Menjunjung duli, bah. 1: Adat-istiadat menerima jawatan dan gelaran bagi Raja-raja

Berikut adalah sambungan dari paparan SembangKuala bertajuk Asas kepada adat menjunjung duli, dan ianya dipetik daripada naskah penulisan Raja Kobat Salehuddin ibni Almarhum Raja Muda Musa yang bertajuk Tunggak Kepertuanan Raja-Raja Melayu yang bertarikh 30 November, 1977. Intipati yang diperkisahkan di sini adalah sepertimana adat-istiadat yang asli dan asal.

MENJUNJUNG DULI DI BALAIRONG SERI

Sesudah siap bersalin dengan pakaian baru itu, para bakal akan kembali ke perkelekan Balairong Seri menunggu upacara yang akan berlangsung seterusnya. Sementara itu, Paduka Seri Sultan dan sekalian yang hadir di dalam Balairong Seri itu sedang menunggu. Sultan dengan Raja Perempuan sedang bersemayam diatas peterakna berpakaian selengkapnya seperti pakaian mereka di tabalkan dahulu. Para pemain Nobat dan Seri Nara Diraja juga bersedia di Balai (Bilik) Nobat disebelah Balairong Seri itu menunggu akan saat memainkan peranan masing-masing.

Seorang Bentara akan mengisytiharkan nama sang bakal bergelar itu, lalu dipanggilkan dia suruh duduk bertenggul. Sang bakal itupun mara lalu muncul dihujung Balairong Seri lalu berdiri tercegat merenung akan wajah Rajanya diatas peterakna itu. Dia tidak menyembah. Sesudah itu diapun duduk bertenggul di hujung balai itu berhadapan dari jauh menghadap Rajanya. Tok Nara (Toh Seri Nara Diraja) pun mara berdekatan dengan sang bakal itu tadi dari Balai Nobat. Tok Nara berdiri disebelah kanan bakal bergelar itu.

Mulai dari saat itu, adat istiadat bagi tiap pangkat yang terkenalpasti terbahagi kepada tiga corak kelakuan. Yang akan bergelar Raja [sang anu] dari Raja Kecil Bongsu sehinggalah yang akan berpangkat Raja Muda DAN bagi “Orang-orang Besar Berempat”, manakala “Orang-orang Besar Berlapan” dan “Orang-orang Besar Enam belas” itu berlain sedikit daripada istiadat demi menjunjung duli bagi “Orang-orang besar Tiga puluh dua”.

Kita mulakan dengan istiadat menjunjung duli bagi Raja-raja dan Orang-orang Besar terulung.

Sang bakal bergelar dalam keadaan duduk bertenggul itu tadi senantiasa merenung Rajanya yang bersemayam diatas peterakna. Sementara itu Tok Nara sedang berdiri disisinya disebelah bahu kanannya.

Sang bakal bergelar bertukar kedudukan. Dia akan bersila-panggung.

Justeru menyusun jari mengangkat sembah sebanyak dua kali.

Selepas itu menukarkan kedudukannya lalu duduk bertenggul semula. Dalam keadaan duduk bertenggul itu, sang bakal bergelar akan memegang keris peribadi ataupun keris pusakanya dan mencabutkan daripada bengkung keris bersarung itu dengan tangan kanan justeru meletakkannya keatas hamparan disebelah kanan. Sesudah itu, lalu sang bakal bergelar akan menyusun sembah kepada Raja Pemerintah sebanyak dua kali lagi. Sesudah itu ia menundukkan hulunya lalu bertafakur.

Dalam keadaan sedemikian, terdengarlah suara yang terang dalam suasana yang sunyi sepi seorang juru acara yang membaca, yakni mengistiharkan [si anu] yang sedang bertafakur. Sekiranya dia sudahpun bergelar sebelum itu, maka disebutkan juga gelarannya, pangkatnya dan jawatannya. Justeru dikhabarkan kepada khalayak yang sedia hadir di dalam Balairong Seri akan kenaikan pangkat yang akan disandanginya sebentar lagi.

Disambut oleh Tok Nara dengan lantang menyuarakan “DAULAT” – disahut oleh para hadirin (tidak oleh Sultan dan Raja-raja bergelar yang lain). Laungan ini dibuat sebanyak tiga kali bersambung-sambung dengan sahutan hadirin itu. Maka dengan isyarat tersebut, paluan nobat dimainkan tanpa berhenti lepas satu Man kepada satu Man[1] yang lain bersambung-sambung permainannya.

