Perihal Perak: II. Pengembangan sistem Residen, bah.2

Berikut adalah sambungan paparan tentang mulanya sistem Residen British di Perak dari siri terjemahan dari buku About Perak yang di tulis oleh Sir Frank Swettenham pada akhir abad ke-19 mengenai negeri Perak.  Para pembaca budiman dinasihatkan bahawa bahan yang terkandung di dalam buku ini ditulis dari kaca mata seorang penjajah, dan niat kami di SembangKuala adalah untuk memberi peluang kepada semua untuk meneliti pandangan penjajah British tentang hal-ehwal Perak di waktu itu.

Berbeza dengan rintangan yang dihadapi oleh JWW Birch, tugas Kapten Speedy, penolong Residen British yang menetap di daerah Larut, mentadbir kawasan beliau dikatakan lebih mudah. Sebuah suruhanjaya British telah berjaya menyelesaikan masalah berkait dengan sempadan tanah lombong bijih kepunyaan kongsi-kongsi Cina. Setelah bersengketa untuk beberapa lama, akhirnya pelombong-pelombong Cina membuka kembali lombong-lombong bijih dan kawasan perkampungan mereka. Daerah Larut kembali aman dan kemajuan dapat dilihat serta-merta.

Sebelum ini, hasil kutipan cukai dari bijih yang dilombong di lembah Sungai Perak mencecah $80,000 setahun. Cukai juga dikenakan ke atas setiap bahan import, termasuk pinggan mangkuk, beras, garam, tembakau, candu dan lain-lain. Di waktu itu juga, hasil bijih yang dilombong di daerah Larut tidak dikenakan cukai. Dalam tahun pertama sistem Residen dimulakan di Perak, Larut tidak terkecuali dari membayar cukai dan dari daerah ini sahaja, sebanyak $300,000 dapat dikutip setahun. Oleh kerana hasil kutipan cukai meningkat, cukai yang selama ini dikenakan keatas barangan kecil telah dikecualikan. Beberapa pegawai British dilantik untuk membantu Kapten Speedy dalam pentadbiran daerah Larut. Encik Birch di waktu itu pula dibantu oleh 80 orang pengawal berbangsa India.

Bot kepunyaan JWW Birch di tebing Sungai Perak dekat Belanja. Penulis (Swettenham) kelihatan di sudut kiri gambar manakala Birch sedang duduk di atas perahu di sudut kanan. (Sumber: Swettenham's Malayan Journals 1874-1876)

Encik Birch menerokai negeri ini dengan botnya melalui Sungai Perak selama sepuluh bulan beliau bertugas sebagai Residen. Dalam perjalanan beliau ke setiap pelusuk negeri, Encik Birch telah mendapat maklumat mengenai hal-ehwal negeri ini untuk membantu beliau memperkenalkan perubahan kepada sistem pentadbiran Perak. Namun begitu, Encik Birch tidak dapat berbuat demikian dengan mudahnya kerana beliau tidak mempunyai kuasa atau hak mutlak dalam kerajaan negeri yang di waktu itu masih mempunyai dua Sultan, dan masing-masing mempunyai pengaruh kuat di kalangan orang Melayu Perak. Pada pandangan penulis, Encik Birch mungkin dapat melakukan perubahan ini dengan serta-merta jika Sultan Abdullah, yang pada asalnya meminta British untuk membantu baginda dalam pentadbiran negeri, memberi sokongan padu kepada beliau. Sultan Abdullah dirasai telah terlalu banyak dipengaruhi pembesar-pembesar negeri yang cuba menghalang sama sekali segala usaha Encik Birch dalam menginovasikan sistem pentadbiran Perak.

Selama Encik Birch bertugas sebagai Residen, beliau hanya berjaya menyelesaikan beberapa masalah kecil sahaja. Namun, bahan maklumat mengenai Perak yang beliau kutip dalam perjalanan ke seluruh pelusuk negeri cukup untuk menjadi asas kepada penubuhan sebuah kerajaan negeri yang baik.

Evolusi sistem Residen British di Perak secara amnya telah sedikit sebanyak mempengaruhi kerajaan negeri di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, di mana ia boleh dilihat sebagai asas pentadbiran negeri yang berubah mengikut pengedaran masa dalam tempoh 20 tahun yang lepas. Kerumitan yang dialami oleh British sewaktu mentadbir Perak telah juga menjadi teladan kepada pentadbiran negeri-negeri Melayu yang lain di bawah kuasa British. Pengalaman British di negeri-negeri Melayu tidak boleh dibandingkan dengan pengalaman mentadbir negara Mesir – kelainan yang dilihat di sini bukan sahaja terhad kepada faktor geografi negeri-negeri Melayu yang mempunyai hutan rimba, tetapi termasuk memahami budaya orang Melayu yang berbeza dari apa yang kami pernah ketemui.

__________________________________________

Rujukan: Swettenham FA. II. The Development of the Residential System. In About Perak. Singapore: Straits Times Press; 1893. p10-12.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s