Artikel ini menerangkan akan hal ehwal yang berkaitan dengan pengertian yang tersirat tentang tiga (3) watak iaitu Raja Yang Dipertuan, Sultan dan Raja Pemerintah yang terdapat didalam Adat Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak yang melibatkan beberapa peringkat iaitu Adat Istiadat Tabal Kerajaan iaitu Istiadat Pemahyuran sebagai Sultan Perak Darul Ridzuan yang baru selepas Kemangkatan Raja Pemerintah Negeri Perak yang sedang memerintah. Kemudian Istiadat Tabal Adat dan akhir sekali Istiadat Tabal Pusaka. Kedua-dua istiadat ini dilaksanakan selepas 100 hari Raja Pemerintah Negeri Perak yang baru dilantik. Namun sebelum Istiadat Tabal Adat dan Istiadat Tabal Pusaka dijalankan adalah menjadi kelaziman Istiadat Meletak Kerja Pertabalan dilakukan terlebih dahulu dengan mendapat perkenan Raja Pemerintah. Artikel ini jua melibatkan beberapa versi Istiadat yang telah dilaksanakan oleh Raja-Raja Pemerintah Negeri Perak yang terdahulu yang berakar umbi daripada Istana Kesultanan Melayu Melaka. (klik Raja Yang Dipertuan untuk mengetahui istilah yang lebih mendalam perihal Raja Yang Dipertuan.
Istiadat Tabal Adat merupakan upacara pertabalan rasmi di mana Raja Pemerintah baru akan ditabal secara rasmii dalam Balairong Seri Istana. Namun Istiadat Tabal Pusaka pula mempunyai kesenian budaya mengikut beberapa fasa istiadat yang melibatkan kawasan didalam dan luar Istana seperti berikut :
– Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada,
– Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak,
– Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan,
– Istiadat Bersiram Tabal dan
– Istiadat Menyantap Nasi Berastakona.
Pemasyhuran Raja Pemerintah yang baru telah dibuat oleh Orang Kaya-Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Jen (B) Mohd Zahidi Zainuddin sekitar jam 3.15 petang pada 29 Mei 2014 yang di Balai Rongseri Istana Iskandariah. Kuala Kangsar.
Dalam lafaz sumpah.
Laungan Daulat Tuanku dilaungkan sebanyak 3 kali (Dengan Tangan Merafak Sembah).
Kemudian di akhiri bacaan Doa Selamat oleh Mufti Negeri Tan Sri Harussani Zakaria.
ISTIADAT TABAL KERAJAAN
Istiadat Tabal Kerajaan merupakan Pemasyhuran ataupun Perlantikkan Sebagai Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan yang baru bagi mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang berpaksikan Sistem Raja Berperlembagaan didalam Negara Malaysia. Perlantikkan sebagai Raja Pemerintah membolehkan jenazah Almarhum Raja Pemerintah yang mangkat di sempurnakan mengikut adat istiadat. Raja Pemerintah baru akan dilantik oleh Dewan Negara Perak. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja mengumumkan perlantikan Raja Pemerintah baru di khalayak orang besar-besar dan orang kenamaan yang hadir di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Selepas pengumuman, para hadirin menyeru tiga kali ‘Daulat Tuanku’. Raja Pemerintah baru meletakkan tangan kanannya pada keranda almarhum sebagai tanda penerimaan perlantikan tersebut dan tanda izin untuk keranda almarhum di angkat dan di usung keluar untuk Istiadat Pemakaman oleh Waris Negeri [Anak Raja]. Gambar diatas memperlihatkan Istiadat Tabal Kerajaan (Klik Link diruang untuk melihat Istiadat Tabal Kerajaan) yang telah disempurnakan pada 29 Mei 2014 yang lalu. [Adat zaman dahulu, apakala seseorang Sultan mangkat, pada masa hendak diturunkan jenazah almarhum itu daripada istana, sebelum diangkat maka Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda akan berdiri hampir disebelah ulu keranda itu. Kemudian seorang kepada Bentara iaitu Toh Seri Nara Diraja pun berseru menyatakan dengan nyaring suaranya kepada sekalian raja-raja dan orang besar-besar semua yang hadir mengatakan :
Bahawa dengan kurnia Allah dan Rasulnya serta dengan kesukaan dan persetujuan raja-raja dan orang besar-besar sekalian isi negeri maka pada masa dewasa yang baik dan saat yang sempurna inilah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Wakil Sultan dilantik Yang Dipertuan Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri ini iaitu mengantikan almarhum yang telah kembali kerahmatullah ini.
