besar-besar akan berangkat menaiki sebuah bot khas atau Balai Gambang bernama Cempaka Sari, untuk menghilir serta menziarahi makam-makam diraja. Semasa keberangkatan menziarahi, doa selamat dan kenduri arwah diadakan. Dahulu sebelum adanya Balai Gambang [Mula diperkenalkan semasa era Pemerintahan Paduka Seri Sultan Iskandar Zulkarnain – Sultan Perak ke 15] dan bot Seri Andalan, majlis pertabalan Sultan yang membabitkan Istiadat Menziarahi Makam-Makam Diraja di sepanjang Sungai Perak menggunakan rakit. [Adat zaman dahulu, pada hari ditetapkan Baginda berdua serta pengiring-pengiring Baginda menziarahi makam To’ Temong, makam Kota Lama Kanan, makam Sayong, makam Bukit Chandan dan makan Teja. Kemudian pada hari yang ditetapkan pula, Baginda berdua akan berangkat menaiki Balai Gambang “Cempaka Sari” lalu ke hilir menziarahi makam Marhum-Marhum yang terdahulu, disepanjang Sungai Perak hingga ke Beting Beras Basah tempat diadakan istiadat membaca doa kesyukuran. Semasa sampai di Teluk Intan, Baginda Sultan akan ke Beting Beras Basah dan Raja Perempuan serta pengiring-pengiringnya akan mendarat di Teluk Intan dengan membawa alat-alat Perkakas Kerajaan bersama-sama, kerna mengikut adat bahawa alat-alat Perkakas Kerajaan itu tiada boleh dibawa ke Laut. Beting Beras Basah adalah tempat mula-mula Raja Muda Muzzafar Shah yang menjadi Sultan yang pertama di Negeri ini, berhenti takkala sampai dari Kampar, Sumatra.

Balai Gambang Cempaka Sari-Pertabalan Sultan Perak

Balai Gambang CEMPAKA SARI

2.5 TABAL BETING BERAS BASAH

Di Teluk Intan, Paduka Seri Sultan berangkat ke Beting Beras Basah, iaitu bumi Perak yang pertama dipijak oleh Almarhum Sultan Muzaffar Shah, Sultan Perak yang pertama takkala Almarhum berangkat tiba dari Kampar, Sumatera. Kaum wanita tidak boleh menyertai adat ini. Di sini, Paduka Seri Sultan mencelup kakinya ke beting dan seterusnya membasuh muka sebagai tanda baginda telah selamat berangkat sampai, dan diikuti dengan bacaan doa selamat. [Adat zaman dahulu, ketika di Beting Beras Basah, Baginda akan dibawa ke BETING TINGGI dimana tempat tersangkutnya kapal Raja Muda Muzzafar Shah iaitu ditengah Laut. Apabila di situ diseru oleh Toh Seri Nara Diraja /Pawang DiRaja – Raja Chik Muda maka Beting Pasir akan timbul ditengah-tengah Laut. Beting Pasir yang putih bersih yang naik itu menjadi tempat Baginda turun untuk membasuh muka sebagai tanda Baginda sudah sampai di Beting Tinggi (Mengenang kembali peristiwa Kapal Raja Muda Muzaffar Shah Ibni Sultan Mahmud Shah tersangkut di tempat ini).
Istiadat Beras Basah - Pertabalan Sultan Perak

Istiadat Beting Beras Basah

Foto yang dipaparkan adalah sekadar hiasan bagi memperlihatkan adat istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke 34 yang telah dilaksanakan.

Catatan :
Kayu Khas ini diceritakan akan dibawa oleh Orang Besar Jajahan Batang Padang dan diletakkan dibawah Panca Persada. To’ Kerma Setia gelaran bagi yang dilantik sebagai Orang Besar semasa era pemerintahan Paduka Seri Idris Murshidul Azzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Di sekitar tahun 1960 disebut gelaran Tok Setia Maharaja bagi Orang Besar 32 di Sungkai. Mengikut sebuah cerita Tiang Seri Astana Iskandariah diperbuat daripada Kayu Sungkai yang ditulis dalam tulisan Jawi. Menurut Y.M Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Kayu tersebut diketahui disimpan oleh Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah Ibni Almarhum Idris Murshidul Azzam Shah dan Almarhum Raja Muda Ahmed Sifuddin ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah jua mengetahui akan hal ehwal Kayu tersebut. Menurut Y.M Raja Kobat Salehuddin Kayu tersebut sejak pembukaan Astana Negara, Bukit Chandan kemudian dirobohkan dan ditapak Astana tersebut jua dibangunkan Istana Iskandariah, Bukit Chandan yang tersergam Indah kini di Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Sumber Rujukan :

