Institusi Raja masih relevan? Bahagian II

Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong diatas takhta. Gambar:www.webjabatan.kedah.gov.my

Berdasarkan kepada laporan “The Economist Intelligence Unit Democracy Index” bagi tahun 2011, hampir separuh* dari dua puluh lima negara di tangga teratas yang mengamalkan sistem demokrasi sepenuhnya adalah negara yang mempunyai Institusi Raja. Bagi dua puluh lima (25) negara tercorot pula, 88% atau dua puluh dua (22) negara tidak mepunyai Raja manakala empat (4) daripadanya pernah mempunyai Raja sebelum sistem monarki digulingkan. Sebagai rujukan, hanya 43 negara yang mempunyai Institusi Raja dari 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Senarai sebahagian ranking berdasarkan “The Economist Intelligence Unit Democracy Index” bagi tahun 2011.

Sebuah laporan lain iaitu “Transparency International’s Corruption Perception Index” yang menyenaraikan senarai ranking negara yang dianggap paling korup atau dibelenggu gejala korupsi. Menurut laporannya bagi tahun  2011, ianya mencatatkan bahawa 70% atau tujuh* dari sepuluh negara yang berada di tangga terbaik adalah negara yang mempunyai Institusi Raja.

Berdasarkan laporan-laporan ini, ianya boleh dirumuskan bahawa ada perbezaan yang ketara diantara pemerintahan monarki dan yang lain dalam menentukan kestabilan politik sesebuah negara itu.

Justeru itu, rakyat dinegara ini digesa agar memahami peranan penting akan Institusi Raja itu serta bijak didalam memberi penilaian keatas propaganda-propaganda negatif mengenai Institusi Raja. Disamping itu, agensi-agensi kerajaan juga harus berusaha gigih dan bertanggung jawab dalam merangka satu mekanisma yang komprehensif dan efektif dalam memastikan pemahaman umum terhadap kepentingan Institusi Raja yang semakin pudar dikala ini. Institusi Raja juga harus memainkan peranan yang termaktub serta berpendirian teguh dalam memastikan takhta terus kekal berada di atas politik dan dalam masa yang sama peka terhadap tuntutan rakyat bagi memastikan kesejahteraan rakyat jelata terus dibela tanpa mengira agama, kaum serta bangsa.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku!

Nota: * Termasuk negara-negara yang mengiktiraf Ratu Elizabeth II sebagai Raja Pemerintah

—————————————-

Sumber:

http://www.un.org/en/members/growth.shtml

Universiti Pendidikan Sultan Idris (2011). “Payung Negara”

The Economist Intelligence Unit (2011). “Democracy index 2011: Democracy under stress”. A report from the Economist Intelligence Unit

Transparency International (2011). “Corruption Perceptions Index”. Transparency International. Transparency International. Retrieved 1 December 2011.

Leave a comment