Di dalam suasana kegemaan bunyian nobat dan nafiri yang menggerunkan, sang bakal bergelar mengangkat sembah sebanyak dua kali lagi. Diapun bangun tegak berdiri dan sekali lagi menyembah Rajanya. Sang bakalpun melaksanakan adab intai-intai dalam keadaan separuh membongkok dengan tangan tersusun memeluk ke bengkung. Dia merenung kehadirin disebelah kanan sahaja. Kelakuan ini dinamakan KIAM. Sesudah berkiam, memandang Rajanya lalu menyembah sekali lagi.

Gara-gara Sang bakal bergelar berkiam, ditemani Toh Seri Nara Diraja di sebelah kanannya.

Kaki kanannya pun dimulai melangkah kehadapan; teruslah dia berjalan perlahan-lahan dalam perasaan gagah perkasa menuju kearah Rajanya itu. Dia berjalan sejauh 1/3 jarak dari tempat ia bertenggul tadi kepada anak tangga Singgahsana. Matanya tetap merenung hanya kepada Rajanya. Sesudah sampai lebih kurang 1/3 jarakan itu tadi, lalu ia berhenti. Tok Nara senantiasa menemaninya disebelah kanan.

Tatkala sampai anggaran 1/3 jarak, sang bakal bergelar itupun memulakan sekali lagi duduk bertenggul. Diperlakukannya adat istiadat menyembah itu serupa dengan pergerakan pada titik permulaannya tadi. Yakni dalam bertenggul, mengangkat sembah sebanyak dua kali dan bangun berdiri. Mengangkat sembah satu kali lagi. Justeru berkiam pula sesudah itu menyembah Rajanya sekali lagi.

Dia sebermula berjalan sambil merenung Rajanya sampailah ke jarak tanda 1/3 yang kedua. Berhenti dan melaksanakan adat bertenggul yang serupa demi menjunjung duli sebermula. Lepas itu berdiri dan berkiam, maka menyembah lagi kepada Rajanya. Sesudah itu melangkah semula menuju kehadapan.

Pada ketika sampai ke tanda 1/3 jarak yang terakhir, sang bakal bergelar itupun duduklah bertenggul dengan sepertinya dan menjunjung duli yang serupa, tetapi sesudah itu dia tiada lagi berdiri.

Sang bakal bergelar itu mengangkat sembah sekali.

Sang bakal bergelar mengesut kehadapan dalam pertenggulan.

Sang bakal bergelar itupun mengesut kehadapan dalam pertenggulan. Mengangkat sembah sekali. Mengesut bagi kali kedua dan menyembah lagi pada Rajanya. Mengesut kehadapan lagi bagi kali yang ketiga, dan menyembah semula. Justeru itu bertenggul lah dia disitu serta tunduk bertafakur. Pengesutan pada kali yang ketiga itu, sang bakal bergelar sudahpun sampai kekaki anak tangga Singgahsana.

Sang bakal bergelar mengesut kehadapan dalam pertenggulan sampai kekaki anak tangga Singgahsana.

Raja Yang Di Pertuan (yakni Paduka Seri Sultan) pun bangun dari Peterakna lalu turun ketingkat bawah, yakni ketangga pertama Singgahsana. Dang Raknawati mempersembahkan kepada Raja alat-alat penepung-tawar. Raja pun mengupacarakan adat menepung tawar sang wira yang kian sedang Ngadap Bertafakur, atau Rapat Sejengkal-Jarak ke Bawah Duli Raja Yang Di Pertuannya.

Sang bakal bergelar sedang ngadap bertafakur atau 'rapat sejengkal-jarak' ke Bawah Duli Raja Yang Di Pertuannya yang sedang menepung tawar.

Dihunus oleh Raja Yang Di Pertuan pedang Chura Si Manjakini[2] lalu dikucupi baginda mata pedang itu. Justeru Raja pun menepuk[3] mata pedang kekuasaan negeri dengan lembut sekali ke bahu kanan Orang Besar Bergelar itu, dan sekali kepada bahu kirinya. Sesudah itu disarungkan kembali Chura Si Manjakini dan diselepangkan kembali ke bahu kanan baginda.

Pawang Diraja pula mempersembahkan secembul perak berisi air persumpahan taat setia[4] kepada Rajanya, justeru dihulurkan oleh Raja kepada Orang Besar baginda itu. Maka diterima oleh Orang Besar cembul perak itu lalu air perjanjian diminumnya seteguk-dua justeru diserahkannya kembali kepada Pawang Diraja.