Maka sekalian raja dan orang besar serta hadiri yang hadir mengatakan “Daulat Tuanku”. Maka Duli Yang Maha Mulia itu pun menjamah meletakkan tangan pada keranda itu serta memberi titah perintah kepada segala raja-raja dan orang besar-besar sahaja menyuruh angkat keranda itu turun daripada istana diletakkan kedalam seraja diraja yang telah tersedia dihalaman istana itu. Maka seraja diraja itupun diangkat orang dan semboyan meriam pun dipasang sebanyak umur almarhum itu. Mengikut adat Negeri Perak tiadalah diturunkan keranda almarhum itu selagi belum ditetapkan gelar gantinya. Maka jikalau tiada Raja Muda itu hadir dengan apa-apa sebab maka haruslah digelar Raja Bendahara menjadi Pemangku Sultan dan jikalau tiada Raja Bendahara diangkatlah seorang daripada Orang Besar Empat yang lebih umurnya menjadi Pemangku.
1. TABAL ADAT
Istiadat Tabal Adat adalah upacara pertabalan rasmi di mana Raja Pemerintah baru akan ditabal secara rasmi mengikut adat resam turun-menurun dan dengan penuh gilang-gemilang. Istiadat ini dilangsungkan di dalam Balairong Seri, Istana Iskandariah dengan keberangkatan hadir wakil-wakil Sultan dan Raja Pemerintah Negeri yang lain dari Semenanjung Malaysia serta Negara Brunei Darussalam. Turut diundang hadir adalah Menteri Besar, orang besar-besar, wakil rakyat dan orang kenamaan. Lazimnya adat zaman berzaman, pada Istiadat Tabal Adat ini hanya melibatkan Raja Pemerintah sahaja. Kerna itu disebut Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan [Terhimpun didalam Buku Adat Lembaga Orang-Orang Melayu Didalam Negeri Perak Darul Ridzuan Daripada Zaman Purbakala].
Terhimpun didalam Buku Adat Lembaga Orang-Orang Melayu Didalam Negeri Perak Darul Ridzuan Daripada Zaman Purbakala]. Sebelum detik Pertabalan dilangsungkan, peralatan pertabalan iaitu Perkakas Kerajaan telah di mulakan terlebih dahulu dengan paluan Nobat pagi dan petang selama 4 hari berturut-turut sehingga saat pertabalannya ditentukan. Tepat pada jam yang ditentukan, paluan Nobat lagu “Raja Berangkat” akan dibunyikan. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan yang telah siap sempurna berpakaian lengkap dengan Mahkota (Jata Paduka Seri Sultan) yang diletakkan di Tengkolok dan memakai pontoh bernaga dan rantai bunga naga serta rantai bunga nyior berangkat masuk ke Balairong Seri dengan didahului oleh Panglima Besar, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir berserta juruiring. Baginda Sultan lalu naik bersemayam di atas singgahsana, manakala yang lain-lain mengambil tempat masing-masing.
