Siri ‘A History of Perak’: Campurtangan British, bah. 5

Paparan ini merupakan yang terakhir dari Bab VIII buku A History of Perak karangan R.O. Winstedt dan R.J. Wilkinson. Di sini kita dapat melihat perubahan yang berlaku di Perak sebaik sahaja Perjanjian Pangkor ditandatangani.

Sebaik sahaja Sultan Abdullah kembali untuk bersemayam di Batak Rabit, Laksamana (Mohd Amin) dan pembesar-pembesar Melayu yang lain bermesyuarat akibat tidak puas hati dengan syarat-syarat yang termaktub dalam Perjanjian Pangkor yang ditandatangani tempohari, lebih-lebih lagi tentang pengambilan kepulauan dan daerah Dinding oleh British. Walaubagaimanapun, mereka agak gembira dengan syarat yang tidak membenarkan Residen British untuk sama sekali campurtangan dalam adat Melayu dan hal-hal agama Islam. Menteri Larut (Ngah Ibrahim) juga telah membayar sejumlah $12,000 kepada seorang peguam untuk membawa kes beliau ke parlimen di London akibat tindakan yang diambil ke atas beliau oleh British selepas Perjanjian Pangkor, akan tetapi tindakan Menteri Larut ini dihalang oleh Sultan Abdullah. Halangan dari Sultan Abdullah menimbulkan kemarahan Sultan (Muda) Ismail. Apabila (J.W.W.) Birch dan (Frank) Swettenham tiba di Belanja untuk meminta Sultan (Muda) Ismail menyerahkan alat kebesaran negeri Perak, kedua-dua pegawai British ini ditegur oleh Sultan (Muda) Ismail kerana tidak beradab (mereka tidak duduk bersila setibanya di kediaman Sultan Muda Ismail), dan oleh kerana itu, mereka tidak diberi apa-apa kemudahan pengangkutan, samada mengikut jalan sungai atau menaiki gajah, apabila meninggalkan Belanja.

Sultan (Muda) Ismail juga hampa dengan Kulop Riau yang membina jalan dan mengambil masuk ramai pekerja berbangsa Mandailing dari Sumatera untuk membuka lombong bijih timah di Sungai Raya. Bagi Sultan (Muda) Ismail, pembinaan jalan dan lombong ini akan membuka jalan untuk pedagang dan pelombong Eropah memasuki Perak. Maka, dicukainya pelombong-pelombong Mandailing itu setinggi-tingginya menyebabkan bilangan mereka berkurangan dari dua ribu menjadi empat ratus. Sementara itu, Sultan Abdullah telah menerima bayaran sejumlah $13,000 dari seorang Cina Singapura bernama Cheng Ti untuk hak mengutip cukai di hilir Perak. Tindakan Sultan Abdullah ini sebenarnya melanggar arahan dari Singapura di mana sebarang perjanjian untuk membenarkan sesiapapun untuk mengutip cukai, perlu mendapat keizinan Gabenor.

Lombong bijih timah di Taiping, 1880an. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Kawasan bijih timah paling utama di Larut pada dekad 1840-50 berada di Kelian Pauh, tapak Penjara Taiping sekarang. Gambar yang dirakam pada tahun 1890 ini menunjukkan gajah yang sering digunakan sebagai pengangkutan utama di Kamunting. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Posisi Residen Perak sebenarnya tidak diisi serta-merta setelah Perjanjian Pangkor. Kepten Speedy, yang sebelum ini berkhidmat dengan Menteri Larut, telah dilantik sebagai Pembantu Residen. Kepten Speedy telah diarahkan untuk memastikan kongsi-kongsi Cina di Larut meletakkan senjata mereka dan memusnahkan kubu-kubu peperangan mereka. Untuk ini, Kepten Speedy dibantu oleh tiga pegawai yang termasuk Mr. Pickering yang faham dengan hal-ewal orang Cina di Larut. Beliau juga disukai kuli-kuli Cina di mana mereka pernah dihiburkan oleh Pickering dengan tiupan bagpipenya. Laporan dari Speedy bertarikh 23 Februari menyatakan yang tugas mereka di Larut telah berjaya. Seramai 45 wanita Cina dibebaskan dari tahanan kongsi-kongsi gelap dan kongsi-kongsi yang berbalah sebelum ini telah bersetuju untuk mengerjakan lombong-lombong bijih berasingan. Keamanan dicapai dan kaum Cina yang sudah tidak rela berbalah lagi berasa gembira dengan kembalinya kedaulatan undang-undang di rantau ini. Namun begitu, ketiga-tiga pegawai yang membantu Speedy telah diberi layanan yang agak buruk oleh Menteri Larut sebagai balasan kepada tindakan yang dikenakan ke atasnya setelah Perjanjian Pangkor ditandatangani.