Dang Raknasari, yakni bentara perempuan pertama, pun mempersembahkan sekuntum bunga emas Pacak Ketur kepada baginda. Pacak Ketur itupun diambil Raja lalu menyematnya kepada dastar Orang Besar itu disebelah atas telinga kanannya.

Bahagian kedua paparan tentang istiadat menjunjung duli ini akan dihuraikan di dalam sebuah lagi paparan YM Raja Kobat Salehuddin di masa terdekat. Gambar-gambar YAM Raja Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz menerima gelaran YAM Raja Kechil Besar sewaktu Hari Keputeraan Sultan Yussuf Izzudin Shah di Ipoh pada tahun 1953 adalah hakcipta British Pathé.

Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.

__________________________________
Nota kaki:
[1] Man: Mantra atau mentera ; penerangan oleh Tok Setia Guna Abd. Aziz (Ketua Nobat). Satu ‘ragam’ muzika nobat = satu Man.
[2] Chura Si Manjakini atau CURI’ SA-MANTERA DAKINI yang asal bersifat Pedang Perang kepunyaan RAJENDRA CHOLA (Raja Suran) dari suku bangsa Chola dari India Selatan. Pedang kuasa ini sering disalah sebut sebagai Cura Si Manja Kini dan kadangkala Pedang Curah Si Mandangkini, dan ada pula segolongan yang menyebutnya Cureka Si Manja Kini.
[3] Gara menepuk dengan pedang Chura Si Manjakini yang terhunus ke bebahu kanan dan kiri itu ditradisikan pada zaman Inggeris mulai 1887. Kala diteliti, ianya seakan upacara ala Raja Inggeris mentauliah “Knighthood” kepada Orang Besarnya! Namunpun, ia bukanlah bertradisi Inggeris, tetapi telah dijadikan sinambung bagi adab pengtauliahan semenjak 1887, kepada gara menepuk bebahu dengan pedang kuasa pemerintah yang termaksud di atas tadi. Sebelum itu, adat istiadat yang asli bukan sedemikian. Adat asalnya adalah bagi bakal pembesar negeri itu mara rapat ke kaki kanan baginda lalu ia mencium tempurung lutut kanan Raja Pemerintahnya. Sesudah itu lalu bertenggul semula.
[4] Ibid., Air Taat Setia: terlebih dahulu hujung mata pedang Chura Si Manjakini telah dicelup oleh Sultan ke dalam cembul perak sambil Pawang Diraja berserapah. Resam ini juga bukan adat asal kesultanan Perak sebelum zaman Inggeris. Resam meminum air mata pedang atau keris diraja ini lazim dipraktikkan dalam upacara persumpahan taat setia orang-orang Bugis di Sulawesi Selatan. Ia diperkenalkan oleh Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah (SP28 1887-1916). Menurut sebabnya pada ketika Sultan Idris I hendak ditabalkan, masih ramai orang-orang besar negeri yang tidak merestui perlantikan baginda. Ianya berkait peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch, penghukuman Dato’ Maharaja Lela dan Dato’ Seri Agar Diraja (Tok Sagor). Yang menjadi hakim perbicaraan mereka ialah Raja Idris yang dilantik oleh Inggeris. Ramai antara bangsawan di-hilir Perak yang masih taat kepada Sultan Abdullah dan Laksamana Mohd Amin yang dipecat ke kepulauan Seychelles (Ogos 1877). Ada juga yang dibuang negeri ke Sekudai, termasuklah Toh Seri Nara Diraja yang ketika itu.

Advertisements

Asas kepada adat menjunjung duli

Paparan ini dipetik daripada naskah penulisan Raja Kobat Salehuddin ibni Almarhum Raja Muda Musa yang bertajuk Tunggak Kepertuanan Raja-Raja Melayu. Intipati yang diperkisahkan di sini adalah sepertimana adat-istiadat yang asli dan asal.

Sesudah diperkenalpasti gerangan asal-usul orang yang hendak dianugerahi gelaran tradisi warisan Bukit Saguntang ini, seterusnya Raja Yang Di Pertuan akan dinasihati oleh Orang Kaya Temenggong, selaku penyelia adat-istiadat, tarikh-tarikh yg paling mustajab, setelah dia nerima ramalan telek perkiraan falak dari Pawang Di-Raja. Sudah tentu ada beberapa kaum waris dari susurgalur yg sama, yang sama juga berhak menyandang gelaran yang sama. Oleh itu keputusan untuk melantik terpulang kepada kearifan Sultan bersama Orang Kaya Bendahara memutuskata perihal kelayakan itu.

