Badi: sebuah kajiselidik W.W. Skeat, 1899

W.W. Skeat. (Sumber: Google Images)

Walter William Skeat (1835-1912) merupakan seorang ahli akademik yang memegang jawatan Elrington and Bosworth Professor of Anglo-Saxon di Christ’s College, Universiti Cambridge. Berikut adalah terjemahan hasil kajiselidik W.W. Skeat mengenai badi yang terkandung dalam bab ‘Medicine’ yang dipetik dari buku beliau, Malay Magic – Being An Introduction To The Folklore And Popular Religion Of The Malay Peninsula, terbitan MacMillan & Co., London pada tahun 1899.

__________________________________

Salah satu daripada upacara yang wujud dalam amalan perubatan tradisional adalah upacara mengubat pesakit yang telah dirasuk atau disampuk. Tubuh seorang pesakit mungkin terkena sampukan tanpa disedari apabila memegang binatang atau burung yang mati, tatkala badinya masih belum keluar dari tubuh binatang itu. Pesakit ini dikatakan disampuk Raja Hantu (king of the spirits) – dan adakalanya oleh Hantu Pemburu (wild huntsman) atau Batara Guru.

Golongan pawang yang mengamalkan cara perubatan tradisi ini menamakan elemen jahat (atau “satu kuasa jahat”) badi, yakni sebuah elemen yang akan mengacau semua makhluk hidup. Badi ianya bukan hanya datang dari benda bernyawa (manusia dan binatang) sahaja, malah badi boleh datang dari pokok, batu atau bahan-bahan galian yang juga dianggap oleh pawang-pawang ini sebagai benda yang bernyawa.

von der Wall di dalam penulisannya menggambarkan badi sebagai “sesuatu yang mempunyai daya tarikan atau pun menggerunkan”, seperti gerun seekor harimau (gerun ini boleh dilihat pada pengamal penggerun yang selalunya dari golongan pendekar atau panglima), rasa takut apabila melalui pokok yang beracun atau air liur dari seekor anjing gila. Pendek kata, suatu ‘semangat’ yang mendatangkan kemudaratan.

Upacara pembuangan badi ini bukan sesuatu yang yang dipandang remeh oleh orang Melayu, malah ianya suatu upacara yang amat mustahak di zaman dahulu kala. Ini adalah kerana badi berkait rapat dengan elemen yang tidak baik yang datang benda yang telah mati. Dipercayai adanya seratus sembilan puluh jenis badi, manakala ada yang mengatakan seratus sembilan puluh tiga.

Terdapat pelbagai versi asal-usul badi ini. Ada yang mengatakan bahawa badi pertama muncul dari tiga titik darah Nabi Adam a.s. yang menitis ke bumi. Ada pula yang percaya yang badi asalnya datang dari biawak disusuli oleh badi-badi yang wujud sekarang. Asal-usul badi juga dikatakan oleh pawang-pawang dan bomoh-bomoh yang ianya datang dari hati atau ulur kayu balak (heart of timber) dan dari Mambang Kuning (langit yang kekuningan di waktu matahari terbenam).

Asal-usul badi ini dapat dilihat dalam jampi serapah berikut:

“Wahai kejahatan, ibu segala kejahatan,
Kejahatan sebanyak seratus sembilan puluh,
Kami tahu asal-usul kamu,
Kejahatan biawak asal-kamu,
Hati ulur balak asal kamu,
Sinar kuning Mambang Kuning asal kamu.”

Ada juga cerdik pandai perubatan Melayu menyatakan bahawa badi yang pertama adalah anak kepada Jin Ibn Ujan, yang mendiami kawasan gua-gua, awan di langit dan di lurah-lurah bukit.

Oleh kerana badi ini bukan sahaja berada didalam benda-benda bernyawa (termasuk binatang seperti gajah dan badak sumbu), malah dalam benda yang tidak bernyawa (seperti tanah, busut semut, kayu, air, batu), dikatakan tangkal azimat rusa dapat mengembalikan kesemua badi ini ke tempat asal-usulnya – sebagai contoh badi biawak balik ke biawak, badi Mambang Kuning kembali ke Mambang Kuning dan sebagainya.

Nota tambahan:
1. Tangkal Gajah juga dikenali sebagai Badiyu, Mak Badi, Badi Panji atau Mak Buta.
2. Tangkal Rusa juga dikenali sebagai Ah Badi, Mak Badi, Hei Badi Serang, Badi Mak Buta, SiPanchur atau Mak Tuli.

Rujukan: Skeat, Walter William. Malay Magic Being An Introduction To The Folklore And Popular Religion Of The Malay Peninsula. London: MacMillan & Co; 1899.

Leave a comment