– Buku Adat Lembaga Orang-Orang Melayu Didalam Negeri Perak Darul Ridzuan Daripada Zaman Purbakala,
– Artikel Pertabalan Sultan Idris Affifullah,
– Biografi Pertabalan Sultan Azlan Shah,
– Portal Raja Kita Negeri Perak,
– Pejabat D.Y.M.M Sultan Perak,
– Perceritaan turun-turun

Foto : Wan Hashim Wan Teh. DYMM Sultan Azlan Shah: Biografi Bergambar. Dewan Bahasa dan Pustaka; 1990

Bahan-bahan di sini dilindungi oleh Hak Cipta (copyright). Tiada bahagian daripada Page ini boleh diterbitkan semula, disalin, diubahsuai, di mana-mana negara menggunakan apa jua proses, secara elektronik atau sebaliknya, dalam apa jua bentuk bahan atau dikirimkan kepada orang lain (disimpan dengan cara tertentu dan dalam masa tertentu) dalam apa jua media, tanpa persetujuan bertulis Sembangkuala, atau kecuali dibenarkan oleh Undang-undang Hakcipta.

Peranan Waris Negeri Perak Kepada Takhta Singgahsana Negeri.

Raja Dato Sri Arif Shah

Yang Mulia Raja Dato’ Sri Arif Shah B Raja Kechil Sulung Raja Harun Al Rashid Al-Haj merupakan Waris Negeri yang pernah di calonkan didalam Mesyuarat Dewan Negara bagi di angkat sebagai Raja Bergelar [ Waris Negeri Kanan]-Foto Tengku Dicky

Diantara gulungan Pembesar dan Sultan terdapat gulungan kerabat DiRaja yang digelar sebagai Waris Negeri.

Waris Negeri merupakan satu [1] gelaran yang julung-julung kalinya yang hanya terdapat didalam negeri Perak Darul Ridzuan [1], Waris Negeri gelaran yang dimiliki oleh seseorang yang lahir dari benih zuriat Almarhum Paduka Seri Sultan Ahmaddin Shah – Sultan Perak ke Lapan Belas [18]  sebagaimana yang diperuntukkan didalam undang-undang tubuh negeri perak.

Bagi protokol dan tata adab empunya batang tubuh yang bergelar Waris Negeri di sapa sebagai “Engku”[2]. Keistimewaan gelaran Waris Negeri mengatasi segala jua gelaran orang besar istana. Sesungguhnya peranan Waris Negeri bagaikan benteng-benteng pertahanan yang menjaga Takhta Singgahsana Negeri Perak dan Paduka Seri Sultan pula bagaikan Ketua kerna itu jua di sebut Raja Yang Dipertuan Memerintah di atas takhta Singgahsana Negeri Perak. [3]

Adat berpakaian bagi Waris Negeri dan Kerabat.

Waris Negeri Perak suatu ketika dahulu atas cetusan pemikiran Raja Yang Dipertuan yang memerintah di atas takhta singgahsana Negeri Perak. Hasil  kebijaksanaan dan keprihatinan terhadap negeri dan rakyat. Hendak diletakkan didalam Dewan Negara [4] dibawah naungan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Ahmed Sifuddin Ibni Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah dibawah nama Majlis Waris Waris Negeri Perak. Ianya hanya kepada Waris Negeri Perak iaitu merujuk kepada benih Lelaki sahaja tidak boleh sama sekali Kerabat menyertai Majlis ini. Di mana didalam Majlis ini terkandung satu Majlis Nasihat yang diwakili oleh Waris Negeri peringkat Tua yang berperanan didalam memberikan nasihat, teguran dan pandangan kepada Dewan Negara, Raja Bergelar Kanan, Bakal Sultan dan Raja Pemerintah agar Negeri Perak senantiasa didalam kesentosaan dan rakyat sejahtera.

