Menggeluncur

Muka hadapan buku 'Malay Sketches' yang diterbitkan pada 1903. (Sumber: Internet Archives)

Dipetik dan diterjemah dari buku bertajuk Malay Sketches yang ditulis oleh Sir Frank Swettenham pada 1903.

Menggeluncur merupakan satu permainan keramaian masa lapang yang unik diamalkan oleh orang Melayu di Perak. Menggeluncur ini selalu dikaitkan dengan aktiviti berkelah di mana ianya dihadiri oleh lebih kurang satu atau dua ratus dewasa dan kanak-kanak yang berpakaian bewarna-warni. Lokasi menggeluncur selalunya di kawasan air terjun yang bertingkah di lereng bukit, dan untuk tiba ke lokasi tersebut, mereka akan berjalan sejauh empat atau lima batu melalui jalan hutan. Setibanya di kawasan air terjun tersebut, mereka akan memanjat batu granit paling besar (lebih kurang 60 kaki panjang dan mempunyai kecuraman 45 darjah) di jeram yang mampu menampung bilangan orangramai yang hadir untuk menggeluncur. Air yang mengalir di atas batu granit jeram ini sedalam seinci atau dua. Di kaki batu granit jeram ini, airnya tidak lebih dari empat kaki dalam. Persekitaran air terjun yang dingin ini terdapat pokok-pokok hutan hijau yang menarik lebih-lebih lagi apabila sinaran cahaya matahari kadangkala menembusi celah-celah dedaunan pohon.

Kaum wanita akan mula memasak juadah untuk berkelah sementara kanak-kanak memulakan permainan menggeluncur ini. Untuk bermain menggeluncur, mereka akan memanjat ke atas posisi teratas di batu granit itu dan menggelongsor turun sejauh 60 kaki ke kolam air di kaki jeram. Walaupun menggeluncur digemari kanak-kanak, orang dewasa tidak ketinggalan untuk turut serta bermain. Selalunya kaum lelaki akan bermain dahulu, kemudiannya kaum wanita. Menggeluncur memerlukan teknik yang baik – cara duduk sewaktu menggelongsor di jeram yang betul adalah dengan duduk tegak. Ada di kalangan pemain lelaki yang akan duduk di atas upih pisang. Kaki pula dirapatkan dan jika teknik pemain betul, si pemain akan menggeluncur dengan baik.

Setelah penat menggeluncur pada tengaharinya, tibalah waktu untuk menikmati juadah yang baru sahaja dimasak oleh kaum wanita. Selepas tamatnya berkelah, mulalah mereka beramai-ramai berjalan pulang ke rumah masing-masing merentasi denai hutan dan sawah ladang.

Gambar ini dikatakan dirakam di Sungai Perak sewaktu Durbar di Kuala Kangsar pada tahun 1897, menunjukkan tetamu-tetamu British yang menghadiri Durbar dibawa menaiki gajah menuju ke kawasan berkelah untuk menggeluncur. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Swettenham menambah yang walaupun aktiviti menggeluncur ini agak ganjil di mata orang Barat, kemungkinan jika dibawa ke Eropah, menggeluncur mungkin mempunyai potensi sebagai suatu aktiviti riadah yang menarik dan menyeronokkan!

Rujukan: Swettenham FA. Menggelunchor. In Malay Sketches. London, New York: John Lane; 1903. p31-7.

Advertisements

Perihal Perak: V. Sistem pelabuhan dan pengangkutan air, bah.1

Berikut adalah paparan tentang sistem perhubungan tali air di Perak dari siri terjemahan buku About Perak yang di tulis oleh Sir Frank Swettenham pada akhir abad ke-19.

Bermula dari sempadan utara negeri Perak, terdapat sebelas sungai yang boleh dimudiki kapal-kapal kecil yang dikuasai stim dan perahu untuk tujuan perdagangan. Sungai Kerian yang dari hulunya dijadikan sempadan Perak dengan negeri Kedah kemudiannya berada di wilayah kepunyaan British. Kapal-kapal hanya mampu memudiki hingga ke Selama, dan mungkin lebih jauh dari situ jika ianya memudiki Sungai Kerian di waktu air naik. Perkhidmatan kapal membawa penumpang dan barang-barangan dijalankan setiap hari menghubungkan Pulau Pinang dengan Nibong Tebal di Province Wellesley (Seberang Perai –Editor); dan sebelum adanya pembinaan jambatan, kapal ini boleh sampai hingga ke Parit Buntar, pusat pentadbiran utama Daerah Kerian dan juga kawasan utama penanaman padi dan tebu. Sememangnya diwaktu itu, perdagangan di antara Parit Buntar dan Pulau Pinang agak pesat.