(Dewasa kini) Istiadat Pertabalan dimulakan dengan Dato’ Pengelola Bijaya Diraja yang menatang AL-QURAN diiringi Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Perak masuk ke Balairong Seri bersama Pawang Diraja – Raja Chik Muda [dahulunya dikenali sebagai Y.A.M Raja Kechil Muda] dikapit oleh Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri pun membawa masuk dengan menatang PEDANG CURA SI MANJA KINI [Asalnya Curik man Dakini] diikuti Bentara-Bentara yang membawa perkakas kerajaan yang lain. lalu diletakkan dihadapan singgahsana melainkan Cap Halilintar dan Mestika Embun yang telah sedia disimpan oleh Toh Seri Nara Diraja. Apabila tiba di hadapan Singgahsana Dato’ Pengelola Bijaya Di-Raja memohon perkenan Baginda untuk meletakkan AL-QURAN di atas meja khas. (klik PEDANG CURA SI MANJA KINI untuk mengetahui riwayatnya).
Pawang Diraja – Raja Chik Muda mengambil tempatnya. ketika itu juga Panglima Besar menyembah dan terus mengambil Pedang Cura Si Manjakini, dan diserahkan kepada Pawang Diraja – Raja Chik Muda, setelah memberi hormat, Pedang Cura Si Manjakini dibawa naik oleh Pawang Diraja – Raja Chik Muda ke Singgahsana hingga ke tingkat dua, bertelut menyembahkan Pedang Cura Si Manjakini.
[Adat zaman dulu yang masih dipraktikkan sehingga bahagian membisikkan RAHSIA NISAB SULTAN”]. Paduka Seri Sultan mengambil Pedang Cura Si Manjakini itu lalu menghunus akannya dan lalu mengucup serta disarongkan semula, maka baginda pun menyandangkannya dibahu kanan. Pawang Diraja – Raja Chik Muda mengundur diri dari Singgahsana. Kemudian datanglah Toh Seri Nara Diraja [Tidak Menyembah] dihadapan Baginda yang sedang berdiri menyampaikan sebutir Mestika Embun disendat dibahagian hadapan ke dalam bengkung diraja dan meletakkan Cap Halilintar (Mohor Kecil) Kayu Gempa diselit ke Tengkolok Diraja diatas telingga kanan Baginda, Kemudian meneliti tepat kepada wajah Baginda seberapa ketika. Kemudian Toh Seri Nara Diraja meletakkan kedua-dua tapak tangannya, bongkok berpaut keatas bahu Baginda, dan dengan perlahan membisikkan di telinga “RAHSIA NISAB SULTAN“. (Usul Keturunan Pemerintah yakni Sanskrit ‘Ciri’) Bisikan itu, dilafazkan berbahasa Pallava-Sanskrit. Selepas itu Toh Seri Nara Diraja berundur dan melanungkan DAULAT sekali dan kemudian mengangkat menyembah dan berundur mengambil tempatnya. Kemudian diikuti pula dengan Pengisytiharan Pemasyhuran Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan yang dibaca oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan berseru tiga kali “DAULAT TUANKU” berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir. Selepas itu Paduka Seri Sultan membalas dengan menundukkan hulu Baginda berulang-ulang. Kemudian Baginda bersemayam semula dan “Nobat Tabal” dipalu untuk ujian (Cekal Daulat) dan tembakan meriam dua puluh satu das dilepaskan. Upacara ditamatkan apabila Tuan Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Perak bangun dan membaca Doa Selamat. (klik Nobat Tabal untuk mengetahui riwayatnya).
(Dewasa kini) Apabila semuanya mustaid Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mengangkat sembah, bertinggul dan mengangkat sembah kepada Paduka Seri Sultan mohon izin perkenan untuk Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri mengadap. Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri bangun mengangkat sembah kepada Paduka Seri Sultan, bertelut dan mengangkat sembah. Toh Rakna Senari mengadap dan menyembah “BUNGA PENCAWA PENCARA” kepada Paduka Seri Sultan. Baginda mengambil dan menyematkan ke hulu Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri. Selepas itu Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri mengadap, mengangkat sembah dan mengucup tangan Paduka Seri Sultan dan seterusnya Paduka Seri Sultan mempersilakan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri bersemayam semula diikuti dengan Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri.