Namun belum sempat ianya terlaksana, Raja Yang Dipertuan Paduka Seri Sultan Idris Shah II telah mangkat maka ianya tidak dapat di realisasikan.

Sesungguhnya Waris Negeri amat penting didalam memastikan kesentosaan takhta singgahsana negeri perak yang mana yang terjadi dahulu krisis takhta.

Hirarki

Gulungan Waris Negeri terbahagi kepada dua [2] iaitu Waris Negeri biasa dan Waris Negeri Kanan yang merujuk kepada raja-raja bergelar seperti Raja Kecil Bongsu, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Sulong dan Raja Kechil Besar sementara itu, bagi bakal-bakal Raja Pemerintah negeri Perak adalah DYAM Tuanku Raja Di-Hilir, DYTM Tuanku Raja Muda.

Waris Negeri Perak

Pakaian Waris Negeri Biasa YM Raja Sallehuddin bin Raja Dato’ Sri Arif Shah [Ku Azam]- Koleksi Foto YM Raja Zarina binti Raja Salleh ud-din

Seseorang Waris Negeri biasa yang layak di pertimbangkan menjadi Waris Negeri Kanan [ Raja Bergelar] seterusnya bakal dipilih kelak sebagai Bakal Sultan namun hendaklah terlebih dahulu dilantik menyandang suatu gelaran dalam hirarki yang dinyatakan di atas lazimnya sebagai Raja Bergelar. Pemilihan dan perlantikan seseorang Sultan atau Raja Pemerintah dan jua lain-lain gelaran dalam hirarki di atas hendaklah mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, Bahagian Yang Kedua.

Wujudnya satu badan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (perenggan 3.6) yang di kenali sebagai “Dewan Negara”. Badan ini mempunyai peranan amat penting dalam melaksanakan proses pemilihan dan perlantikan Sultan atau Raja Pemerintah dan lain-lain gelaran dalam hirarki yang tersebut.

Pemilihan dan perlantikan bagi tempat atau gelaran selain daripada Raja Pemerintah adalah atas titah perkenan Raja Pemerintah dengan nasihat Dewan Negara Perak. Bagi memilih dan melantik Raja Pemerintah yang baharu dinegeri Perak apabila berlaku kekosongan, Dewan Negara Perak dengan dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Sri Maharaja, hendaklah mengadakan mesyuarat dalam tempoh dua puluh empat jam daripada kemangkatan seorang Raja Pemerintah untuk memilih dan melantik Raja Pemerintah yang baharu.

Peraturan memilih bakal-bakal Sultan pula berdasarkan kepada beberapa hal [6], iaitu

l. Mestilah dipilih daripada Waris Negeri yang berhak keatas kerajaan Perak,
Baik budi bicara dan mendapat sokongan daripada para pembesar-pembesar.

2. Pilihan ini mestilah mengandungi tiga putera almarhum dan yang ke-empatnya berbalik kepada putera almarhum Sultan yang sedang memerintah: contoh yang diberi ialah,
a) Sultan yang memerintah sekarang ialah putera almarhum nombor satu.
b) Raja Muda diambil daripada putera almarhum nombor dua.
c) Raja Bendahara diambil daripada putera almarhum nombor tiga.
d) Putera Sultan yang sedang memerintah akan menduduki tempat Raja DiHilir.

Sekiranya pada mana-mana masa tiada lagi zuriat daripada benih Sultan yang kelapan belas [18], maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai seorang Raja Pemerintah dari antara zuriat-zuriat daripada benih Sultan yang pertama. Walau bagaimanapun sekiranya tiada zuriat daripada benih Sultan yang Pertama yang difikirkan harus dipilih, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai Raja Pemerintah seseorang lelaki daripada zuriat Sultan yang kelapan belas [18] yang daripada tanah (ibu).