Sebelum ini, hasil dari pengeluaran bijih timah di Larut menjangkau jumlah $18,000 sebulan, di mana cukai eksport dan royalti dari ini berjumlah $15,000. Setelah Perjanjian Pangkor, hasil pengeluaran bijih di Larut hanya berjumlah $1338 dalam bulan Mac 1874. Kos perbelanjaan untuk daerah Larut (tidak termasuk kos bangunan, kerjaraya dan perbelanjaan khas) dianggarkan oleh Speedy sejumlah $3000 sebulan. Hasil pengeluaran bijih yang bertambah baik pada bulan Mei dengan jumlah sebanyak $3217 menjanjikan hasil yang lebih baik di masa hadapan, lebih-lebih lagi dengan adanya aktiviti melombong yang lebih ekstensif. Maka, kedudukan kewangan Larut berada dalam keadaan memuaskan pada akhir 1874. Namun begitu, percubaan Sultan Abdullah untuk mengutip cukai tanpa melalui saluran yang rasmi telah menyebabkan masalah. Sebagi contoh, Sultan Abdullah telah membenarkan seorang bernama Abdul Karim untuk membeli tanah lombong, sawah bendang dan ladang di tebing kanan Sungai Kerian pada Mac 1874 tanpa pengetahuan pentadbiran British. Sultan Abdullah juga pada bulan Ogos tahun itu risau jika berlakunya perang saudara di antara baginda dengan pihak Sultan (Muda) Ismail dan Raja Yusuf. Rupa-rupanya perbalahan telah pun bermula di antara Sultan (Muda) Ismail dengan anak kepada Sri Adika Raja di Kuala Tampan dan Banggul Belimbing, Hulu Perak. Sultan (Muda) Ismail berharap yang Maharaja Johor[1] akan menyokong perjuangan beliau. Di waktu yang sama, Sultan (Muda) Ismail menyatakan yang beliau akan mengambil nasihat British tetapi menafikan yang beliau bersepakat dengan Raja Tongkak.

Henry Herbert, Earl of Carnavon ke-4. (Sumber: Wikimedia)

Di waktu itu kesemua jawatan British di Tanah Melayu adalah untuk tempoh yang terhad dan pemilihan jawatan perlu dibuat oleh Gabenor di Singapura. Tiga calon untuk jawatan Residen Perak pertama terdiri daripada Thomas Braddell, Mejar McNair dan James Wheeler Woodford Birch. Pada Oktober 1874, Gabenor Sir Andrew Clarke memilih Birch sebagai Residen Perak pertama dan ianya dikatakan yang Birch juga merupakan pegawai pilihan Sultan Abdullah. Gabenor Clarke kemudiannya melaporkan kepada Earl of Carnavon yang juga menyandang jawatan Menteri Luar Negeri British di London pada 30 Disember 1874 tentang pelantikan itu. Earl of Carnavon percaya yang “Gabenor Clarke telah memikul tanggungjawab yang amat berat untuk membuat pilihan tersebut” dan yakin dengan “kebolehan Birch untuk berinteraksi dengan orang-orang Melayu dengan baik dan cekap”. Birch sebelum ini pernah bertugas sebagai pegawai di Ceylon (Sri Lanka) dan dikatakan mempunyai daya bekerja yang kuat.

______________________________________

Demikianlah terjemahan siri pertama dari buku A History of Perak oleh Winstedt. SembangKuala akan kembali dengan paparan susulan dari buku ini dalam masa terdekat.

Notakaki:
[1]Maharaja Abu Bakar ibni Daing Ibrahim (1868-1886), yang kemudiannya Sultan Johor dari 1886 hingga 1895.

Rujukan: Winstedt RO, Wilkinson RJ. A History of Perak. In: VIII – British Intervention. Kuala Lumpur; MBRAS: 1974. p99-101.

Advertisements

Siri ‘A History of Perak’: Campurtangan British, bah. 4

Paparan ini merupakan sambungan kepada sedutan dari buku A History of Perak karangan R.O. Winstedt dan R.J. Wilkinson. Di sini kita dapat melihat bagaimana Sir Andrew Clarke mengambil langkah pertama untuk British campurtangan dalam hal ehwal negeri Perak melalui Perjanjian Pangkor pada 1874.