Pelabuhan Telok Kertang pada tahun 1880an sebelum bukanya Port Weld. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Sedikit ke arah selatan, Sungai Gula mengalir melalui sebuah estet ladang tebu, dan lebih ke selatan lagi, Sungai Kurau yang boleh dimudiki kapal-kapal stim dan sampan. Berbanding dengan Sungai Kerian, kedua-dua sungai ini lebih cetek dan sukar dimudiki kapal yang sederhana saiznya. Di muara Sungai Kurau terdapat sebuah perkampungan nelayan yang besar, dan utara dari sini, terdapat Sungai Siakap dan pekan Bagan Serai yang mempunyai ladang-ladang tebu yang luas. Tebing Sungai Siakap mempunyai banyak pohon nipah yang daunnya boleh dibuat atap. Sungai Siakap juga digunakan untuk menghanyutkan kayu balak ke Pulau Pinang.

Sungai Selinsing dan Sungai Larut berada lebih di selatan, dan kedua-dua sungai ini boleh dimudiki kapal hingga ke Port Weld (Kuala Sepetang –Editor) dan Matang. Port Weld merupakan perhentian terakhir jalan keretapi Larut manakala Matang merupakan perhentian akhir jalan ke Taiping.

Kapal stim di Port Weld, sekitar tahun 1890an. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Perkhidmatan kapal menghubungi Port Weld dengan Pulau Pinang bejalan setiap hari dimana kapal-kapal ini berlayar mengikuti persisiran pantai, manakala kapal-kapal layar Melayu yang lebih kecil banyak berlabuh di Matang. Perhubungan di antara Port Weld dan Taiping, bandar utama daerah Larut, hanya melalui jalan keretapi dan denai yang boleh dilalui kereta kuda. Oleh sebab itu, untuk mengurangkan kos, barang-barang dagangan dibawa melalui jalan air ke Matang, dan dari situ, pedagang-pedagang boleh mengangkut barangan mereka dengan sendiri ke Taiping, Kuala Kangsar dan daerah Kinta.

Walaupun kedudukan Port Weld agak strategik dari segi aktiviti pengagihan barang-barang dagangan dari Pulau Pinang yang hanya 40 batu jauhnya, bilangan penduduknya tidak berkembang pesat. Di sini, kerajaan British telah membina dermaga, menambak tanah, membina jalanraya dan sistem saliran. Bekalan air di Port Weld baik kerana ianya disalirkan dari bukit-bukit di Larut. Semua usaha ini dilakukan dengan harapan Port Weld berkembang sebagai penempatan pedagang-pedagang British. Namun begitu, penduduk Port Weld hanya terdiri daripada kakitangan kerajaan dan sebilangan peniaga runcit yang membekalkan barangan untuk penduduk pekan Port Weld itu sendiri dan kampung-kampung nelayan di persekitaran. Satu pengajaran bagi pihak British di sini adalah supaya tidak membuat keputusan untuk membina pelbagai prasarana dengan melulu.

Keretapi Port Weld-Taiping. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Jika difikirkan, Port Weld hanyalah sebuah tempat di mana orangramai berjalan dari kapal ke stesen keretapi atau sebaliknya, dan kesemua aktiviti yang berlaku di pekan ini boleh dijalankan tanpa ramai kakitangan, yang kebanyakannya lebih suka tinggal di bandar-bandar yang lebih besar seperti Taiping. Oleh kerana sisten keretapi dari Port Weld baik, seorang peniaga akan sanggup ke pelabuhan untuk menyelia pengagihan barang-barangnya sendiri, tanpa bergantung kepada kakitangan pelabuhan atau keretapi. Oleh sebab si peniaga ini boleh kembali ke pekan asalnya dalam tempoh 20 minit setelah selesai hal perniagaannya, tiada sebab untuk si peniaga ini membuat Port Weld tempat kediamannya. Cita-cita British untuk menjadikan Port Weld seperti bandar-bandar pelabuhan di Singapura atau Hong Kong nampaknya tidak berjaya.

Rujukan: Swettenham FA. V. Ports and Waterways. In About Perak. Singapore: Straits Times Press; 1893. p26-28.