Keunikan dan sistem pemerintahan yang indah dan tersusun telah meletakkan kebajikan Waris Negeri dibawah DYTM Tuanku Raja Muda manakala kebajikan rakyat negeri dibawah DYAM Tuanku Raja Di-Hilir iaitu Dua gelaran yang dipegang oleh Bakal Sultan.

DYAM Raja Di Hilir Perak - Raja Ja'afar Ibni Alamrhum Raja Muda Musa

Bakal Sultan –
Tuanku Raja Muda Perak & Tuanku Raja Di Hilir Perak

Perlantikan Bakal Sultan adalah berasaskan syarat-syarat sebagaimana yang diwajibkan bagi seorang Raja Pemerintah. Sebelum melaksanakan haknya atau menjalankan tanggungjawabnya, bakal Sultan dikehendaki mengangkat dan menandatangani sumpah yang ditetapkan oleh Dewan Negara. Sumpah itu mengandungi perkataan-perkataan yang mengikut perasaan orang yang dilantik. Kemudian barulah gelaran dianugerahkan mengikut adat Melayu.

Waris Negeri Kanan Negeri Perak - Raja Perak

Dari Kiri : Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa [ Raja Kechil tengah Perak ], Raja Raja Izzuddin Iskandar Shah Ibni Sultan Idris Shah II [ Raja Kechil Sulung ], Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah [ Raja Kechil Besar ] dan Raja Iskandar Dzulkarnain Ibni Almarhum Sultan Idris II [ Raja Kecil Bongsu Perak ].
Foto ketika Istiadat Raja bergelar Tahun 1987.

Walau bagaimanapun sebelum seseorang dilantik menjadi Bakal Sultan, seseorang itu pada kebiasaannya hendaklah terlebih dahulu memegang jawatan Raja-raja Bergelar. Gelaran yang diberikan kepada Raja-raja Bergelar ialah Raja Kechil Besar, Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Bongsu, tetapi sekiranya berlaku di mana putera Raja-raja Pemerintah menaiki takhta Kerajaan setelah mangkatnya Raja Pemerintah ini adalah kerana putera itu memegang jawatan Bakal Sultan yang terkanan.

Kerna itu didalam hal ehwal keistanaan ataupun dalam ertikata lain penasihat raja adalah dikalangan raja yang merujuk kepada Waris Negeri dan menjadi tradisi jua bahawa ahli rasmi Dewan Negara iaitu Orang Besar Empat dan Orang Besar Delapan merupakan warisan diraja didalam menasihatkan Paduka Seri Sultan didalam pentadbiran negeri.

Fasal VIII. (1) Maka Dewan Negara Perak itu hendaklah mengandungi ahli-ahli seperti berikut :-
(a) Raja Muda, Raja Bendahara, Raja DiHilir, Raja Kechil Besar, Raja Kechil Sulung, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Bongsu, Menteri Besar jika seorang Melayu, Mufti sebagai ahli jawatan tetapi di syaratkan bahawa apabila gelaran Raja Bendahara di mansuhkan maka Raja Kechil Besar hendaklah menjadi ahli jawatan mengambil tertib kedudukan yang hampir di bawah Raja DiHilir.
(b) Menteri Besar jika ia seorang yang bukan orang Melayu dan mereka-mereka yang sementara ini menyandang gelaran-gelaran Orang Besar Empat dan Orang Besar Delapan sebagai ahli-ahli resmi;
(c) Sebelas Orang Tua dan seorang bukan bangsa Melayu yang tiada memegang jawatan yang bergaji di bawah mana-mana Kerajaan sebagai ahli yang bukan resmi;

Mesyuarat ini tidak di hadiri oleh bakal-bakal Sultan dan Raja-Raja Bergelar. Maka Dewan Negara Perak akan membuat keputusan dengan sewajar dan seadil-adilnya, iaitu samada dengan mendapat persetujuan sebulat suara daripada ahli-ahli sekalian terhadap sesuatu calon atau dengan mendapat kelebihan undi bagi seseorang calon itu. Dalam kata erti lain, hanya ahli-ahli Dewan Negara yang terlibat dalam pemilihan dan perlantikan Raja Pemerintah Negeri Perak. Untuk lebih jelas sila layari :- Appointment Raja Bergelar 1948c

11. UNDANG-UNDANG ORANG JADI RAJA ATAUPUN PENGHULU DIDALAM SESEBUAH NEGERI ATAU MUKIM ”ADATNYA”

Ada pun hutang penghulu kepada rakyatnya,

– Pertama mati rakyatnya di tanam,
– Kedua, hilang rakyatnya di cari,
– Ketiga, kusut di selesaikan,
– Keempat, jika salah dipatutkan.