Sememangnya berbagai cara boleh digunakan untuk campurtangan dalam hal ehwal negeri Perak, dan tindakan Sir Andrew Clarke dalam hal ini adalah seperti berikut – perubahan polisi asal Sir Harry Ord (mantan Gabenor), pengiktirafan hak Raja Muda Abdullah untuk menjadi Sultan, pemilihan Mr. (J.W.W.) Birch sebagai Residen dan panduan yang diberi kepada Birch dalam menjalankan tugas pentadbiran.

Pemandangan Singapura di akhir kurun ke-19. (Sumber: Google Images)

Sewaktu Perjanjian Pangkor dimeterai, Sir Andrew Clarke mungkin tidak mengetahui yang mantan Gabenor Ord telah sebelum ini mengiktiraf Menteri Ngah Ibrahim sebagai pemerintah Larut yang boleh dikirakan bebas dari pengaruh Sultan. Dokumen perihal Menteri Larut berada di Pulau Pinang diwaktu itu dan dokumen ini hanya dapat dikaji oleh Gabenor Clarke pada 23 Januari 1874. Dari dokumen tersebut, walaupun kenyataan yang dibuat mantan Gabenor Ord di Majlis Singapura (Singapore Council) tidaklah eksplisit, kekacauan yang berlaku di Larut dianggap oleh Singapura sebagai masalah yang perlu diselesaikan oleh pentadbiran di Pulau Pinang. Di waktu itu, segala nasihat yang diberi berkenaan hal ehwal di Larut adalah melalui Leftenan-Gabenor Anson di Pulau Pinang; manakala penasihat-penasihat Gabenor Clarke di Singapura seperti Mr. (Thomas) Braddell yang tidak pernah ke Larut mungkin tidak dapat memberi gambaran sebenar tentang kekacauan di sana.

Tan Kim Ching. (Sumber: Google Images)

Walaupun Gabenor Clarke telah diarahkan oleh London untuk memperkenalkan sistem Residen, beliau tidak menerima arahan tentang kaedah yang patut digunakan untuk berbuat demikian. Oleh itu, beliau mengambil kesempatan terdekat apabila Raja Muda Abdullah yang baru dilepaskan dari tahanan oleh Leftenan-Gabenor Anson (Raja Abdullah sewaktu itu ditangkap oleh anak kapal Midge) berada di Singapura setelah meminjam $1,000 dari Shahbandar (Uda Maamor). Bagi sesetengah pihak, Raja Muda Abdullah dirasakan sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai manakala musuhnya, Menteri Ngah Ibrahim, merupakan pembesar yang kuasanya diiktirafi penduduk Larut. Raja Muda Abdullah sanggup menerima sistem Residen tersebut asalkan beliau dapat menduduki takhta negeri Perak sebagai Sultan. Sewaktu Raja Muda Abdullah berada di Singapura, beliau disara oleh seorang hartawan Cina bernama (Tan) Kim Ching[1], yang merupakan Konsul kerajaan Siam. Kim Ching sebelum ini telah membuat perjanjian bersama Raja Muda Abdullah di mana beliau mendapat hasil kutipan dari Larut selama sepuluh tahun jika beliau boleh memujuk pihak British untuk mengiktiraf Raja Muda Abdullah sebagai Sultan Perak. Seorang ahli Majlis Singapura bernama W.H. Read kemudiannya membawa Raja Muda Abdullah untuk berjumpa dengan Gabenor Clarke, dan selepas itu memujuk Raja Abdullah untuk menulis surat bertarikh 30 Disember 1873 meminta supaya seorang Residen dilantik jika Raja Abdullah menaiki takhta. Inilah peluang keemasan yang Gabenor Clarke nantikan selama ini.