Surat rasmi dari Istana Sultan Perak kepada Raja Kechil Tengah Kamaralzaman Raja Mansur memberitahu tarikh perlantikan sebagai Raja Di-Hilir, 1948. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Gelaran bagi sesuatu fungsi jawatan yang wujud di Perak telah menempuhi berbagai fasa-fasa yg tertentu. Gelaran-gelaran bagi pembesar negeri pada asalnya cuma berasal dari keturunan Warisan Srivijaya-Palembang-Melaka-Kampar. Sejak pertengahan abad ke-17, jawatan-jawatan pembesar telah mulai bertambah. Ada yang berketurunan “Pembesar Melaka”, “Warisan Acheh”, “Waris Bugis” dan “Keturunan ‘zaman Inggeris’ di Pasir Salak” dan sebagainya. Kesemua itu perlu diambil kira dan dipilih atas jasa-jasa dedikasi bakti kasih yang telah mereka curahkan terhadap Istana dan Negeri Perak. Meskipun begitu, satu pokok prinsip yang tetap kekal mematuhi adat Ketemenggongan ialah “… kesemua para bakal yang terpilih, adalah mematuhi resam bahawa gelaran dan jawatan warisannya akan dipegang oleh yang dari sebelah benih, dan tidak dari sebelah tanah”.

Menurut resam adat silam, tatkala menerima khabar dari Istana, si penama itu akan menghebahkan berita Di-Raja kepada sekalian sanak-saudara seisi kelompoknya. Di kala itu, justeru acara “berkampong” akan dilangsungkan di tempat pewaris yg tertua antara mereka. Dalam perhimpunan itu, suatu tahkik persumpahan kukuh-mengukuh janji persefahaman akan tertegak, demi menjauhi engkar dan cemburu antara mereka. Penggelaran yang akan dijunjung dek si bakal pembesar negeri itu, adalah berupa suatu penghormatan juga bagi mereka berbangga seisi kelompok bahawa jasa bakti puak mereka selama itu masih karar dihargai Istana. Semangat kebersamaan inilah yang menjadi nadi tunggak ketaatan setia-bakti terhadap Istana dan Negeri. Oleh itu, anugerah Jawatan dan penggelaran dikongsi seisi puak kelompok, dan tidak dianggap selaku kepunyaan individu. Dengan selesainya berikhar janji di antara sesanak-saudara itu, mereka semua bersiap sedia lah menunggu hari paling bangga bagi seluruh kelompok mereka itu.

Sebuah perkampungan Melayu di tebing Sungai Perak. Illustrasi dari buku Major JFA McNair bertajuk 'Perak and the Malays' yang diterbit pada tahun 1878.

Perlu diperingatkan, suasana yang penulis jelaskan disini adalah menurut senario kurun ke-17 hingga 19, sewaktu sistem perhubungan yang moden tidak wujud – yakni kenderaan yang dinaiki merupakan gajah, kereta lembu/kerbau ataupun sampan. Mereka lazim kena bermalam dalam hutan rimba atau di tepian sungai, oleh itu ini memerlukan suatu rombongan demi memeriahkan suasana semasa dalam perjalanan ke Istana.

Menurut yg tercitera, berlangsunglah adat-istiadat menjunjung duli. Jika orang berdarjat besar, diperintahkan orang-orang besar menjemputnya. Jika pangkatnya tidak sebegitu tinggi, orang-orang berpangkat rendahlah yang dikerah pergi menjemput. Dan jika yang nak bergelar itu sudahpun terlebih dahulu bergelar dan sekarang berkenaikan pangkat, seandai darjatnya kini patut dia ampunya pengusungan, maka yang patut bergajah, pihak istana akan meminjamkan gajah-gajah Di-Raja, lantas dia datang menaiki gajahlah, ditemani sanak-saudara berjalan kaki. Yang patut berjalan kaki, maka berjalan kakilah dia dipayungi sanak-saudaranya. Yang mana bertaraf layak digendang, maka dia datang bergendang-gendanglah. Dalam pada itu, ada pula martabat-martabat tertentu dikenalpasti mematuhi warna pakaian atau warna payung. Ada yang berhak berwarna hijau, biru, hitam atau merah, dan yang pastinya berwarna ungu itu besar nilai tarafnya. Sebaik-baik warna jika layak baginya ialah berpayung kuning atau putih. Kedatangan sang bakal-bakal yg besar-besar akan diperkenan Raja disambutnya di pintu kota istana dengan pemaluan separuh ragam alat-alat Nobat.