(Dewasa kini) Apabila selesai, Orang Kaya Temenggong Paduka Raja mengangkat sembah lalu berseru tiga kali “DAULAT” berturut-turut diikuti oleh sekelian yang hadir. Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri menundukkan hulu Baginda membalas hormat yang diberikan oleh para hadirin. Selepas Istiadat Pemasyhuran dijalankan, Pawang Diraja – Raja Chik Muda memulakan ISTIADAT MERENJIS AIR “PANCA BICARA” kepada Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri. Selesai sudah ISTIADAT MERINJIS AIR “PANCA BICARA”, Istiadat diteruskan dengan penyembahan dan Ucapan Tahniah oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak bagi mewakili Raja-Raja dan Orang Besar Perak, dan Persembahan Ucapan Tahniah dan Taat Setia daripada Y.A.B Menteri Besar Perak bagi pihak Kerajaan dan Rakyat Perak. (Adat zaman dahulu, lazimnya Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri dilakukan sehari selepas Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan. Berita Harian, 26 October 1963, Upacara Penganugerahan Gelaran Raja Perempuan Muzwin Bt Raja Arif Shah. Tepat pada jam yang ditentukan, Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri yang telah siap sempurna berpakaian lengkap dan memakai pontoh Ular Lidi berangkat masuk ke Balairong Seri dengan didahului oleh Panglima Perang Kanan dan Panglima Perang Kiri dikapit oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar disebelah Kanan dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda di sebelah Kiri serta diiringi Bentara-Bentara Perempuan lalu mengambil tempat yang dikhaskan. Setelah itu paluan Nobat lagu “Raja Berangkat” dibunyikan. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan yang berpakaian lengkap dengan Pedang Cura Si Manjakini, pontoh bernaga, rantai bunga naga, rantai bunga nyior dan Mahkota (Jata Paduka Seri Sultan) yang diletakkan di Tengkolok berangkat masuk ke Balairong Seri dengan didahului oleh Panglima Besar, dikapit oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir berserta juruiring. Baginda Sultan lalu naik bersemayam di atas singgahsana, manakala yang lain-lain mengambil tempat masing-masing. Baginda Sultan lalu naik bersemayam di atas singgahsana, manakala yang lain-lain mengambil tempat masing-masing.
(Dewasa kini) Istiadat Pertabalan diakhiri dengan Titah Ucapan Paduka Seri Sultan dan DOA SELAMAT oleh Sahibul Samahah Mufti Kerajaan Perak. Pakaian bagi istiadat ini adalah lengkap dengan bertengkolok. Bintang-bintang dan pingat-pingat kurniaan juga dipakai bersama.
2. ISTIADAT TABAL PUSAKA
Istiadat Tabal Pusaka mengandungi beberapa istiadat kecil termasuk Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Menyantap Nasi Berastakona.
2.1 ISTIADAT MEMASAK TIANG SERI PANCA PERSADA
Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada merupakan adat yang dijalankan sebelum Tiang Utama Panca Persada daripada Kayu Khas bernama ‘SUNGKAI’ dipasakkan. Pada zaman dahulu, Panca Persada dibangunkan di pertengahan Sungai Perak, akan tetapi sekarang ianya didirikan di perkarangan Istana Iskandariah. Berbentuk empat persegi setinggi 9 atau 11 tingkat, ianya dikisar sekelilingnya dengan tangga. Di kemuncaknya terletaknya tempat bersemayam Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri yang berbumbung. Siling dan tiang dibalut dengan kain kuning.
Di sekiling tingkat digantung dengan daun budi dan tingkat kemuncak diulas dengan kain keemasan. Lazimnya, ISTIADAT INI CUMA DIHADIRI OLEH ORANG BESAR-BESAR, PAWANG-PAWANG, PANGLIMA-PANGLIMA DAN BENTARA-BENTARA SAHAJA.