Maka hutang rakyat kepada penghulu dua perkara, pertama di laungkan oleh penghulu, datang ia dan disuruh, pergi ia, dan lagi tatkala orang mengadap bichara itu di lihat baik-baik rupanya, salah duduknya, salah berdirinya, salah perkataannya serba yang salah sebarang lakunya, maka mereka yang salah itu disalahkan juga dan demikian pula yang benar itu hendaklah dibenarkan juga hukumnya, tetapi boleh di bezakan antara kechil dan salah besar di atas mereka-mereka sekalian dan lagi di atas bicara mereka itu di hukumkan betul-betul, jangan di ambil faedah di atas mereka-mereka itu tatkala di dalam mana-mana bicara pun.

93 UNDANG-UNDANG ORANG MENJADI ORANG BESAR DIDALAM NEGERI

– Adatnya pertama orang besar itu memelihara atas rajanya,
– kedua memelihara atas rakyatnya, maka amanlah negeri itu

____________________

Nota Kaki :-
1. Fasal VII (I) menjelaskan bahawa Raja Pemerintah itu hendaklah seorang zuriat di akui telah di peranakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh badan dan darah daging Sultan Yang Kelapanbelas.
Anak-anak Raja yang layak dan harus di pertimbangkan untuk maksud di atas itu adalah mereka yang di sebutkan sebagai “Waris Negeri”. Mengikut definisi dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, “Waris Negeri” maknanya seorang zuriat keturunan benih (lelaki) daripada Sultan Perak yang kelapan belas, iaitu Al-Marhum Sultan Ahmaddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Shah.

2. Bagi protokol dan tata adab empunya batang tubuh yang bergelar Waris Negeri sebagai “Engku”.

3. Undang-Undang Scholarship Iskandar

4. Sumber dari YM Raja Mohzan B Raja Tan Ahmad B Raja Kechil Sulung Harun Al-Rashid Al-Haj yang terlibat didalam proses Pembentukkan Majlis Waris-Waris Negeri Perak ketika di Ipoh.

5. Peruntukan Bagi Perlantikan Raja Pemerintah
Fasal VII (I) menjelaskan bahawa Raja Pemerintah itu hendaklah seorang zuriat di akui telah di peranakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh badan dan darah daging Sultan Yang Kelapanbelas [18].
(2) Zuriat yang harus menjadi Raja Pemerintah itu hendaklah seorang anak lelaki, cucu lelaki, cicit lelaki dan sebagainya dari sebelah pihak benih turun menurun sehingga yang akhir sekali dan tidaklah boleh dibenarkan sekali-kali walaupun dengan apa-apa sebab, dan hendaklah di haramkan memilih dan melantik seseorang sebagai Raja Pemerintah lain daripada seorang zuriat daripada Sultan yang kelapanbelas itu selagi ada hidup seorang zuriat seumpama itu daripada Sultan itu” Anak-anak Raja yang layak dan harus di pertimbangkan untuk maksud di atas itu adalah mereka yang di sebutkan sebagai “Waris Negeri”. Mengikut definisi dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, “Waris Negeri” maknanya seorang zuriat keturunan benih (lelaki) daripada Sultan Perak yang kelapan belas, iaitu Al-Marhum Sultan Ahmaddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Shah.

[6] Keterangan dipetik daripada Risalah ‘Adat Lembaga Negeri Perak’ yang dipinjam dari Orang Besar jajahan Parit, Perak. Beliau ditemui oleh penulis di Double Lian Hotel, Kuala Kangsar Perak, pada 13.8.1974.

* Undang-Undang 99 Negeri Perak.