Menyambungi tatacara adat keistanaan Melaka, maka di Istana Perak juga tiada membenarkan sanak-saudara sang bakal bergelar itu masuk menunggu di bawah bumbung (yakni di dalam) istana selagi sang bakal itu belum di jemput masuk. Sesudah sampai ketika saatnya, para bakal akan dipanggil beratur di kaki tangga utama istana oleh seorang pembesar istana. Tidak dikira pangkat atau darjat sang bakal itu, walaupun dia seorang anak raja, kesemuanya setaraf belaka. Peraturannya mengikut yang terulung di antara mereka akan di hadapan dan yang rendah darjatnya di kebelakang. Kesemuanya dikehendaki berdiri beratur rapat-rapat berpeluk tubuh bagaikan bersambungan. Ini dinamakan bertafakur sambil berpeluk tubuh.

YAM Raja Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz sedang bertafakur sambil berpeluk tubuh. Di kanannya adalah Toh Seri Nara Di-Raja. Gambar ini diambil sewaktu istiadat menjunjung duli sempena menerima gelaran YAM Raja Kechil Besar sewaktu Hari Keputeraan Sultan Yussuf Izzudin Shah di Ipoh pada tahun 1953. (Gambar hakcipta British Pathé)

Bakal-bakal yg akan turut bergelar itu lazimnya tidak melebihi lima orang. Ini adalah kerana sekiranya yang melebihi dari bilangan tersebut, nescaya ada yang tidak akan muat “berlindung di bawah payung sepelepah daun pisang”. Sehelai daun pisang yg besar panjang dan sihat segar telah disediakan bagi acara tradisi kebudayaan Leluhur Saguntang sejak sebelum tamadun Srivijaya Muara Takus lagi, yang telah diteruskan ke zaman kerajaan-kerajaan Palembang, Malayapura dan Temasik. Sesampai ketikanya, seorang Bentara akan memegang tangkai pelepah daun pisang itu dari tingkatan anak tangga kedua atau ketiga, dan para bakal akan diajak oleh beliau untuk berdiri berdimpit dipayunginya. Berapa saat kemudian, muncullah Toh Seri Nara Di-Raja dari dalam istana, lengkap berpakaian istiadat mewajahi pangkat dan darjatnya. Toh Seri Nara Di-Raja berdiri di paras anak tangga yg teratas daripada bakal-bakal yg sedang beratur berpeluk tubuh itu. Justeru Toh Seri Nara Diraja pun membaca Ciri Peringat, sebuah sastera berupa madah puji-pujian berbahasa campuran Melayu kuno, Sanskrit-Pallava dan Arab. Sesudah Toh Seri Nara Diraja bermadah pujangga, lalu direnjis-renjisnya dengan Tepung Tawar Kerestuan kepada sekalian yang berpayungkan daun pisang itu. Sesudah itu mereka dipersilakan masuk oleh Bentara-bentara istana dibawa ke kamar penungguan di suatu tempat di pinggir Balairong Seri.

YAM Raja Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz sedang duduk bertenggul sewaktu menjunjung duli, 1953. (Gambar hakcipta British Pathé)

Bentara Dalam akan melaungkan pengistiharan kepada khalayak yang berada di Balairong Seri bahawa bakal penerima jawatan akan masuk mengadap ke dalam Balairong Seri untuk menjunjung duli. Sang bakal itu pun dipanggil masuk dan Bentara pun menyuruh sambil menunjuk tempat dia akan duduk bertenggul. Sang bakal pun mara ke dalam di hunjung Balairong Seri. Sang bakal lalu berdiri tercegat merenung wajah Rajanya yang sedang bersemayam di peterakna menunggu akan sang bakal itu menunaikan gerak-geri gara adat-istiadat menjunjung duli. Sang bakal tidak menyembah dikala itu. Sesudah itu, sang bakal pun duduk bertenggul di hujung Balairong itu berhadapan dari jauh, sambil tetap merenung wajah Rajanya.