2.2 ISTIADAT MENGAMBIL AIR BERSIRAM TABAL DI TUJUH KUALA SUNGAI PERAK
Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak juga merupakan salah satu adat yang unik. Istiadat ini dimulakan dengan perarakan berkereta yang memuatkan pasukan Nobat Diraja, panglima-panglima, Toh Seri Nara Diraja dan Pawang Diraja – Raja Chik Muda bersama-sama dengan tujuh orang bomoh yang lain, bentara-bentara yang membawa perkakas istiadat, dan enam belas jejawat berlembing dari Istana Iskandariah hingga ke tebing Sungai Perak. Nobat akan dipalukan sepanjang istiadat ini.
Di tebing sungai, perkakas istiadat dibawa naik ke atas bot. Pawang Diraja – Raja Chik Muda, Toh Seri Nara Diraja dan bentara-bentara menaiki bot serta bermula mengambil air dari kuala Sungai Kangsar. Rombongan bergerak ke kuala-kuala sungai lain, iaitu Sungai Chepias, Sungai Sayong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Bunya dan Sungai Menora, untuk mengambil air serta dimasukkan ke dalam geluk.
2.3 ISTIADAT TABAL PUSAKA
Istiadat Tabal Pusaka, yang dahulunya dikenali sebagai Istiadat Tabal Jin, berlangsung di dalam Balairong Seri dan di Panca Persada. Istiadat ini disempurnakan pada waktu malam dan disaksikan oleh kerabat-kerabat diraja rapat, orang besar-besar serta pemimpin-pemimpin negeri. [Adat zaman dahulu, ianya dilakukan apakala telah aman dan sempurna pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan iaitu selepas Istiadat Tabal Kerajaan dan Penganugerahan Gelaran Raja Perempuan mahupun Raja Permaisuri. Peraturannya seperti yang disebut ini. Mulanya Pawang Diraja – Raja Chik Muda berjaga-jaga dengan sekalian pawang-pawang dibawah tangannya kerana memuja perkakas kerajaan selama tujuh hari tujuh malam atau tiga hari tiga malam. Maka pada malam yang ketujuh waktu kemuncak ini dipersilakan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan bersemayam diatas mercu panca persada dengan segala kelengkapan kerajaan serta nobat sedia dihadapan panca persada. Maka peraturan ini dijalankan oleh Pawang Diraja – Raja Chik Muda sendiri dari awal hingga akhir. Maka takkala Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan diatas mercu panca persada maka berdirilah Pawang Diraja – Raja Chik Muda dihadapan panca persada itu menyeru Jin Kerajaan empat Penjuru Alam itu, kemudian baginda berduapun disiramkan. Akan tetapi pada zaman sekarang tabal Jin itu dilakukan pada waktu malam ketiga selepass pertabalan adat, peraturannya seperti kini Upacara Istiadat ini dimulakan dengan Pawang Diraja – Raja Chik Muda Memulih Perkakas Kerajaan dan Perkakas Nobat, di Balairong Seri pada tempat yang disediakan dan dihadapi oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan isteri. Baginda tidak bersemayam di atas Singgahsana. Setelah selesai upacara memulih itu maka Baginda berdua pun berangkat turun dari istana lalu berarak didahului oleh Panglima Besar dan Panglima Perang Kanan serta Panglima Perang Kiri dan Bentara-Bentara menuju ke Panca Persada. Perarakkan itu dilakukan tujuh kali mengelilingi panca persada dibawa oleh Pawang Diraja – Raja Chik Muda. Apabila genap tujuh kali lalu dibawanya pula naik ke panca persada dan baginda berduapun disiramkan. Selepas bersiram baginda berdua pun berarak balik ke istana dengan paluan nobat. Sampai ke istana maka baginda keduapun bersalin pakaian, selepas itu berangkat pula ke Balairong Seri dengan paluan nobat juga, didahului oleh Panglima Besar dan lain-lainnya dan Baginda berduapun naik bersemayam diatas Singgahsana. Maka Pawang Diraja – Raja Chik Muda pun mulailah menjalankan upacara merenjis Air Panca Bicara, mula-mula perkakas kerajaan yang sedia terletak dihadapan singgahsana, kemudian baginda berdua. sudah itu beliaupun meletakkan bunga panca pancawa ditelingga kanan Baginda berdua. Upacara diteruskan dengan enam orang Kerabat Diraja merenjiskan Air Panca Bicara kepada Baginda berdua. Setelah itu maka Baginda berdua pun santap “Nasi berastakona” yang disediakan. Istiadat ini hanya dikhaskan kepada Waris Negeri dan Kerabat sahaja.