Perihal Perak: IV. Sistem perhubungan berkembang, bah.2

Berikut adalah paparan sambungan tentang pembinaan sistem perhubungan moden di Perak dari siri terjemahan buku About Perak yang di tulis oleh Sir Frank Swettenham pada akhir abad ke-19.

Pembukaan jalan raya di Perak telah sedikit sebanyak mengajar kita tentang betapa pentingnya perancangan yang perlu ada sebelum usaha membina sistem jalan raya yang berkesan. Sebuah jalan sepanjang 60 batu yang menghubungkan sebuah pelabuhan dengan sebuah pusat perusahaan yang sibuk tidak dirasai sebagai satu perjalanan yang jauh jika menaik kereta lembu. Malah adanya jalan ini boleh menguntungkan pengguna jalan (yang memerlukan pengangkutan) dan pemilik kereta lembu (yang boleh mengaut keuntungan dari mengambil penumpang). Walaupun jalan raya ini dipanjangkan sehingga seratus batu sekalipun, sistem jalan raya menggunakan kereta lembu dirasai lebih efisien dari sistem perhubungan menggunakan sungai atau keretapi yang mengenakan tambang yang mahal. Ini adalah kerana kereta lembu boleh membawa barangan terus dari kapal di pelabuhan, dan dibawa terus ke muka pintu si-pengimpot barang tersebut. Pengagihan barangan dengan cara ini adalah murah dan risiko untuk kerosakan barang adalah rendah.

Kereta-kereta lembu di Perak mula-mula mengenakan tambang sebanyak 50 sen seorang, dan setiap kereta boleh membawa muatan seramai 23 orang penumpang. Setelah mendapati yang tambang ini terlalu mahal, ianya dikurangkan kepada 10 sen seorang. Pengusaha-pengusaha kereta kuda yang walaupun mendapat subsidi dari kerajaan tidak dapat menawarkan tambang yang lebih murah berbanding dengan kereta lembu. Menaiki keretapi hanya akan menjadi pilihan untuk pengguna yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai sistem jalan raya yang baik atau di kawasan berbukit-bukau. Kereta lembu murah untuk dibeli and senang dijaga. Selalunya tuanpunya kereta lembu itu akan sekaligus menjadi pemandu – dan ini bermakna tuanpunya kereta dapat keuntungan sepenuhnya dari tambang yang dikenakan. Yang perlu dijaga adalah lembu yang digunakan untuk menarik kereta – lembu-lembu ini perlu dijaga kesihatan mereka untuk mengelakkan mereka dari terkena penyakit.

Keretapi mel melepasi terowong berhampiran dengan Padang Rengas. (Source: Google Images)

Walaupun mahal, untuk sampai ke destinasi dengan lebih cepat, keretapi menjadi pengangkutan pilihan. Untuk kerajaan mentadbir negeri Perak, tiada pulangan dari sistem jalan raya untuk menampung kos pembiayaan, manakala tambang yang dikenakan ke atas penumpang keretapi boleh digunakan untuk kos pembiayaan keretapi. Jalan keretapi yang pertama menghubungkan Port Weld dengan Taiping, dan pembinaan ini disebabkan kekurangan lembu untuk menarik kereta akibat wabak penyakit. Jalan keretapi Port Weld-Taiping ini sepanjang 8 batu, dan ianya telah dipanjangkan melalui lombong-lombong bijih ke Ulu Sepetang dan Blanda Mabok di jalan ke Selama.

Jalan keretapi sepanjang 50 batu sedang dibina menghubungkan Teluk Anson ke Ipoh, dan ianya dijangka siap pada akhir tahun hadapan. Keuntungan dari jalan keretapi ini dijangka membawa keuntungan yang baik, lebih-lebih lagi dengan adanya bijih di Kinta dan Batang Padang. Adanya jalan keretapi ini, penggunaan sistem pengangkutan sungai dijangka akan berkurang. Pengagihan barangan impot-ekspot melalui sistem keretapi pelabuhan Teluk Anson-daerah Kinta ini akan mendapat tandingan dari pengangkutan laut yang menghubungkan Pulau Pinang dengan pelabuhan Matang, dan juga sistem jalan raya sepanjang 55 batu menghubungkan Matang dengan Ipoh.

Sistem jalan raya dan keretapi di Perak yang sistematik ini telah berkembang pesat dan tiada pusat lombong bijih atau perkampungan utama yang tidak mempunyai perhubungan dengan tempat atau bandar lain.

Rujukan: Swettenham FA. IV. The opening of communications. In About Perak. Singapore: Straits Times Press; 1893. p22-25.