Menjunjung duli, bah. 1: Adat-istiadat menerima jawatan dan gelaran bagi Raja-raja

Berikut adalah sambungan dari paparan SembangKuala bertajuk Asas kepada adat menjunjung duli, dan ianya dipetik daripada naskah penulisan Raja Kobat Salehuddin ibni Almarhum Raja Muda Musa yang bertajuk Tunggak Kepertuanan Raja-Raja Melayu yang bertarikh 30 November, 1977. Intipati yang diperkisahkan di sini adalah sepertimana adat-istiadat yang asli dan asal.

MENJUNJUNG DULI DI BALAIRONG SERI

Sesudah siap bersalin dengan pakaian baru itu, para bakal akan kembali ke perkelekan Balairong Seri menunggu upacara yang akan berlangsung seterusnya. Sementara itu, Paduka Seri Sultan dan sekalian yang hadir di dalam Balairong Seri itu sedang menunggu. Sultan dengan Raja Perempuan sedang bersemayam diatas peterakna berpakaian selengkapnya seperti pakaian mereka di tabalkan dahulu. Para pemain Nobat dan Seri Nara Diraja juga bersedia di Balai (Bilik) Nobat disebelah Balairong Seri itu menunggu akan saat memainkan peranan masing-masing.

Seorang Bentara akan mengisytiharkan nama sang bakal bergelar itu, lalu dipanggilkan dia suruh duduk bertenggul. Sang bakal itupun mara lalu muncul dihujung Balairong Seri lalu berdiri tercegat merenung akan wajah Rajanya diatas peterakna itu. Dia tidak menyembah. Sesudah itu diapun duduk bertenggul di hujung balai itu berhadapan dari jauh menghadap Rajanya. Tok Nara (Toh Seri Nara Diraja) pun mara berdekatan dengan sang bakal itu tadi dari Balai Nobat. Tok Nara berdiri disebelah kanan bakal bergelar itu.

Mulai dari saat itu, adat istiadat bagi tiap pangkat yang terkenalpasti terbahagi kepada tiga corak kelakuan. Yang akan bergelar Raja [sang anu] dari Raja Kecil Bongsu sehinggalah yang akan berpangkat Raja Muda DAN bagi “Orang-orang Besar Berempat”, manakala “Orang-orang Besar Berlapan” dan “Orang-orang Besar Enam belas” itu berlain sedikit daripada istiadat demi menjunjung duli bagi “Orang-orang besar Tiga puluh dua”.

Kita mulakan dengan istiadat menjunjung duli bagi Raja-raja dan Orang-orang Besar terulung.

Sang bakal bergelar dalam keadaan duduk bertenggul itu tadi senantiasa merenung Rajanya yang bersemayam diatas peterakna. Sementara itu Tok Nara sedang berdiri disisinya disebelah bahu kanannya.

Sang bakal bergelar bertukar kedudukan. Dia akan bersila-panggung.

Justeru menyusun jari mengangkat sembah sebanyak dua kali.

Selepas itu menukarkan kedudukannya lalu duduk bertenggul semula. Dalam keadaan duduk bertenggul itu, sang bakal bergelar akan memegang keris peribadi ataupun keris pusakanya dan mencabutkan daripada bengkung keris bersarung itu dengan tangan kanan justeru meletakkannya keatas hamparan disebelah kanan. Sesudah itu, lalu sang bakal bergelar akan menyusun sembah kepada Raja Pemerintah sebanyak dua kali lagi. Sesudah itu ia menundukkan hulunya lalu bertafakur.

Dalam keadaan sedemikian, terdengarlah suara yang terang dalam suasana yang sunyi sepi seorang juru acara yang membaca, yakni mengistiharkan [si anu] yang sedang bertafakur. Sekiranya dia sudahpun bergelar sebelum itu, maka disebutkan juga gelarannya, pangkatnya dan jawatannya. Justeru dikhabarkan kepada khalayak yang sedia hadir di dalam Balairong Seri akan kenaikan pangkat yang akan disandanginya sebentar lagi.