Pakaian majlis ini adalah baju Melayu hitam, bertengkolok hitam dan bersamping kain benang emas tetapi tidak memakai bintang-bintang kurniaan.
Istiadat ini diikuti dengan Istiadat Memulih Perkakas Kerajaan dan Perkakas Nobat, dan selepas itu, Istiadat ini bermula di Balairong Seri, dan para undangan dipandu ke tempat duduk di Balairong Seri. Istiadat dimulakan dengan paluan nobat. Antara perkakas kerajaan yang dibawa masuk ke dalam Balairong Seri ialah pedang ‘Cura Si Manja Kini’, Pontoh Bernaga dan Pontoh Ular Lidi yang dipersembahkan kepada Sultan.
Istiadat Bersiram Tabal disempurnakan di atas Panca Persada di perkarangan istana. Apabila Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri berangkat tiba di kawasan Panca Persada, Pawang Diraja – Raja Chik Muda akan memulakan Istiadat Mengelilingi Balai Panca Persada sebanyak tujuh kali bersama-sama dengan para pawang/ bomoh dan bentara yang membawa perkakas merenjis. Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri menaiki Panca Persada, diiringi oleh Raja Muda dan Raja Di Hilir serta isteri mereka, dan diikuti oleh orang besar-besar serta isteri. Sebaik sahaja Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri selamat bersemayam di atas kemuncak Panca Persada, Pawang Diraja – Raja Chik Muda memulakan Istiadat Bersiram Tabal.
Air siram adalah air daripada tujuh kuala Sungai Perak yang telah dibekaskan pada Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dua atau tiga hari terlebih dahulu. Selesai sudah istiadat ini, baginda berdua berangkat turun dari Panca Persada berselimut dengan kain benang emas serta dipandu berangkat balik ke istana diringi dengan paluan nobat. Setelah menyalinkan pakaian, Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri berangkat masuk ke dalam Balairong Seri semula, dan bersemayam di atas petarakna singgahsana. Istiadat Merenjis Air Panca Bicara dilangsungkan, dan setelah selesai istiadat itu diikuti pula Istiadat Santapan Nasi Berastakona.
