Asal gelaran Raja Di-Hilir

Kaji selidik dan kutipan maklumat oleh YM Raja Kobat Salehuddin Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Diriwayatkan Sultan Mahmud Iskandar Shah (1653-1720) bertitah kepada anak adindanya, Raja Muzaffar (Inu), untuk pergi memerintah di muara-muara Sungai Perak, Sungai Bernam dan Sungai Besar, iaitu jajahan hilir Perak yang cuma disebut ‘Bernam’. Paduka Raja Muzaffar itu kemudiannya dipangkatkan Raja Di-Bernam. Adinda kepada Paduka Raja Di-Bernam, iaitu Raja Muhammad Shah (Bisnu), menjadi pemangku Sultan (Yang Di-Pertuan Muda) yang terlalu lanjut usianya, dan mangkat sebelum kekandanya Raja Muzaffar. Al-kisah panjang intipati, kemudiannya Raja Di-Bernam Muzaffar diangkat sebagai Yang Di-Pertuan Sultan Perak ke-13, yakni Sultan Muzaffar Shah III (1728-1754).

 

Jajahan di bawah pentadbiran Raja Di-Hilir (berwarna hijau) yang berpusat di Pulau Tiga. Peta ini menunjukkan penempatan-penempatan di Perak pada akhir kurun ke-19. (Sumber asal: JMBRAS. Vol. XXIV, Part 4).

 

Jajahan hilir Perak ini merangkumi Sungai Besar, Sabak Bernam dan kawasan pertanian di sebelah tebing kanan Sungai Bernam hingga ke Tanjong Malim, pernah dirampas Bugis dari Kuala Selangor dalam peperangan merebut tanah. Sejak daripada itu, tradisi Raja Di-Bernam Perak pupus dan digantikan dengan gelaran DYAM Raja Di-Hilir sahaja. Seorang Raja Di-Hilir boleh diistanakan di mana-mana tempat yg diperkenankan DYMM Sultan Perak demi menjauhi ancaman musuh-musuh di sepanjang pantai Perak. Namun dahulu, lazim DYAM Raja Di-Hilir mentadbir jajahan mulai dari hilir Pulau Tiga dengan orang-orang kanannya, iaitu Orang Kaya-Kaya Laksamana, Orang Kaya-Kaya Shahbandar dan Tok Kaya (Orang Kaya Besar).

 

Bendera DYAM Raja Di-Hilir Perak.

 

Berikut adalah antara penyandang gelaran DYAM Raja Di-Hilir Perak:

1. Raja Ngah Jaafar ibni Almarhum Raja Kecil Tengah Ahmad (kemudian naik Raja Bendahara, Raja Muda & Sultan)

2. Raja Abdul Jalil ibni Sultan Idris I (kemudian naik Raja Bendahara, Raja Muda & Sultan)

3. Raja Yusuff Izzudin ibni Sultan Abdul Jalil (kemudian naik Raja Bendahara, Raja Muda & Sultan)

4. Raja Sir Chulan ibni Almarhum Sultan Abdullah Muhammad II

5. Raja Idris Shah ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah (kemudian naik Raja Bendahara, Raja Muda & Sultan)

6. Raja Abdul Rashid ibni Sultan Idris I (kemudian naik Raja Bendahara)

7. Raja Kamaralzaman bin Raja Mansur

8. Raja Musa ibni Almarhum Sultan Abdul Aziz (kemudian naik Raja Muda)

9. Raja Ekram ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin

10. Raja Ahmad Hisham bin Raja Abdul Malik

11. Raja Dato’ Seri Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa (sekarang)

_________________________________

Nota kaki: Penulis telah memberi izin dan ehsannya untuk memaparkan hasil penyelidikan dan pengkajiannya ini dengan tanbih (peringatan) bahawa isi kandungannya adalah tanpa prejudis dan prasangka.

1 thought on “Asal gelaran Raja Di-Hilir

  1. Pingback: 32nd Sultan of Perak: Sultan Yussuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Shah (1948-1963) « SembangKuala BLOG

Leave a comment