Disambut oleh Tok Nara dengan lantang menyuarakan “DAULAT” – disahut oleh para hadirin (tidak oleh Sultan dan Raja-raja bergelar yang lain). Laungan ini dibuat sebanyak tiga kali bersambung-sambung dengan sahutan hadirin itu. Maka dengan isyarat tersebut, paluan nobat dimainkan tanpa berhenti lepas satu Man kepada satu Man[1] yang lain bersambung-sambung permainannya.

Di dalam suasana kegemaan bunyian nobat dan nafiri yang menggerunkan, sang bakal bergelar mengangkat sembah sebanyak dua kali lagi. Diapun bangun tegak berdiri dan sekali lagi menyembah Rajanya. Sang bakalpun melaksanakan adab intai-intai dalam keadaan separuh membongkok dengan tangan tersusun memeluk ke bengkung. Dia merenung kehadirin disebelah kanan sahaja. Kelakuan ini dinamakan KIAM. Sesudah berkiam, memandang Rajanya lalu menyembah sekali lagi.

Gara-gara Sang bakal bergelar berkiam, ditemani Toh Seri Nara Diraja di sebelah kanannya.

Kaki kanannya pun dimulai melangkah kehadapan; teruslah dia berjalan perlahan-lahan dalam perasaan gagah perkasa menuju kearah Rajanya itu. Dia berjalan sejauh 1/3 jarak dari tempat ia bertenggul tadi kepada anak tangga Singgahsana. Matanya tetap merenung hanya kepada Rajanya. Sesudah sampai lebih kurang 1/3 jarakan itu tadi, lalu ia berhenti. Tok Nara senantiasa menemaninya disebelah kanan.

Tatkala sampai anggaran 1/3 jarak, sang bakal bergelar itupun memulakan sekali lagi duduk bertenggul. Diperlakukannya adat istiadat menyembah itu serupa dengan pergerakan pada titik permulaannya tadi. Yakni dalam bertenggul, mengangkat sembah sebanyak dua kali dan bangun berdiri. Mengangkat sembah satu kali lagi. Justeru berkiam pula sesudah itu menyembah Rajanya sekali lagi.

Dia sebermula berjalan sambil merenung Rajanya sampailah ke jarak tanda 1/3 yang kedua. Berhenti dan melaksanakan adat bertenggul yang serupa demi menjunjung duli sebermula. Lepas itu berdiri dan berkiam, maka menyembah lagi kepada Rajanya. Sesudah itu melangkah semula menuju kehadapan.

Pada ketika sampai ke tanda 1/3 jarak yang terakhir, sang bakal bergelar itupun duduklah bertenggul dengan sepertinya dan menjunjung duli yang serupa, tetapi sesudah itu dia tiada lagi berdiri.

Sang bakal bergelar itu mengangkat sembah sekali.

Sang bakal bergelar mengesut kehadapan dalam pertenggulan.

Sang bakal bergelar itupun mengesut kehadapan dalam pertenggulan. Mengangkat sembah sekali. Mengesut bagi kali kedua dan menyembah lagi pada Rajanya. Mengesut kehadapan lagi bagi kali yang ketiga, dan menyembah semula. Justeru itu bertenggul lah dia disitu serta tunduk bertafakur. Pengesutan pada kali yang ketiga itu, sang bakal bergelar sudahpun sampai kekaki anak tangga Singgahsana.

Sang bakal bergelar mengesut kehadapan dalam pertenggulan sampai kekaki anak tangga Singgahsana.

Raja Yang Di Pertuan (yakni Paduka Seri Sultan) pun bangun dari Peterakna lalu turun ketingkat bawah, yakni ketangga pertama Singgahsana. Dang Raknawati mempersembahkan kepada Raja alat-alat penepung-tawar. Raja pun mengupacarakan adat menepung tawar sang wira yang kian sedang Ngadap Bertafakur, atau Rapat Sejengkal-Jarak ke Bawah Duli Raja Yang Di Pertuannya.

Sang bakal bergelar sedang ngadap bertafakur atau 'rapat sejengkal-jarak' ke Bawah Duli Raja Yang Di Pertuannya yang sedang menepung tawar.