2.4 TABAL MENZIARAHI MAKAM-MAKAM DIRAJA
Istiadat Menziarahi Makam-Makam Diraja bermula dengan kegunaan kenderaan dari bahagian hulu Sungai Perak berangkat menziarahi makam-makam Almarhum Sultan-Sultan yang terdahulu yang terletak di sepanjang Sungai Perak sehingga ke Pemakaman Diraja Kuala Kangsar. Setelah itu, Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan ataupun Raja Permaisuri diiringi oleh para orang besar-besar akan berangkat menaiki sebuah bot khas atau Balai Gambang bernama Cempaka Sari, untuk menghilir serta menziarahi makam-makam diraja. Semasa keberangkatan menziarahi, doa selamat dan kenduri arwah diadakan. Dahulu sebelum adanya Balai Gambang [Mula diperkenalkan semasa era Pemerintahan Paduka Seri Sultan Iskandar Zulkarnain – Sultan Perak ke 15] dan bot Seri Andalan, majlis pertabalan Sultan yang membabitkan Istiadat Menziarahi Makam-Makam Diraja di sepanjang Sungai Perak menggunakan rakit. [Adat zaman dahulu, pada hari ditetapkan Baginda berdua serta pengiring-pengiring Baginda menziarahi makam To’ Temong, makam Kota Lama Kanan, makam Sayong, makam Bukit Chandan dan makan Teja. Kemudian pada hari yang ditetapkan pula, Baginda berdua akan berangkat menaiki Balai Gambang “Cempaka Sari” lalu ke hilir menziarahi makam Marhum-Marhum yang terdahulu, disepanjang Sungai Perak hingga ke Beting Beras Basah tempat diadakan istiadat membaca doa kesyukuran. Semasa sampai di Teluk Intan, Baginda Sultan akan ke Beting Beras Basah dan Raja Perempuan serta pengiring-pengiringnya akan mendarat di Teluk Intan dengan membawa alat-alat Perkakas Kerajaan bersama-sama, kerna mengikut adat bahawa alat-alat Perkakas Kerajaan itu tiada boleh dibawa ke Laut. Beting Beras Basah adalah tempat mula-mula Raja Muda Muzzafar Shah yang menjadi Sultan yang pertama di Negeri ini, berhenti takkala sampai dari Kampar, Sumatra.
2.5 TABAL BETING BERAS BASAH
Foto yang dipaparkan adalah sekadar hiasan bagi memperlihatkan adat istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak ke 34 yang telah dilaksanakan.
Catatan :
Kayu Khas ini diceritakan akan dibawa oleh Orang Besar Jajahan Batang Padang dan diletakkan dibawah Panca Persada. To’ Kerma Setia gelaran bagi yang dilantik sebagai Orang Besar semasa era pemerintahan Paduka Seri Idris Murshidul Azzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Di sekitar tahun 1960 disebut gelaran Tok Setia Maharaja bagi Orang Besar 32 di Sungkai. Mengikut sebuah cerita Tiang Seri Astana Iskandariah diperbuat daripada Kayu Sungkai yang ditulis dalam tulisan Jawi. Menurut Y.M Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Kayu tersebut diketahui disimpan oleh Almarhum Sultan Alang Iskandar Shah Ibni Almarhum Idris Murshidul Azzam Shah dan Almarhum Raja Muda Ahmed Sifuddin ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah jua mengetahui akan hal ehwal Kayu tersebut. Menurut Y.M Raja Kobat Salehuddin Kayu tersebut sejak pembukaan Astana Negara, Bukit Chandan kemudian dirobohkan dan ditapak Astana tersebut jua dibangunkan Istana Iskandariah, Bukit Chandan yang tersergam Indah kini di Bandar Diraja Kuala Kangsar.
Sumber Rujukan :
– Buku Adat Lembaga Orang-Orang Melayu Didalam Negeri Perak Darul Ridzuan Daripada Zaman Purbakala,
– Artikel Pertabalan Sultan Idris Affifullah,
– Biografi Pertabalan Sultan Azlan Shah,
– Portal Raja Kita Negeri Perak,
– Pejabat D.Y.M.M Sultan Perak,
– Perceritaan turun-turun
Foto : Wan Hashim Wan Teh. DYMM Sultan Azlan Shah: Biografi Bergambar. Dewan Bahasa dan Pustaka; 1990
Bahan-bahan di sini dilindungi oleh Hak Cipta (copyright). Tiada bahagian daripada Page ini boleh diterbitkan semula, disalin, diubahsuai, di mana-mana negara menggunakan apa jua proses, secara elektronik atau sebaliknya, dalam apa jua bentuk bahan atau dikirimkan kepada orang lain (disimpan dengan cara tertentu dan dalam masa tertentu) dalam apa jua media, tanpa persetujuan bertulis Sembangkuala, atau kecuali dibenarkan oleh Undang-undang Hakcipta.