Gabenor Clarke memikirkan yang ianya adil jika Raja Muda Abdullah mengiktiraf kedudukan Menteri Larut setelah menjadi Sultan, dan Menteri Larut berbuat sedemikian kepada Raja Abdullah. Namun, jalan tengah yang dicarikan ini tidak akan berhasil kerana Ngah Ibrahim tidak akan mengiktiraf Raja Abdullah sebagai Sultan, lebih-lebih lagi apabila British sudahpun sebelum ini sudah mengiktiraf kedudukan dirinya sendiri sebagai pemerintah Larut. Namun, sikap Menteri tersebut tidak diketahui Gabenor Clarke dan penasihatnya, Thomas Braddell, lalu mereka menganggapnya sebagai seorang yang degil, tidak menuruti perintah dan suka memberi masalah, dan ini dinyatakan di dalam laporan yang dibuat oleh Braddell tentang rundingan di Pangkor. Braddell pula, sewaktu menegur Ngah Ibrahim tentang penggunaan gelaran tengku, tidak tahu bahawa di Perak seorang menteri yang tidak berdarah raja boleh dipanggil tengku, tidak seperti di Singapura di mana gelaran tengku hanya boleh digunakan oleh anak-anak raja sahaja.

Perjanjian Pangkor, 1874. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Pada 20 Januari 1874, Gabenor Clarke berjaya memujuk (Raja) Bendahara, Temenggung dan Menteri Larut untuk turut bersama pembesar-pembesar dari Hilir Perak, (Datuk) Seri Agar DiRaja, Laksamana (sepupu kepada bonda[2] Raja Abdullah) beserta timbalannya Raja Mahkota, dan Shahbandar, yakni pembesar-pembesar yang asalnya menyokong Raja Abdullah. Raja Abdullah pun menjadi Sultan Perak dan baginda bersetuju untuk menerima seorang Residen British di mana “… nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.“[3]. Di mata British, Sultan Abdullah merupakan Raja yang berhak menduduki takhta negeri Perak, yang bijak dan memahami nilai-nilai hidup Barat, dan tindakan pembesar-pembesar Melayu menghalang beliau daripada menjadi Sultan kerana beliau tidak menghadiri pengkebumian Almarhum Sultan Ali dianggap oleh British sebagai “tidak munasabah”. Walaupun perlantikan Sultan Ismail sah, beliau “dipecat” dan diberi gelaran baru[4] dan pencen sejumlah $1000 sebulan.

Gambar yang dirakam pada tahun 1875 ini menunjukkan pentadbir dan pegawai British yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Sir William Jervois, yang duduk di tengah-tengah merupakan Gabenor baru menggantikan Gabenor Clarke. Berdiri dari kiri - Dr. Anderson; Kepten Innes; Mejar F. McNair; Lt. Henry Mc Callum; J.W.W Birch; W. Knaggs (memakai suit terang); Kepten Speedy; Frank Swettenham. (Sumber: Arkib Negara Malaysia)

Setelah selesai perjanjian dimeterai, Raja Osman (ibni Almarhum Sultan Ali) tetap memegang jawatan Raja Bendahara. Ngah Ibrahim kekal sebagai Menteri Larut[5] walaupun British merasakan beliau tidak efektif dalam menangani masalah kekacauan di Larut. Gabenor Clarke juga merasakan jika jawatan Menteri dikekalkan bagi Ngah Ibrahim, keamanan boleh dipastikan di daerah tersebut. Namun begitu, Menteri Ngah Ibrahim diminta untuk membayar kepada British wang kerugian akibat kekacauan di Larut. Tidak menghairankanlah beliau menjadi marah setelah selesainya Perjanjian Pangkor, lebih-lebih lagi apabila beliau pernah menulis surat pada 1873 kepada Sultan Abdullah sewaktu baginda bergelar Raja Muda menjanjikan untuk mengiktiraf Raja Muda Abdullah sebagai Sultan Perak dengan syarat yang Sultan Abdullah tidak masuk campur dalam hal ehwal daerah Larut. Namun begitu, dua atau tiga hari setelah menerima surat tersebut, Raja Muda Abdullah memberi persetujuan untuk menyokong kongsi gelap Ghee Hin, musuh kepada kongsi gelap Hai San yang disokong Ngah Ibrahim. Setelah Perjanjian Pangkor selesai, Sultan Abdullah diminta untuk menyerahkan kepulauan Dinding kepada Britain walaupun ini menimbulkan kemarahan para pembesar Melayu. Oleh kerana perjanjian awal yang dibuat kepada (Tan) Kim Ching, Sultan Abdullah juga menyerahkan secebis dari tanah besar Dinding[6] kepada British.