Dihunus oleh Raja Yang Di Pertuan pedang Chura Si Manjakini[2] lalu dikucupi baginda mata pedang itu. Justeru Raja pun menepuk[3] mata pedang kekuasaan negeri dengan lembut sekali ke bahu kanan Orang Besar Bergelar itu, dan sekali kepada bahu kirinya. Sesudah itu disarungkan kembali Chura Si Manjakini dan diselepangkan kembali ke bahu kanan baginda.

Pawang Diraja pula mempersembahkan secembul perak berisi air persumpahan taat setia[4] kepada Rajanya, justeru dihulurkan oleh Raja kepada Orang Besar baginda itu. Maka diterima oleh Orang Besar cembul perak itu lalu air perjanjian diminumnya seteguk-dua justeru diserahkannya kembali kepada Pawang Diraja.

Dang Raknasari, yakni bentara perempuan pertama, pun mempersembahkan sekuntum bunga emas Pacak Ketur kepada baginda. Pacak Ketur itupun diambil Raja lalu menyematnya kepada dastar Orang Besar itu disebelah atas telinga kanannya.

Bahagian kedua paparan tentang istiadat menjunjung duli ini akan dihuraikan di dalam sebuah lagi paparan YM Raja Kobat Salehuddin di masa terdekat. Gambar-gambar YAM Raja Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz menerima gelaran YAM Raja Kechil Besar sewaktu Hari Keputeraan Sultan Yussuf Izzudin Shah di Ipoh pada tahun 1953 adalah hakcipta British Pathé.

Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.

__________________________________
Nota kaki:
[1] Man: Mantra atau mentera ; penerangan oleh Tok Setia Guna Abd. Aziz (Ketua Nobat). Satu ‘ragam’ muzika nobat = satu Man.
[2] Chura Si Manjakini atau CURI’ SA-MANTERA DAKINI yang asal bersifat Pedang Perang kepunyaan RAJENDRA CHOLA (Raja Suran) dari suku bangsa Chola dari India Selatan. Pedang kuasa ini sering disalah sebut sebagai Cura Si Manja Kini dan kadangkala Pedang Curah Si Mandangkini, dan ada pula segolongan yang menyebutnya Cureka Si Manja Kini.
[3] Gara menepuk dengan pedang Chura Si Manjakini yang terhunus ke bebahu kanan dan kiri itu ditradisikan pada zaman Inggeris mulai 1887. Kala diteliti, ianya seakan upacara ala Raja Inggeris mentauliah “Knighthood” kepada Orang Besarnya! Namunpun, ia bukanlah bertradisi Inggeris, tetapi telah dijadikan sinambung bagi adab pengtauliahan semenjak 1887, kepada gara menepuk bebahu dengan pedang kuasa pemerintah yang termaksud di atas tadi. Sebelum itu, adat istiadat yang asli bukan sedemikian. Adat asalnya adalah bagi bakal pembesar negeri itu mara rapat ke kaki kanan baginda lalu ia mencium tempurung lutut kanan Raja Pemerintahnya. Sesudah itu lalu bertenggul semula.
[4] Ibid., Air Taat Setia: terlebih dahulu hujung mata pedang Chura Si Manjakini telah dicelup oleh Sultan ke dalam cembul perak sambil Pawang Diraja berserapah. Resam ini juga bukan adat asal kesultanan Perak sebelum zaman Inggeris. Resam meminum air mata pedang atau keris diraja ini lazim dipraktikkan dalam upacara persumpahan taat setia orang-orang Bugis di Sulawesi Selatan. Ia diperkenalkan oleh Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah (SP28 1887-1916). Menurut sebabnya pada ketika Sultan Idris I hendak ditabalkan, masih ramai orang-orang besar negeri yang tidak merestui perlantikan baginda. Ianya berkait peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch, penghukuman Dato’ Maharaja Lela dan Dato’ Seri Agar Diraja (Tok Sagor). Yang menjadi hakim perbicaraan mereka ialah Raja Idris yang dilantik oleh Inggeris. Ramai antara bangsawan di-hilir Perak yang masih taat kepada Sultan Abdullah dan Laksamana Mohd Amin yang dipecat ke kepulauan Seychelles (Ogos 1877). Ada juga yang dibuang negeri ke Sekudai, termasuklah Toh Seri Nara Diraja yang ketika itu.