Toh Seri Nara Di-Raja kini mara berdekatan sang bakal, lalu berdiri di sebelah bahu kanan sang bakal. Maka sesudah itu, adat-istiadat menjunjung duli mulai berlangsung khusus di bawah arahan dan kelolaan Toh Seri Nara Di-Raja.

Setiap sudut istiadat menjunjung duli ini akan dihuraikan satu-persatu di dalam sebuah lagi paparan YM Raja Kobat Salehuddin di masa terdekat.

__________________________________
Nota kaki: Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.

Kedudukan seseorang Raja Perempuan Perak

oleh YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa

Kita sewajarnya patut memahami hakikat di sebalik perlantikan ‘Suri Singgahsana’ yang kemudian diertikan sebagai ‘Suri Negeri’ yang diwajibkan oleh adat dan kebudayaan, bagi seorang wanita diperdudukan di sisi suaminya seorang Raja Pemerintah Negeri. Kedua-dua istilah itu sama membawa maksud “PERMAISURI”. “Suri Singgahsana” memanglah dia secara sekaligus ‘Suri Negeri’; tetapi seseorang ‘Suri Negeri’ itu bukan bermakna dia mendapat gelaran Raja Perempuan.

Mengikut tradisi, wanita yang berhak menduduki di sisi suaminya di singgahsana sebagai Raja Perempuan adalah yang memenuhi syarat-syarat yang berikut:

1. Wanita yang telah dilahirkan sebagai “Raja” atau “Tengku”, mahu pun “Raden” atau “Andi” (yakni kerabat diraja Bugis) dan / atau sebagainya, yakni seorang puteri bangsa Melayu, hasil dari perkahwinan yang sah oleh ayahnya yang juga dilahirkan sebagai “Raja” dan sebagainya.

2. Seelok-eloknya “bergahara” dari kedua-dua belah ayah dan ibunya. Inilah yang disebut sebagai “teras gahara yang penuh”; atau jika berbahasa Jawa, ia dikatakan “ningrat”. {Gaharaketurunan raja yang tulen (ayah ibunya anak raja-raja)}

Singgahsana

Singgahsana di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. (Sumber: Laman Rasmi Pejabat DYMM Sultan Perak)

Wanita yang memenuhi syarat-syarat termaksud akan bergelar Raja Perempuan atau Raja Ampuan yang bersemayam di atas peterakna di sisi suaminya di singgahsana.

Perkara ini, walaupun direnungi dari bidang kepercayaan terhadap kebudayaan Hinduisme atau Buddhisme, mahu pun perlaksanaan hukum sosial keIslaman, adalah berkait rapat dengan rasional hakikat kesempurnaan dan kewarasan bagi sang manusia dewasa hidup secara berkelamin. Bagi seorang ketua yang membujang itu, memang tidak diterima di sisi adat Melayu kerana masih dianggap belum sempurna akalnya. Malah, mengikut adat, seseorang Raja Bergelar mulai dari Raja Di Hilir sudah diletakkan adat baginda mesti beristeri demi menduduki pangkat-pangkat termaksud.

Lebih-lebih lagi apakala kita mematuhi hukum Islam. Seseorang yang dilantik menjadi imam masjid, kadi dan apatah lagi mufti, tidak boleh tidak, mesti sudah berpunya, sekurang-kurangnya seorang isteri. Hukum ini termasuklah bagi para pengetua negeri saperti Gabenor, Amir, Khalifah, Al-Malek, Sultan, Raja Muda, Raja Di Hilir, Bendahara dan para pembesar negeri yang terutama, kerana mereka juga dianggap para pemimpin Islam.

Apakah rasionalnya seseorang Ketua Pemerintah Negeri itu perlu mempunyai isteri? Lumrah pemimpin senantiasa didatangi tetamu. Lazimnya, tetamu datang bersama-sama suami dan isteri. Mematuhi hukum Islam, tetamu lelaki perempuan diasingkan di dalam bilik berlainan. Ketua Pemerintah Negeri melayan tetamu lelaki dan isterinya melayan tetamu perempuan. Andai ketua tidak beristeri, tentulah tidak elok tetamu perempuan dilayani bersama. Maka, wajarlah sekalian para pembesar negeri yang tersebut tadi mempunyai setidak-tidaknya seorang isteri.

__________________________________

Nota kaki: Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.

Paparan SembangKuala akan datang akan membincangkan perihal perlantikan Raja Permaisuri dan Permaisuri Perak.