[Bersambung…]

Notakaki:
[1]Tan Kim Ching (陳金鐘) merupakan anak kepada Tan Tock Seng, seorang hartawan di Singapura.
[2]Wan Ngah Mahtra.
[3]Fasal 6, Perjanjian Pangkor.
[4]Gelaran baru Raja Ismail adalah ‘Sultan Muda’ setelah Perjanjian Pangkor ditandatangani.
[5]Winstedt menerangkan dalam bukunya yang Menteri Larut meminta supaya beliau diberi kerusi untuk duduk bersama Raja-raja yang hadir di meja perjanjian, namun beliau dikerah oleh Mejar (Frederick) McNair untuk duduk di atas lantai kapal bersama pembesar-pembesar Melayu yang lain.
[6]Cebisan tanah besar dan kepulauan Dinding ini merupakan jajahan Manjung sekarang.

Rujukan: Winstedt RO, Wilkinson RJ. A History of Perak. In: VIII – British Intervention. Kuala Lumpur; MBRAS: 1974. p97-9.

Siri ‘A History of Perak’: Campurtangan British, bah. 3

Paparan ini merupakan sambungan kepada sedutan dari buku A History of Perak karangan R.O. Winstedt dan R.J. Wilkinson. Di sini kita dapat melihat bagaimana British mengubah kedudukan mereka dalam isu campurtangan hal ehwal negeri-negeri Melayu, termasuk Perak.

Sewaktu Sir Harry Ord, Gabenor Negeri-negeri Selat, memeterai perjanjian dengan negeri Kedah pada tahun 1868[1], Pejabat Jajahan (Colonial Office) di London tidak membantah akan perjanjian tersebut. Namun begitu, Pejabat Jajahan telah mengeluarkan arahan yang menyatakan bahawa “…secara amnya, kami tidak menggalakkan Gabenor untuk membuat sebarang perjanjian dengan mana-mana pemerintah penduduk asal, kecuali dalam hal-hal yang dirasakan selaras dengan kepentingan dan polisi yang wujud dengan persetujuan kerajaan Empayar British.” Arahan ini sememangnya logik jika dibaca akan tetapi “polisi yang wujud dengan persetujuan kerajaan” di waktu Sir Harry Ord memegang jawatan Gabenor adalah polisi yang menghalang sebarang campurtangan dalam hal ehwal penduduk asal[2]. Apabila sekumpulan pedagang dari Melaka menghantar petisyen kepada Gabenor pada bulan Julai 1872 mengenai kerugian yang dialami mereka akibat perang saudara di Selangor, jawaban dari pejabat Gabenor di Singapura menyatakan:

“Polisi Kerajaan British menghalang sebarang campurtangan dalam hal ehwal penduduk asal, kecuali dalam hal-hal membanteras aktiviti lanun atau mengambil tindakan jika adanya serangan ke atas rakyat British atau negeri-negeri jajahan British; dan jika mana-mana pedagang mengambil risiko di kawasan luar dari jajahan British demi untuk mengaut keuntungan besar, Kerajaan British tidak dapat berbuat apa-apa untuk memberi sebarang perlindungan.”

Jawaban ini dibuat dengan persetujuan Lord Kimberley[3] pada bulan Disember 1872. Arahan untuk tidak campurtangan ini sekali lagi diutarakan dalam sebuah pekeliling bertarikh 5 Julai 1873 dan juga di dalam surat yang ditulis kepada Seymour Clarke bertarikh 5 Ogos 1873. Namun begitu, dari tarikh tersebut terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa polisi untuk British tidak campurtangan ini mula beralih, dan ini dapat dilihat di dalam kandungan sepucuk pekeliling kepada Gabenor bertarikh 20 September 1873:

“Kerajaan British sememangnya tidak mahu untuk campurtangan dalam mana-mana hal ehwal negeri-negeri penduduk asal; akan tetapi memandangkan yang kerajaan British sudah mempunyai pertalian rapat dengan negeri-negeri ini, kerajaan British merasakan yang ianya mempunyai tanggungjawab untuk menghulurkan bantuan kepada Raja-raja pemerintah yang boleh menyelamatkan negeri mereka yang kaya dengan sumber asli ini dari musnah sama sekali akibat persengketaan dalaman.

“Oleh itu, kami memerlukan pihak anda di Singapura untuk menentukan keadaan politik sebenar di setiap negeri Melayu dan melaporkan balik kepada London, pada pendapat anda, mana-mana negeri Melayu yang dirasakan perlunya Jabatan Jajahan mengambil langkah untuk menstabilkan keadaan dan mengembalikan keamanan supaya perdagangan British dengan negeri-negeri tersebut dapat perlindungan yang sewajarnya. Kami juga menasihati pihak anda untuk mempertimbangkan samada perlunya seorang pegawai British untuk menetap di negeri-negeri yang dimaksudkan di atas. Namun begitu, perlantikan pegawai ini perlu mendapat persetujuan penuh dari Raja pemerintah negeri tersebut, dan gaji pegawai itu perlu dibayar oleh pihak anda di Singapura.”

Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri-negeri Selat (1873-1875) yang menggantikan Sir Harry Ord. (Sumber: Wikimedia)

Sememangnya polisi campurtangan ini telah dipertimbangkan oleh London seawal Ogos 1873 sebelum diluluskan pada September 1873. Keputusan untuk campurtangan ini dibuat bukan oleh Sir Harry Ord sendiri, lebih-lebih lagi di waktu itu beliau akan meninggalkan kedudukannya sebagai Gabenor, tetapi oleh penasihat-penasihat Gabenor disebabkan pertelingkahan yang banyak berlaku di Larut, Selangor dan Negeri Sembilan. Arahan untuk campurtangan ini juga lebih ditujukan kepada bakal Gabenor yang baru, Sir Andrew Clarke, yang di waktu itu masih berada di London.

Kemungkinan juga polisi asal British untuk tidak campurtangan menyusahkan pentadbiran Negeri-negeri Selat, lebih-lebih lagi apabila pentadbiran ini diterajui seorang Gabenor yang serba boleh sepert Gabenor Ord. Jika dilihat keadaan kacau-bilau di waktu itu, perubahan polisi British supaya campurtangan sebenarnya dirasakan amat wajar. Sewaktu Raja Yusuf menghantar surat kepada Gabenor di Singapura pada tahun 1869 untuk menuntut takhta negeri Perak, Setiausaha Jajahan (Kolonel Macpherson) dengan terbuka mengatakan yang beliau kecewa kerana tidak mengambil kesempatan untuk campurtangan dalam masalah politik di Perak sekaligus meletakkan seorang pegawai British di Perak. Sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan pada 1871 yang dianggotai pentadbir British (termasuk Major MacNair) juga menyatakan perlunya Residen British diletakkan untuk mentadbir negeri-negeri Melayu. Sir George W.R. Campbell, Leftenan-Gabenor Pulau Pinang, pada 1872 menyatakan:

“Dengan rendah dirinya saya ingin menyatakan, lebih-lebih lagi sebagai seorang pegawai yang baru sahaja bertugas di rantau ini, yang kita perlu memikirkan samada perlantikan seorang Residen atau agen politik British di negeri-negeri Melayu akan memberi faedah yang ketara, seperti mana kita dapat lihat di India. Jika dilantik, Residen ini perlu mempunyai kecekapan mentadbir, sahsiah yang baik dan perlu fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Ini dapat dilihat di India, di mana negeri-negeri yang mempunyai pegawai British yang cekap mudah berkembang dan pembangunan berlaku dengan pesat dalam hanya beberapa tahun.”

Dari sini, kita boleh membuat kesimpulan yang keputusan untuk campurtangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu ini dipersetujui ramai pihak dalam pentadbiran British, dan bukannya datang dari Gabenor Ord seorang. Ketibaan Sir Andrew Clarke di Singapura sebagai Gabenor yang baru pada November 1873 dengan tidak sengaja sama dengan waktu keputusan London membenarkan campurtangan British di negeri-negeri Melayu, dan beliau mendapat arahan untuk berbuat demikian di London lagi.

Dan pada 20 Januari 1874, Perjanjian Pangkor ditandatangani.

[Bersambung…]

Notakaki:
[1]Perjanjian di antara Kedah, Siam dan pihak British ini dibuat untuk mengukuhkan perjanjian asal yang dibuat pada 1802, berkenaan garis sempadan antara Province Wellesley dan Kedah. Kerajaan British di Province Wellesley dan Pulau Pinang juga dikehendaki membayar 10 ribu dolar Sepanyol setahun kepada Kedah.
[2]Yakni orang-orang Melayu dalam konteks rantau ini.
[3]John Wodehouse, 1st Earl of Kimberley merupakan seorang pentadbir yang bertugas di Pejabat Jajahan di London yang kemudiannya memegang jawatan Menteri Luar Negeri pada 1894.

Rujukan: Winstedt RO, Wilkinson RJ. A History of Perak. In: VIII – British Intervention. Kuala Lumpur; MBRAS: 1974. p95-7.